Thursday, June 10, 2010

Niagakit bantu usahawan




BIDANG perniagaan dalam talian atau e-dagang semakin popular dalam kalangan usahawan hari ini. Ia menjadi medium terbaru membolehkan mereka meningkatkan penjualan dengan lebih efisien dan berkesan.
Penggunaan laman web, blog atau rangkaian sosial Facebook untuk menceburi bidang perniagaan secara sambilan adalah satu idea kreatif kerana tidak memerlukan modal yang besar dan menjimatkan masa.
Tidak mustahil dengan menggunakan pendekatan terbaru itu dan strategi perniagaan yang mantap, ia mampu memberi impak, malah dapat membawa pulangan lumayan kepada usahawan dan individu terbabit.

Bagaimanapun, menjalankan perniagaan dalam talian memerlukan pengetahuan dari segi teknikal untuk memastikan kelancaran transaksi urus niaga dapat dilakukan dengan sempurna.

Kesukaran memahirkan diri dari segi teknikal sedikit sebanyak menjadi antara faktor impian bergelar usahawan menerusi e-dagang hanya omong kosong sahaja.

Namun begitu, impian tersebut bakal menjadi realiti apabila menggunakan aplikasi sistem kedai dalam talian keluaran syarikat tempatan, Flarebiz Network yang diberi nama Niagakit.

Flarebiz Network yang diasaskan oleh dua usahawan muda Internet, Adly Mukhtar, 20 dan Mohd. Zhafran Mohd Ghani, 24, pada awal tahun 2007 mengambil masa selama hampir satu tahun untuk membangunkan aplikasi Niagakit tersebut.

Adly berkata, dia dan Mohd. Zhafran telah membangunkan aplikasi berkenaan bersama seorang lagi rakan mereka iaitu Rusdy Ahmad pada awal tahun lalu.

FLAREBIZ Network ditubuhkan pada tahun 2007 ditunjangi oleh anak-anak muda tempatan.


"Kami mengambil masa kira-kira satu tahun untuk membangunkan aplikasi berkenaan bagi memenuhi kehendak dan memudahkan pengguna yang ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan.
"Idea untuk membangunkan aplikasi berkenaan tercetus apabila semasa pembabitan awal dalam perniagaan dalam talian kami terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah sehingga menyukarkan kami membuat urus niaga dengan pelanggan," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Adly merupakan pemegang Diploma Kejuruteraan Komputer, Universiti Malaysia Perlis menambah, dia merasakan aplikasi berkenaan perlu dibangunkan untuk membantu bakal-bakal usahawan dalam talian.

Kata anak kelahiran Kelantan itu, dia yang mempunyai latarbelakang teknologi maklumat juga berdepan dengan masalah, inikan pula mereka tidak berpengalaman dalam bidang teknologi.

Aplikasi lebih mudah
Menyentuh mengenai keunikan aplikasi Niagakit, Adly berkata, ia tidak memerlukan seseorang mahir dari segi teknikal untuk menjalankan operasi perniagaan dalam talian.

"Dengan menggunakan Niagakit segala urus niaga menjadi mudah dan ringkas. Pelanggan-pelanggan boleh melakukan semuanya sendiri bermula dari menyenaraikan produk sehinggalah memproses tempahan tanpa menghadapi sebarang masalah.

"Kini usahawan-usahawan perniagaan dalam talian tidak perlu lagi membazir masa dan modal untuk memilih sistem kedai dalam talian yang selaras dengan kehendak pasaran tempatan," ujarnya lagi.

Selain itu katanya, aplikasi berkenaan memberi kebebasan kepada pelanggan-pelanggan untuk menambah seberapa banyak produk yang diinginkan mereka.

PELANGGAN yang ingin menggerakkan Niagakit berpeluang mengikuti kursus jangka pendek menggunakan aplikasi tersebut.


Ujarnya, tiada sebarang had dikenakan untuk penambahan produk di dalam aplikasi Niagakit menjadikannya satu produk yang sesuai digunakan oleh semua orang termasuk pengilang, pengedar dan sebagainya.
Mohd. Zhafran pula menambah, ciri-ciri lain ditawarkan oleh aplikasi Niagakit termasuklah antara muka yang mempunyai reka bentuk ringkas, kemas dan profesional memudahkan usahawan serta pelanggan menggunakannya.

"Masalah yang kerap kali dihadapi usahawan Internet adalah sukar mencari sistem kedai dalam talian yang mempunyai sistem pembayaran khas untuk bank tempatan.

"Dengan menggunakan NiagaKit, kami mengutamakan pembayaran melalui bank tempatan kerana orang Malaysia lebih suka membeli-belah di Internet melalui MayBank2u, CIMB Clicks dan sebagainya," ujar Mohd. Zhafran.

Graduan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak itu menambah, antara ciri-ciri lain yang terdapat dalam Niagakit adalah bukti pembayaran melalui bank tempatan, pelbagai pilihan bahasa, variasi warna, penetapan kos penghantaran fleksibel dan banyak lagi.

Katanya, keistimewaan lain Niagakit juga adalah ia membolehkan pelanggan memaklumkan kepada rakan-rakan mereka melalui laman sosial seperti Facebook, Digg atau Myspace.

"Kami turut menyediakan seminar kepada pelanggan-pelanggan yang membeli Niagakit ini. Mereka juga boleh mendapatkan perkhidmatan selepas pembelian jika menghadapi kesukaran mengendalikan aplikasi tersebut.

"Sehingga kini, kami telah mempunyai kira-kira 180 pelanggan yang menggunakan aplikasi Niagakit ini untuk membantu perniagaan mereka," ujarnya lagi.

Tambah Mohd. Zhafran, aplikasi Niagakit itu tidak memerlukan perbelanjaan yang besar kerana pelanggan hanya membayar sekali sahaja berbanding dengan sistem lain di pasaran.

Katanya lagi, sistem tersebut juga tidak memerlukan masa yang lama untuk beroperasi sepenuhnya dengan mengambil masa antara dua hingga satu minggu bergantung kepada reka bentuk antara muka dipilih pelanggan.

Dipuji pelanggan
Sementara itu, seorang pelanggan yang telah menggunakan aplikasi berkenaan, Mohd. Ghufran Mohd. Daud, 26, berkata, Niagakit amat mudah digunakan dan mesra pelanggan.

"Saya pernah menggunakan sistem perniagaan dalam talian lain sebelum ini dan ia agak merumitkan kerana kadangkala tidak berfungsi dengan baik.

ADLY merupakan usahawan muda Internet yang sentiasa mencari idea baru dalam e-dagang.


"Dengan Niagakit memang semua ciri-ciri penting untuk pasaran tempatan dan antarabangsa lengkap disediakan," kata pemilik kedai dalam talian www.3gxModem.com itu.

Pemilik kedai dalam talian www.OneDroperfumes.info, Siti Jamliah berkata, dia baru menggunakan Niagakit selama beberapa bulan dan perniagaannya semakin meningkat maju.

"Saya sangat berpuas hati sepanjang menggunakan sistem Niagakit ini kerana ia mudah diuruskan dan membantu pelanggan membuat tempahan produk dengan lancar.

"Pasukan sokongan sistem ini juga akan memberi maklum balas yang pantas apabila tidak memahami operasi Niagakit. Ia juga memberikan kedai dalam talian saya kelihatan kemas dan profesional," ujarnya.

Sistem aplikasi Niagakit dijual pada harga RM1,249.

Tuesday, June 8, 2010

Kisah usahawan beras Faiza


BERAS keluaran Syarikat Faiza mendapat sambutan menggalakkan kerana kualitinya.


"SAYA ingin menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini." Itulah azam, pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd., Faiza Bawumi Sayed Ahmad ketika ditemui Kosmo! di Sri Gading, Batu Pahat, Johor.

Wanita kelahiran Mesir itu berhijrah ke Malaysia pada tahun 1964 kerana mengikut suaminya.
Ketika kebanyakan wanita seusianya berehat di rumah, Faiza, 58 dan nenek kepada 32 cucu sibuk merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini.
Faiza yang juga Pengarah Urusan Syarikat Faiza, sedang bertungkus-lumus mengeluarkan beberapa produk baru yang dijangka masuk ke pasaran selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Wanita yang berperwatakan lembut itu sebenarnya seorang yang tegas. Beliau mahu memastikan syarikat yang ditubuhkan sejak tahun 1992 itu berada di landasan betul sekali gus mencatatkan keuntungan saban tahun.

Berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak kecil, Faiza pernah menjadi juruwang di kedai milik bapanya. Pengalaman tersebut mendorong beliau untuk bergiat secara serius dalam bidang perniagaan.

"Kejayaan ini tidak datang dengan mudah, saya bermula dengan mengambil upah menjahit sulaman dengan modal RM4 selain menjual pelbagai barangan dapur.

"Kemudian, saya beralih membuat rempah kari di bawah jenama Bunga Raya yang dilakukan di rumah dan mengedarkannya di kedai-kedai," katanya yang mampu menguasai bahasa Melayu setelah tiga bulan berada di Malaysia.

Ibu kepada tujuh anak itu menambah, modal daripada menjual rempah kari itu digunakan untuk membuka kedai runcit. Dari situ beliau mendapati pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain.
Dengan mempunyai kedai sendiri, beliau mula belajar mengenali pelbagai jenis beras. Sebelum menjual beras, beliau terpaksa pergi dari satu kedai ke kedai lain bagi mendapatkan maklum balas sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya.
Atas respons yang positif, Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam.

"Pada mulanya, saya buntu juga melihat satu lori treler penuh berisi beras diletakkan di hadapan rumah, namun saya nekad membungkus menggunakan jenama Bunga Raya dan menghantar ke kedai-kedai di seluruh Johor.

"Sehingga kini, perniagaan beras keluaran syarikat saya mendapat sambutan. Meskipun saingan sengit, kami telah dikenali kerana kualiti produk yang tinggi, seratus peratus buatan Islam dan halal," katanya yang kini mempunyai kilang di Kuala Lumpur, Kedah dan Terengganu.

Pada tahun 1998, beliau terdorong mempromosi beras ponni dari India yang dipercayai baik untuk kesihatan, khususnya bagi penghidap diabetes, obesiti dan darah tinggi.
Faiza berkata, bagi membuktikan kebaikan beras itu, syarikatnya telah meminta Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat kajian dan hasilnya memang positif.

"Saya melabur berjuta ringgit bagi produk Taj Mahal dan telah meminta hak eksklusif daripada Bernas," 
tambahnya yang gembira dengan sambutan orang ramai terhadap produk tersebut.

Walaupun syarikatnya menumpukan produk beras dan rempah, kini beliau sedang meneroka bidang baru termasuk memasarkan bihun, sos cili dan kicap.

Beliau yang mempunyai 200 pekerja tetap dan lebih 300 pekerja kontrak berkata, dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa diragui status halalnya.

Ketika ini, syarikatnya telah memasarkan bubur herba penghujung tahun lalu dan mendapat permintaan yang baik daripada para pelanggan.

Bagi produk bihun pula, syarikatnya telah menempah mesin dari China dan produk itu akan diproses di sebuah kilang lain juga di Sri Gading.

Kilang tersebut mampu mengeluarkan sebanyak sembilan tan bihun sehari, namun pada peringkat awal cuma memproses lima tan bihun dengan sasaran jualan sebanyak RM12 juta bagi tahun pertama.

FAIZA BAWUMI


Kehidupan
Faizah yang suka hidup bermasyarakat berkata, semua usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah.

Sebab itulah, syarikatnya bekerjasama dengan TV3 selaku penaja utama sejak lapan tahun lalu menerusi program Bersamamu.

Dari segi kehidupan berkeluarga, Faizah menerapkan pendekatan supaya anak-anaknya hidup berdikari. Sejak kecil anak-anaknya dilatih menjual dan mereka mendapat upah.

Bagaimanapun katanya, pendidikan menjadi keutamaan dan mereka diberi peluang menuntut ilmu setinggi mungkin.

"Bukan semua anak saya terlibat dalam perniagaan, anak sulung dan kelima menjadi pensyarah dan lima yang lain membantu Syarikat Faiza," katanya.

Bercerita tentang pengalaman menguruskan perniagaan tersebut, beliau pernah menangkap pekerja yang menipu dan mencuri.

"Macam-macam cara orang hendak menipu dan saya pernah menangkap pekerja yang menjual guni beras yang dimasukkan ke dalam lori. Guni beras ini harganya mahal di pasaran," katanya.

Tuesday, March 16, 2010

Berjaya dalam dunia keusahawanan

HADIS riwayat Ibn Qudamah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya, engkau meninggalkan waris dalam keadaan kaya (Ghaniyy) adalah lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka susah meminta-minta daripada manusia."

Hadis di atas membuktikan bahawa kemiskinan sehingga membawa kepada sifat meminta-minta adalah sangat dibenci oleh Allah SWT serta Rasulullah SAW. Ini kerana, sifat tersebut hanya akan mewujudkan gejala buruk yang lain seperti terputusnya hubungan persaudaraan dan kecurian, sekiranya permintaan itu tidak dipenuhi.

Sebaliknya, Islam sangat menggalakkan umatnya supaya sentiasa memajukan diri sendiri dan menjadi kaya-raya setelah berusaha dengan syarat, usaha serta hasilnya wajiblah halal dan menepati syarak, sebagaimana yang telah disabdakan oleh Baginda dalam hadis riwayat Bukhari yang bermaksud: Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang lebih baik daripada hasil usaha tangannya sendiri.

Menurut pengarang buku Langkah Bijak Usahawan Terbilang, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, usahawan ditakrifkan sebagai pemilik tunggal sesebuah perniagaan yang telah pun stabil dan mantap, tetapi pada masa yang sama masih bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan, pendapatan serta hartanya.
Ia menggabungkan sifat manusia yang berusaha memajukan diri, berketerampilan dan memiliki kebolehan luar biasa untuk menterjemahkan sumber dan peluang yang halal kepada aktiviti yang membawa keuntungan yang maksimum.
U
ntuk berjaya, ujar beliau para usahawan terutamanya yang muda haruslah yakin dengan keupayaan diri. Sekiranya mereka tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri, perkara yang mudah juga pasti akan menjadi sukar.

Seterusnya, disusuli dengan perancangan yang terperinci dan mantap. Memandangkan keusahawanan merupakan bidang yang berkait rapat dengan perniagaan, perancangan awal dari aspek modal, tenaga kerja, kepimpinan dan kewangan adalah antara perkara yang tidak boleh dielakkan.

Antara perkara yang harus dititikberatkan dalam menceburi dunia keusahawanan ialah etika keusahawanan itu sendiri. Elemen-elemen seperti etika keperibadian Islam, etika kerja, etika kemasyarakatan, hukum syariat, akhlak, niat yang betul serta beberapa prinsip asas dalam perniagaan seperti prinsip keadilan dan ihsan perlulah dimantapkan. Ini bagi memastikan setiap rezeki yang masuk ke dalam poket kita benar-benar halal dan diberkati.

Selain itu, usahawan yang bijak juga perlu mempunyai daya pemikiran yang kreatif dan berbeza daripada para peniaga lain. Hanya mereka yang berani mengambil risiko sahaja yang mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk menghasilkan keuntungan yang berlipat kali ganda.

Pun begitu, perlu dipastikan bahawa risiko yang diambil adalah selari dengan ilmu yang dimiliki. Ini kerana, risiko yang diambil secara terburu-buru adalah sia-sia. Sematkan dalam hati bahawa setiap usaha yang diambil perlu setimpal dengan ganjaran yang bakal diperoleh.

Lantaran itu, gandingan bersama dengan Muhammad Zakaria ini berjaya menggarap segala teknik yang diperlukan oleh individu untuk berjaya dalam dunia keusahawanan.

Menurut Muhammad Zakaria, langkah bijak bukanlah bermaksud jalan pintas, sebaliknya ia merujuk kepada perkara-perkara penting yang harus menjadi keutamaan dalam usaha untuk menggapai status usahawan.

Justeru, buku ini menggariskan segala isi penting dan perkara pokok yang menjadi asas kejayaan seorang usahawan dari perspektif Islam. Ia disampaikan secara santai dengan gambar foto dan ilustrasi warna penuh, berkulit keras di samping menggunakan kertas yang berkualiti tinggi, sesuai untuk bakal usahawan, usahawan baru serta usahawan veteran. Turut disertakan ialah glosary usahawan lengkap dan sesuai untuk rujukan pelajar menengah dan institusi pengajian tinggi.

Untuk maklumat lanjut mengenai buku ini, sila hubungi 03-6275 4070 atau layari www.telagabiru.net.my

Kreativiti jana rezeki

Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my
2010/03/10
KEMAHIRAN dan kreativiti sebenarnya ilmu yang boleh dipelajari. Kolaborasi kedua-duanya mampu memberikan kepuasan kepada mereka yang gemar berkarya selain turut memberi keuntungan berganda kerana boleh menjana pendapatan.
Hal itu dibuktikan pengusaha kuih-muih dan penggubah bungkusan cenderahati, Seri Kandi Jarkasi, yang memanipulasikan hobinya dengan mengadakan kelas bersama penggemar termasuk suri rumah.
Menurutnya, pembabitan lebih lima tahun dengan minat mendalam dalam bidang pembuatan biskut atau kuih-muih itu ternyata membuahkan hasil memberangsangkan.

"Ia bermula sebagai hobi kerana saya gemar membuat kuih-muih dan dijual kepada jiran atau kenalan. Tetapi galakan mereka supaya saya menjualnya secara komersial membuatkan saya memikirkan sesuatu, lagipun aliran kini yang semakin menggemari seni gubahan menarik.

"Justeru saya terpanggil untuk mengajak wanita lain berkongsi sesuatu untuk meraih pendapatan lebih.

"Akhirnya saya menceburi bidang gubahan cenderahati atau hamper dengan menjualnya secara serius dan sambutan amat memberangsangkan mendorong saya melakukannya secara besar-besaran. "Ternyata usaha tidak sia-sia apabila banyak syarikat korporat dan individu menyenanginya sehingga tidak menang tangan setiap kali menjelang musim perayaan.
"Dua bulan sebelum bulan puasa, saya sudah mula sibuk dengan tempahan yang datang dalam pelbagai bentuk. Adakalanya tempahan banyak membuatkan saya tidak dapat berhari raya di kampung," katanya yang bangga dengan penubuhan Astana Jentayu Sdn Bhd.

Apa yang membanggakan akauntan di sebuah institusi pendidikan ini, kebanyakan hampernya turut mendapat tempahan tidak mengira musim perayaan sebaliknya sentiasa ada untuk jualan.

Bukan hanya kalangan Muslim yang memberi perhatian atas kerja kerasnya itu terutama pada sambutan Aidilfitri sebaliknya pada sambutan Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Melakukan dua kerja dalam satu masa, dia tidak menafikan mempunyai dua pembantu rumah yang banyak membantu meringankan kerjanya.

Atas hasrat berkongsi kemahiran bersama mereka yang turut meminati bidang berkenaan, dia mengadakan bengkel membuat biskut dan mengajar teknik pembungkusan kuih-muih yang menarik.

Mungkin sesuatu yang di luar jangkaan apabila pada tahun lalu, ada peserta melakukan kerja sampingan itu mampu meraih pendapatan puluhan ribu ringgit.

"Sebenarnya, inilah hobi yang membuatkan saya begitu seronok dan puas. Setakat ini, jarang pelanggan mengomel mengenai biskut atau kuih-muih yang menjadi buah tangan saya. Kebanyakan mereka juga menjadi pelanggan dan rakan baik saya.

"Saya perturunkan cara gubahan menarik dengan teknik terkini yang jarang dilakukan sebelum ini," katanya.

Peserta bengkel yang juga setiausaha di syarikat swasta, Zainiza Mustafa, 35, tidak menduga kerja kerasnya dua tahun lalu berbaloi.

"Saya tidak menjangka mampu memperoleh puluhan ribu ringgit tahun lalu menerusi jualan hamper, mungkin berkat kerja keras selama ini.
"Kebanyakan pelanggan terdiri daripada rakan sepejabat, kenalan serta syarikat korporat. Selain bersengkang mata membuat kuih-muih serta menggubahnya pada waktu malam atau hari minggu, saya juga terpaksa turun padang dan melakukan kerja pemasaran.

"Ia penting kerana jangkaan saya dalam setahun lagi, saya akan membuka syarikat sendiri dan menceburi bidang pembuatan gubahan ini secara serius," katanya.

Punithavathi Kaliapan, 45, juga teruja menjana pendapatannya dengan menghasilkan hamper apabila melihat sambutan memberangsangkan pelanggan. "Pada saya, tidak rugi mengikuti setiap kelas yang diadakan kerana ia memberi pulangan lebih daripada itu.

"Melakukan kerja sambilan ini sejak dua tahun lalu, saya semakin yakin untuk melakar perniagaan sendiri nanti. Setakat ini, bantuan suami dan saudara-mara memberi keyakinan tinggi kepada saya.

"Selain itu, syarikat korporat juga berminat membuat tempahan terutama ketika sambutan perayaan Deepavali, lalu membuatkan saya semakin teruja untuk membuka syarikat sendiri," katanya yang memiliki kerjaya dalam bidang perakaunan.

Noorliyah Abdul Wahab, 39, mengakui menggali ilmu dalam pelbagai bidang memberinya pengetahuan berguna untuk dimanfaatkan apabila berhasrat membuka perniagaan berasaskan gubahan dan cenderahati suatu hari nanti.

"Saya suka mencari pengalaman sebanyak mungkin dalam apa juga perkara yang dianggap boleh dikomersialkan. "Saya pula minat membuat kuih-muih dan turut belajar membuat kek cawan sendiri bahkan apa saja bengkel berkaitan masakan asalkan ia memberi pulangan berbaloi.

"Asas yang ada dalam kelas cenderahati ini saya manfaatkan sebaiknya kerana berhasrat membuka kedai kek atau kuih-muih suatu hari nanti. "Ada anak saya yang meminati bidang ini turut mengikuti kursus. Selain itu, saya menguar-uarkannya dalam Facebook sebagai satu cara pengiklanan," kata pengaturcara komputer ini.

Industri kecil dan sederhana: Landasan pembangunan usahawan

Usahasama korporat (Siri Motivasi Usahawan)

Direktori usahawan Malaysia =: Malaysian entrepreneurs directory

Thursday, March 11, 2010

Perniagaan Memerlukan Pemasaran

by Datuk Mohd Nasir Ahmad

Mengurus perniagaan memerlukan tahap kefahaman yang mencukupi. Tidak kira sama ada seseorang itu usahawan atau pengurus professional, kejayaan perniagaan yang diurusnya bergantung kepada tahap kefahamannya mengenai perniagaan.

Satu perkara asas mengenai perniagaan yang perlu difahami ialah Kitaran Perniagaan. Dengan memahami Kitaran Perniagaan, kita dapat melihat bagaimana sesuatu perniagaan itu bergerak dan menjana aliran tunai. Dalam perniagaan, aliran tunai adalah perkara paling penting dan kedudukan aliran tunai yang sihat akan menjamin perkembangan dan pertumbuhan perniagaan.
Secara ringkasnya Kitaran Perniagaan boleh ditunjukkan seperti Rajah 1 berikut:
ac_rajah1.gif
Rajah di atas menunjukkan bahawa perniagaan memerlukan modal wang untuk pembelian stok barangan atau bahan mentah yang mungkin perlu ditambah nilai melalui proses tertentu bagi menyediakan sesuatu produk atau keluaran. Bagi mendapat balik modal wang yang dibelanjakan, produk atau perkhidmatan yang dihasilkan perlu dijual di pasaran. Jika produk yang terhasil gagal dijual, kitaran perniagaan tidak akan lengkap dan ini menjejaskan aliran tunai perniagaan tersebut. Tanpa aliran tunai yang positif, perniagaan tidak mempunyai peluang untuk terus bertahan.

Penjualan produk atau perkhidmatan adalah satu perkara penting bagi operasi perniagaan. Untuk memastikan jualan dapat dilaksanakan ditahap paling tinggi, kefahaman tentang pemasaran dikalangan usahawan atau pihak pengurusan amat perlu. Kita telah melihat banyak perniagaan  gagal kerana kelemahan dari segi pemasaran. Ramai usahawan  mampu menghasilkan produk atau perkhidmatan yang baik dan berkualiti tetapi perniagaan mereka masih gagal kerana tidak dapat memasarkan produk seperti diharapkan. Oleh itu, setiap rancangan perniagaan harus memberi penekanan kepada aspek pemasaran.

Masih ramai yang memahami pemasaran sebagai hanya penjualan dan pengiklanan.  Pemasaran sebenarnya adalah lebih dari itu. Kotler & Armstrong dalam Principles of Marketing menulis “Konsep pemasaran mengatakan bahawa pencapaian matlamat organisasi bergantung kepada usaha menentukan keperluan dan kehendak pasaran sasar dan memberi kepuasan yang dikehendaki dengan lebih efektif dan efisien daripada pesaing”. Konsep jualan berbeza dari konsep pemasaran di mana konsep jualan bermula dari kilang sementara konsep pemasaran bermula dengan pasaran. Perbezaan kedua konsep ini di tunjukkan seperti Rajah 2 berikut:
rajah 2.jpg
Konsep jualan tidak sesuai dalam pasaran di mana pelanggan yang berkuasa. Oleh kerana pemasaran berkait dengan kepuasan pelanggan, ia melibatkan produk, pembungkusan, promosi, harga dan pasaran. Maka tumpuan keatas faktor-faktor ini penting untuk menghasilkan pemasaran bersepadu yang boleh meningkatkan jualan. Kombinasi produk yang baik, pembungkusan yang menarik serta harga yang kompetitif hanya akan berkesan sekiranya ia memenuhi kehendak pasaran sasar.

Dalam keadaan pasaran yang semakin bersaing dan lebih terbuka, adalah wajar kaedah pemasaran  memfokus kepada segmen pasaran dan produk diguna pakai. Syarikat perniagaan mungkin perlu mengenalpasti pasaran nich sebagai tumpuan. Memfokus kepada produk juga penting kerana apabila pasaran menjadi semakin besar, pengkhususan produk akan memberi kelebihan. Adalah lebih mudah memberi tumpuan kepada produk yang khusus daripada cuba mempelbagai produk dalam suasana pasaran yang luas. Dari masa kemasa, banyak perniagaan gagal apabila hilang fokus terhadap perniagaan asasnya.

Pengkhususan produk akan memastikan kualiti yang tinggi. Namun begitu, dalam keadaan di mana teknologi semakin memudahkan proses-proses pembuatan, kualiti produk yang tinggi mudah ditandingi oleh para pesaing. Oleh itu, kualiti yang tinggi harus pula ditawarkan pada harga yang lebih rendah dari pesaing.

Satu lagi aspek pemasaran yang harus diberi perhatian kini ialah konsep jenama (brand). Ada jenama yang besar dan terkenal diseluruh dunia dan ada juga jenama-jenama kecil yang khusus dan bertumpu kepada pasaran tertentu. Bagi perniagaan yang sukar menandingi jenama besar, strategi yang sesuai ialah membina jenama khusus untuk pasaran tertentu.

Pemasaran adalah penting untuk pertumbuhan perniagaan. Perniagaan yang tidak memberi tumpuan kepada pemasaran akan gagal dalam jangka terdekat kerana jualan akan terjejas dan  kitaran perniagaan juga akan terjejas. Untuk memastikan pemasaran lebih berkesan, pengurusan tertinggi syarikat hendaklah melibatkan diri secara langsung dalam proses pemasaran. Pemasaran adalah terlalu penting untuk diserahkan hanya kepada pengurus pemasaran dan jabatan pemasaran. Ketua-ketua eksekutif syarikat mesti memahami konsep pemasaran secara mendalam di samping memahami bidang kewangan, pengeluaran, pengurusan dan sebagainya.


Sunday, February 28, 2010

Usaha lahir usahawan Bumiputera berwibawa

KERANGKA ekonomi baru yang lebih liberal bertujuan melahirkan usahawan Bumiputera berwibawa yang dapat bersaing dalam sistem ekonomi sebenar yang bergantung kepada kuasa pasaran.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata sudah ada beberapa usahawan Bumiputera dalam bidang pembuatan, perkilangan, pembinaan dan pengurusan aset yang bukan saja mampu bersaing dalam negara, bahkan pada peringkat antarabangsa.

Justeru, katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memantau kepentingan orang Melayu tidak perlu bimbang dasar liberalisasi ekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke-10 akan menghapuskan hak istimewa Bumiputera dalam perniagaan.


Industri kecil dan sederhana: Landasan pembangunan usahawan
Direktori usahawan Malaysia =: Malaysian entrepreneurs directory
Memperkasakan usahawan: Panduan lengkap pengurusan perniagaan dan penjanaan usahawan
Menjaring usahawan bumiputera (Siri pengurusan dan perniagaan utusan)

Wednesday, February 24, 2010

Berdikari dalam bisnes

Untuk memulakan sesuatu perniagaan, perusahaan tidak semestinya memiliki modal yang banyak. Tidak perlu membuat pinjaman dari bank kerana ia melibatkan riba. Disebut dalam satu hadith: “Sesiapa yang ingin berdikari, Allah SWT akan kurniakannya kemampuan, dan sesiapa yang ingin bersih, Allah SWT akan kurniakan yang bersih kepada mereka

Kata orang bijak-pandai, masalah tidak akan selesai dengan meminta-minta, kamu tidak akan menjadi kaya dengan pemberian orang (atau melalui pinjaman bank). Ini benar kerana seorang yang memberi, berapa kali beliau boleh memberi. Kekayaan boleh didapati melalui usaha gigih, tekun, tidak jemu-jemu mencari harta, bersabar, berjimat-cermat dan lain-lain.

Dari usaha yang dibuat secara kecil-kecilan dan berkekalan, ia akan menambahkan harta seseorang dalam mencari harta, seharusnya dari bawah dia naik ke atas dan bukan sebaliknya.

Dengan modal sebanyak 7 dirham (lebih kurang RM 7), sahabat nabi yang bernama Abdul Rahman RA telah menjadi jutawan di zaman Nabi kita, kekasih Allah SWT. Beliau berasal dari Makkah Mukarramah. Apabila berpindah ke Madinah Munawwarah, beliau bertanya seorang sahabat lain “Tunjukkan kepadaku di mana pasar?”. Di pasar tersebut beliau membeli barang-barang dagangan yang diingini beliau dan kemudian beliau menjualnya di pasar itu juga sehingga akhirnya beliau menjadi salah seorang sahabat yang terkaya.

Ramai orang kita yang telah mendapat banyak bantuan bank atau kerajaan (untuk menjalankan perniagaan terus secara besar-besaran) yang akhirnya perniagaan mereka gulung-tikar disebabkan tiada pengalaman menjalankan perniagaan secara besar-besaran. Proses mengumpul harta berkumpul sama seperti proses umur manusia, ia mesti melalui bermacam rintangan, pahit-maung, rebah-bangun dan akhirnya barulah umur itu genap lima puluh tahun. Ia tidak boleh terus menjadi, seperti selepas lahir terus berumur lima puluh tahun.

Ketekunan, kebersihan hati, ketabahan hati, kepandaian dan tahu cara berniaga sudah mencukupi untuk berjaya. Allah SWT tetap membantu mereka untuk mendapat harta, dengan syarat: jangan melakukan penipuan, jangan bersumpah dengan mengatakan barang yang tidak baik (kualitinya) itu baik, jangan menunjukkan barang yang baik tetapi apabila dibeli diberi barangan yang rosak dan jangan bercakap bohong ketika berurusniaga.

Sunday, February 21, 2010

Modal RM7 jadi jutawan

Dengan modal sebanyak 7 dirham (lebih kurang RM 7), sahabat nabi yang bernama Abdul Rahman RA telah menjadi jutawan di zaman Nabi kita, kekasih Allah SWT. Beliau berasal dari Makkah Mukarramah. Apabila berpindah ke Madinah Munawwarah, beliau bertanya seorang sahabat lain “Tunjukkan kepadaku di mana pasar?”. Di pasar tersebut beliau membeli barang-barang dagangan yang diingini beliau dan kemudian beliau menjualnya di pasar itu juga sehingga akhirnya beliau menjadi salah seorang sahabat yang terkaya.

Disebut dalam satu hadith: “Sesiapa yang ingin berdikari, Allah SWT akan kurniakannya kemampuan, dan sesiapa yang ingin bersih, Allah SWT akan kurniakan yang bersih kepada mereka”

Seorang Islam dalam mencari kehidupan mereka dan mengumpul harta, terdapat cara yang menyeleweng dari Islam dan ada cara yang tepat dengan Islam.

Dunia ini didiami oleh orang Islam, orang kafir, orang baik dan tidak baik. Begitu juga cara hidup, ada yang baik dan ada pula yang sebaliknya. Dunia ini berfungsi sebagai tempat ujian. Manusia dalam mengejar cita-cita mereka boleh memilih apa cara yang diingini oleh mereka.

Tetapi jika seorang Islam ingin maju secara yang bersih, Allah SWT tetap akan menolong mereka dalam cita-cita mereka dan mengurniakan kejayaan dalam hidupnya.

Dalam satu hadith yang lain disebut bahawa sahabat tersebut telah terlambat memasukki syurga selama lima ratus tahun selepas sahabat-sahabat lain. Apabila bertemu dengan Baginda yang Mulia, Baginda bertanya “Di mana kamu Abdul Rahman? Jawab beliau “ Saya di Padang Mahsyar (disebabkan hartanya yang banyak, banyak perhitungan semasa perbicaraan dijalankan).

Pesanan kepada orang Islam, khasnya pemuda Islam
Untuk memulakan sesuatu perniagaan, perusahaan tidak semestinya memiliki modal yang banyak. Tetapi ketekunan, kebersihan hati, ketabahan hati, kepandaian dan tahu cara berniaga sudah mencukupi untuk berjaya. Allah SWT tetap membantu mereka untuk mendapat harta, dengan syarat: jangan melakukan penipuan, jangan bersumpah dengan mengatakan barang yang tidak baik (kualitinya) itu baik, jangan menunjukkan barang yang baik tetapi apabila dibeli diberi barangan yang rosak dan jangan bercakap bohong ketika berurusniaga.

Maka dengan itu ia akan diberi pertolongan oleh Allah SWT. Apa yang disabdakan oleh Nabi SAW dan apa yang dituliskan di sini boleh diuji.

Dalam mengejar sesuatu kedudukan, samada urusan politik, agama, perniagaan dan yang lain, jangan sesekali berputus asa atau kecewa. Kegagalan yang dialami oleh seseoranglah yang akan mengajar mereka sehingga berjaya.

Rasulullah SAW bersabda “ Seseorang itu tidak akan menjadi bijak selagi beliau tidak tersungkur (dalam usahanya). Begitu juga seseorang tidak akan bijak kecuali sesudah berpengalaman (Dari kitab Tirmidzi)

Graduan tauke baja cacing

Dilahirkan menerusi program mencungkil bakat keusahawanan USM, dua graduan universiti itu kini sudah enam bulan menjadi usahawan baja cacing.


NAIB CANSELOR USM, Dzulkifli (tengah) menunjukkan produk baja organik Dr. Worm hasil penyelidikan Pusat Pengajian Sains Hayat USM bersama dua graduan yang memasarkan produk tersebut iaitu Abdul Hadi (kiri) dan Sharifah (dua daripada kanan).


BERGELAR usahawan baja cacing tidak membuatkan mereka rendah diri. Sebaliknya ia memberi semangat baru kepada dua graduan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang ini apabila mereka menolak kerja makan gaji.

Yakin bekerja sendiri memberikan lebih kepuasan walaupun sedar ada risiko menanti, Abdul Hadi Abu Osman dan rakannya, Sharifah Rabitah Sareh Hashim membulatkan tekad untuk menceburi bidang keusahawanan.

Sejak enam bulan lalu, mereka giat mempromosikan produk baja organik jenama Dr. Worm yang dilakukan melalui kerjasama Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat (PPSH) dan Sanggar Sains USM.

Abdul Hadi, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan, bertanggungjawab dalam aspek pemasaran dan pembungkusan manakala Sharifah, lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi, bertindak sebagai pengawal produk.

Menurut Abdul Hadi, produk baja organik daripada cacing tanah itu adalah hasil kajian para penyelidik yang juga pensyarah PPSH dan dipasarkan menerusi syarikat My Agrotech yang ditubuhkan pusat pengajian itu.

"Ia baja organik berkualiti tinggi yang dihasilkan dengan mengambil kira faktor kualiti, biologi dan alam sekitar hasil penyelidikan para pensyarah USM.


HASNAH menunjukkan segumpal cacing tanah yang diternak.


"Baja organik ini cuma berharga RM4 sekilogram berbanding produk sama di pasaran iaitu RM7 sekilogram. Bagaimanapun, kualiti Dr. Worm tetap terjamin.

"Dalam masa terdekat, baja Dr. Worm yang diproses secara organik di Pendang dan Padang Serai, Kedah ini akan dibekalkan ke beberapa syarikat pertanian selain dijual di pasaran terbuka

"Ketika ini ia di peringkat akhir untuk pengeluaran dengan kapasiti kira-kira 20 tan metrik sebulan tetapi jumlah ini boleh ditingkatkan mengikut permintaan pasaran," ujarnya.

Abdul Hadi dan Sharifah Rabitah dilahirkan menerusi program Student Entrepreneurship Development Initiative Agenda atau SEDIA, iaitu program mencungkil bakat keusahawanan di kalangan graduan USM oleh universiti tersebut.

Menerusi kerjasama itu, SEDIA mengetengahkan produk inovasi pensyarah (menerusi penghasilan baja cacing) manakala proses pemasaran dilakukan para graduan sekali gus menghasilkan satu penjenamaan produk yang baik.

Program selama enam bulan itu bermula sejak Julai 2009 dan berakhir Disember tahun lalu meliputi program bimbingan usahawan dan kelas produk sebelum peserta memulakan projek perniagaan pilihan masing-masing.


HAMPAS tebu digunakan untuk pembiakan cacing.


Ia pendekatan kreatif USM bagi mewujudkan pekerjaan baru melalui bidang keusahawanan.

Bagi projek My Agrotech itu, kedua-dua pelajar terbabit dibimbing oleh Profesor Madya Dr. Hasnah Md. Jais yang terbabit sepenuhnya dalam penyelidikan baja Dr. Worm yang sesuai bagi semua kegunaan pertanian.

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang penyediaan baja bio, penggunaan berkaitan cacing tanah dan penghasilan vermikas berkata, faktor kualiti tinggi membezakan baja Dr. Worm dengan produk seumpamanya di pasaran.

"Dr. Worm bukan bertujuan menyaingi produk lain, tetapi sebagai universiti penyelidikan berteraskan sains, kita bertanggungjawab memberikan sesuatu kepada masyarakat melalui hasil penyelidikan," katanya.

Thursday, February 18, 2010

Mazlan Bermula Dari Usahawan Kampung

Utusan Malaysia - Ekonomi, 28 Jan 2008

Ada pihak menggelarnya ‘Raja Minyak Sawit Malaysia’. Namun, bagi Pengarah Urusan MM Vitaoils Sdn. Bhd., Mazlan Muhammad, anak kelahiran Bachok, Kelantan ini, lebih selesa dipanggil usahawan kampung sahaja.

Mazlan, 48, tahun berkata, pengalaman berniaga di pasar di Ketereh pada zaman kanak-kanak tetap tersimpan rapi dalam memori diari hidupnya.

“Ia merupakan satu permulaan melalui pengalaman berharga bagi mencapai kejayaan hari ini,” katanya merendah diri.

MM Vitaoils yang diterajui Mazlan kini adalah syarikat Bumiputera yang berjaya dalam industri hiliran minyak sawit sebagai pengeluar dan pengedar produk berasaskan minyak sawit dan lelemak bagi pasaran global.

Kejayaan besar beliau ialah membangunkan kilang minyak sawit di Seksyen 23, Shah Alam dan dalam tempoh empat bulan, MM Vitaoils berjaya melakukan eksport pertama ke Afrika.

Pada tahun yang sama, perolehan syarikatnya mencecah RM28.1 juta, satu jumlah yang besar bagi sebuah syarikat yang hanya memiliki 83 orang pekerja.

Dengan modal berbayar hanya sebanyak RM100,000 ketika mula beroperasi, MM Vitaoils kini memiliki modal berbayar sebanyak RM6.5 juta.

Semua kejayaan itu dicapai oleh syarikat itu dalam tempoh lima tahun beroperasi dan membolehkan Mazlan menerima Anugerah Keusahawan Unggul pada Anugerah Keusahawanan Asia Pasifik 2007 anjuran Sekretariat Malaysia APEA 2007, tahun lalu.

Bapa kepada empat orang cahaya mata ini berkata, beliau nekad meninggalkan kerjaya sebagai Ketua Bahagian Pengurusan (Makanan dan Minuman) di Malaysia Airports Niaga pada 1999.

“Ketika itu, saya tidak mempunyai banyak maklumat tentang minyak sawit. Cuma, apa yang saya tahu, produk ini lebih tahan lama penggunaannya,” jelas anak kedua daripada enam beradik ini.

Memiliki diploma pemasaran, Mazlan memulakan karier sulungnya di New Straits Times sebagai Pegawai Pengedaran.

Mengenai hobinya, Mazlan berkata, beliau minat membaca.

“Sekurang-kurangnya, saya akan menghabiskan membaca satu buku sebulan termasuk buku mengenai agama dan tokoh perniagaan asing.

“Selain itu, seminggu sekali saya main golf. Waktu pagi saya masih sempat berjoging atau berenang,” katanya bercerita tentang aktiviti lapangnya itu.



Kemahiran Mengurus Tingkat Daya Saing

Berita Harian - Nota Niaga, 19 Mar 2007


Perkara paling menggembirakan bagi sesebuah agensi pelaksana pembangunan usahawan Bumiputera seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) ialah melihat usahawan Bumiputera berjaya dalam perniagaan yang diceburi.

Bagi mencapai hasrat mengimbangi perkongsian kekayaan ekonomi negara di kalangan rakyat berbilang kaum, pelbagai agensi pelaksana diberi tanggungjawab membantu usahawan, khususnya Bumiputera. Sudah pasti menjadi matlamat semua agensi melahirkan usahawan berjaya.

Kejayaan usahawan di bawah naungan dan bantuan pelbagai agensi ini juga secara langsung menjadi pengukur kepada tahap kejayaan agensi terbabit. Apabila usahawan berjaya, agensi pelaksana dikira berjaya dan seterusnya negara juga berjaya dalam pelaksanaan dasar berkaitan pembangunan ekonomi.

Apakah ukuran sebenar kejayaan seseorang usahawan dan perniagaannya? Untuk jangka panjang, cabaran utama kepada seseorang usahawan ialah bagaimana dapat kekal bertahan dalam perniagaan dan seterusnya mengembangkan perniagaan.

Bagi mengekalkan kesinambungan perniagaan, satu daripada keperluan utama ialah memastikan perniagaan dapat meraih keuntungan. Ada masanya perniagaan mungkin rugi. Namun secara keseluruhannya, sukar bagi perniagaan meneruskan operasi secara aktif jika tidak meraih keuntungan.

Kemajuan pesat teknologi, khususnya dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membawa banyak perubahan dalam pengurusan perniagaan. Teknologi mengubah pelbagai proses kerja dan meningkatkan kecekapan serta produktiviti.

Perubahan dan pembaharuan teknologi juga meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan. Dalam banyak keadaan, perubahan dan pembaharuan teknologi juga berjaya mengurangkan kos, sekali gus menjadikan pengamal teknologi tertentu mendapat kelebihan bersaing.

Pada masa sama, pakar pengurusan pula terus mencari dan memperkenalkan pelbagai kaedah baru dalam teknik pengurusan. Penggunaan beberapa kaedah baru pengurusan juga mampu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan kerja. Ia juga berjaya memperbaiki kualiti keluaran serta mengurangkan kos dalam jangka panjang.

Dalam suasana di mana usahawan dan ahli perniagaan perlu sentiasa peka dengan kemajuan teknologi dan teknik pengurusan, isu globalisasi juga memerlukan perhatian serius. Proses globalisasi menjadikan perniagaan antarabangsa beroperasi dalam suasana dunia tanpa sempadan.

Proses globalisasi secara langsung memberi kesan kepada usahawan kerana tahap persaingan antara perniagaan semakin sengit.

Kesan ini bukan hanya kepada usahawan dalam negara tetapi kepada usahawan dan perniagaan seluruh dunia. Persaingan perniagaan sudah pada paras baru iaitu persaingan antara negara, bukan sekadar antara entiti perniagaan.

Persekitaran perniagaan hari ini sudah pasti menjadikan cabaran untuk seseorang usahawan kekal bertahan dalam perniagaan dan berkembang semakin rumit. Untuk membina daya tahan supaya dapat meneruskan perniagaan, usahawan perlu mampu bangun semula dengan cepat apabila mengalami halangan atau masalah.

Untuk menjadi usahawan berdaya tahan, setiap kesilapan atau kesalahan ketika mengurus perniagaan hendaklah dijadikan iktibar dan pengajaran berguna bagi mengharungi masa depan. Setiap kesilapan sudah pasti memberi beban kos dan kesan kewangan kepada perniagaan. Amat penting kesilapan sama tidak diulangi.

Sehingga kini kita dapati masih ramai usahawan Bumiputera terlalu bergantung kepada bantuan dan sokongan kerajaan untuk berjaya. Majoriti usahawan Bumiputera masih melihat kepada kerajaan untuk sokongan kewangan dan pasaran.

Walaupun sudah ramai usahawan Bumiputera berjaya membuktikan kemampuan mereka dalam perniagaan hasil bantuan kerajaan, masih ramai tidak berjaya sepenuhnya. Golongan ini didapati gagal membina kemahiran dan pengalaman perniagaan mencukupi untuk berjaya dan kekal dalam bidang perniagaan diceburi.

Kelemahan usahawan Bumiputera jelas dapat disaksikan dalam persaingan di pasaran terbuka. Hanya segelintir usahawan Bumiputera dilihat mampu bersaing dengan usahawan bukan Bumiputera untuk mendapat pesanan pembelian jika bersaing di pasaran bukan kerajaan.

Kelemahan usahawan Bumiputera bersaing di pasaran terbuka pada asasnya adalah disebabkan kelemahan dalam kemahiran mengurus perniagaan dan juga kekurangan masyarakat perdagangan Bumiputera untuk memberi sokongan.

Masyarakat perdagangan Bumiputera perlu berkembang untuk memberi kekuatan dan kemampuan membantu sesama sendiri.

Kita dapati kekurangan usahawan Bumiputera dalam bidang pembuatan dan pemborongan khususnya menyebabkan usahawan Bumiputera bidang peruncitan terpaksa bergantung kepada budi bicara usahawan bukan Bumiputera.

Dalam banyak keadaan, suasana ini boleh menyebabkan usahawan Bumiputera tidak dapat beroperasi pada tahap kos minimum, sekali gus menjadikan mereka hilang daya saing. Apa yang lebih penting, usahawan Bumiputera perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mengurus perniagaan.

Kelemahan dalam kemahiran mengurus perniagaan adalah isu lebih kritikal. Tidak ada ertinya mendapat pelbagai sokongan atau kelebihan mendapat kos pembelian murah jika tiada kemampuan mengurus perniagaan dengan cekap. Kemahiran mengurus sebenarnya mampu mengatasi kelemahan jika usahawan menggunakannya dengan bijak.

Kemahiran pengurusan perlu merangkumi kemahiran mengurus kewangan, pembelian bahan, penjualan, tenaga kerja dan sebagainya. Secara lebih terperinci, usahawan perlu juga membina kemahiran asas seperti cara berkomunikasi, kaedah perundingan, cara membuat persembahan dan seumpamanya.

Semua kemahiran mengurus ini boleh dipelajari dengan menghadiri kursus tertentu atau belajar daripada pengalaman sendiri dan juga pengalaman orang lain.

Walaupun sibuk dengan perniagaan, usahawan perlu mencari masa membaca pelbagai bahan bacaan berkaitan perniagaan dan pengurusan untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran.

Sebagai usahawan, seseorang itu perlu sentiasa membuka minda untuk menerima perkara baru. Ada masa kita tidak dapat menunggu ketibaan sesuatu pembaharuan untuk menjadi lebih berjaya. Dalam keadaan begini, usahawan sendiri perlu menjadi penggerak kepada pembaharuan untuk mengubah haluan prestasi perniagaan.

Usahawan Bumiputera perlu terus berusaha meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kualiti dalam mengurus perniagaan masing-masing.

Ini akan memberi kelebihan bersaing dan memberi peluang untuk bertahan serta kekal dalam pasaran dan diiktiraf sebagai usahawan berjaya.

Laut Biru bina usahawan Melayu

ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 17/11/2006

‘STRATEGI Laut Biru’ wajar menjadi aspirasi baru dalam usaha membina lebih ramai usahawan yang mampu mengekalkan daya kompetitif negara pada masa hadapan.

Kita berhadapan dengan cabaran global yang semakin sengit untuk membangunkan negara.

Pada masa yang sama, tempoh 14 tahun yang tinggal sebelum fajar 2020 menyingsing memaksa kita untuk bergerak dengan lebih pantas. Kita juga perlu mengubah paradigma dalam menongkah arus abad ke-21.

Pelbagai agenda dan strategi telah diatur bagi mencapai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020. Dalam mengorak langkah ke arah matlamat tersebut, negara pada hakikatnya memerlukan lebih ramai usahawan berjiwa besar bagi mencapai wawasan yang telah digariskan.

Usahawan merupakan seseorang yang berani mengambil risiko untuk membawa idea-idea baru yang kreatif atau inovatif untuk dikomersialkan. Syarikat-syarikat gergasi yang wujud sekarang seperti Ford, Toyota, Microsoft, Google dan banyak lagi, semuanya wujud hasil daripada penat lelah pengasasnya yang bermula sebagai seorang usahawan berjiwa besar.

Hakikatnya, landskap perniagaan dan pasaran masa kini begitu kompetitif dan pantas berubah. Ini memerlukan paradigma, pemahaman serta strategi baru yang ampuh bagi menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. Buku karya W. Chan Kim dan Renee Mauborgue yang berjudul Blue Ocean Strategy: How to Create Uncontested Market Space and Make Competition Irrelevant menerangkan akan peri pentingnya para usahawan memahami semua perubahan dan cabaran ini dalam menghadapi persaingan perniagaan abad ke-21. Mereka lantas mengesyorkan Strategi Laut Biru sebagai suatu kaedah bagi menghadapi cabaran-cabaran ini.

Negara memerlukan ramai usahawan untuk muncul sebagai sebuah negara yang maju. Kita mempunyai bilangan graduan yang ramai dewasa ini dan galakan untuk menjadi usahawan yang berjaya perlu terus disemai.

Graduan Melayu amnya tidak ramai yang bercita-cita untuk menjadi usahawan muda. Para graduan kebanyakannya ingin makan gaji pada awal usia muda dan hanya menanam cita-cita untuk menjadi usahawan di pertengahan usia ataupun setelah sampai umur bersara. Dianggarkan terdapat seramai 60,000 siswazah menganggur pada masa ini dan kebanyakannya adalah graduan bumiputera.

Sekiranya mereka berusaha dari sekarang untuk menjadi seorang usahawan, kita mempunyai harapan yang besar untuk merealisasikan Wawasan 2020 dan melihat anak Melayu meneraju kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju.

Tempoh 14 tahun mencukupi dan munasabah bagi seseorang usahawan untuk mencipta kekayaan bagi dirinya (sekurang-kurangnya menjadi jutawan) dan juga kepada masyarakat. Google misalnya, hanya baru berusia lapan tahun, dan pengasasnya sudah berjaya membuka lembaran baru kepada ekonomi Amerika dan juga dunia.

Lantaran itu, para graduan perlu berani menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Kejayaan sedia menanti bagi mereka yang mempunyai niat yang baik, berusaha dengan gigih, berdoa, bertawakal dan apabila berjaya, tidak lokek dengan ilmu, pengalaman dan kekayaan yang telah diperoleh.

Pada masa yang sama, agensi-agensi kewangan perlu lebih terbuka dalam membantu usahawan muda yang mempunyai idea yang kreatif dan inovatif untuk mengkomersialkan idea tersebut. Cabaran besar dalam melaksanakan perniagaan dengan Strategi Laut Biru ialah keengganan institusi-institusi kewangan yang skeptikal dengan idea baru dan lebih senang dengan kaedah perniagaan konservatif yang menjurus kepada Strategi Laut Merah.

Hafiz Usahawan Komputer Kitar Semula

Metro Ahad, 5 Oct 2008


"Kehidupan di kampus mendedahkan saya kepada satu keperluan, iaitu komputer. Ramai pelajar perlukan komputer tetapi mereka tidak mampu memilikinya kerana terlalu mahal," kata pemilik syarikat komputer kitar semula, Apex Technology, Hafiz Hashemi Johaini.

Siapa sangka, bermula daripada kesukaran membeli set komputer di universiti memberi idea kepada anak muda berusia 27 tahun ini meneroka bisnes `komputer mampu milik' hingga kini beliau mempunyai rangkaian lima kedai komputer di serata tanah air, tiga unit kedai bergerak di universiti awam utama di sekitar Lembah Klang, sebuah kilang dan menggaji lebih 20 pekerja.

Mengimbas pengalamannya sewaktu belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hafiz, ketika itu masih menuntut di tahun akhir, memulakan `perniagaannya' dengan menampal iklan menjual komputer pada harga mampu milik kepada pelajar UiTM di kolej kediaman dan pusat pengajian. Set komputer pertama yang dijual hanya berharga RM400.

Usaha itu ternyata berbaloi selepas menjual set komputer terpakai dan mencapai pendapatan RM2,000 sebulan walaupun ketika itu masih bergelar pelajar universiti. Jualan set komputer itu tersemai di benak Hafiz hingga beliau bertekad membangunkan perusahaan itu sebagai kerjaya.

Hafiz berkata, perniagaan secara kecil-kecilan itu sebenarnya lebih didorong daripada sikap tidak terlalu bergantung pada ibu bapa untuk menampung perbelanjaan di UiTM.

"Saya tidak dapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Jadi saya kena cari jalan bagaimana hendak dapatkan wang bagi menampung kos sara hidup.

"Waktu itu, walaupun masih belajar, saya perlukan belanja antara RM400 hingga RM500 sebulan untuk buat projek, beli buku, makan minum, sewa rumah dan pelbagai belanja lain," katanya yang bertekad untuk tidak membebankan keluarga walaupun bapanya pegawai bank.

Bagi Hafiz, bapanya masih perlu menanggung perbelanjaan hidup ibu dan empat adiknya di Taman Keramat.

Sebaik tamat pengajian dalam bidang Pengurusan dan Pentadbiran (Pengangkutan), Hafiz tidak terburu-buru mengusahakan perniagaan sendiri.

Sebaliknya beliau menimba ilmu dalam bidang jualan komputer dengan bekerja di sebuah syarikat milik bukan Bumiputera selama setahun.

Pada 2004, Hafiz memberanikan dirinya menubuhkan Apex Technology yang memanfaatkan komputer terpakai yang dibaik pulih untuk dijual semula.

Pada pertengahan 2005, Hafiz bertemu seorang rakan di Kedah yang membuka matanya terhadap kewujudan peluang menjadi usahawan iaitu melalui Skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) yang dianjurkan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).

Walaupun baru bermula dalam perniagaan komputer terpakai, Hafiz bercita-cita besar dan berhasrat memajukan perniagaan yang berkembang pesat berikutan permintaan tinggi di kalangan pengguna komputer, terutama pelajar.

Beliau berkata, PUNB memberi pinjaman bernilai RM175,000 untuk dia membeli lebih banyak skrap komputer daripada syarikat dan bank sebelum diambil komponen yang boleh diguna pakai semula.

Menurutnya, beliau mendapat sokongan padu daripada PUNB melalui beberapa kursus serta bimbingan dan khidmat nasihat, selain berbekalkan pengalaman sedia ada.

Bagi memastikan harga ditawarkannya kompetitif, Hafiz berkata, beliau perlu memastikan harga yang ditawarkan paling murah seperti set komputer semurah RM199 yang dilengkapi perisian Words, Excel, Powerpoint, pemacu CD dan melayari Internet.

Katanya, golongan sasaran seperti pelajar dan keluarga yang berpendapatan RM1,500 ke bawah menjadikan harga set komputer yang ditawarkan perlu mampu milik.

Untuk itu, beliau memerlukan stok komputer terpakai yang besar dan perlu bekerjasama rapat dengan pengusaha barangan lusuh dan pembeli peralatan serta komponen komputer terpakai yang didominasi peniaga bukan Bumiputera.

Menurutnya, pergaulan dan perniagaan dengan masyarakat Cina yang menguasai bisnes komputer dan barangan skrap yang banyak dijalankan oleh kaum India memberi pendedahan dalam perniagaan berkaitan.

Mengupas cabaran dihadapinya dalam membangunkan Apex Technology, Hafiz kesal di atas sikap usahawan Melayu yang tidak cekal, menyebabkan banyak perniagaan berkubur begitu saja selepas gagal dalam beberapa cubaan.

Beliau yang terbabit dalam usaha melahirkan usahawan muda daripada kalangan graduan mendapati hanya dua daripada 10 peserta berjaya meneruskan perniagaan lantaran sikap negatif itu.

"Mentaliti graduan muda kita, asal ada sijil saja ingat sudah boleh berniaga, sedangkan bisnes adalah satu tanggungjawab yang memerlukan disiplin, kecekalan dan komitmen.

"Bisnes rugi sekalipun kena teruskan kerana ia mengajar kita cara berniaga yang betul. Tidak ramai orang kita dalam perniagaan komputer, tetapi peluang yang ada masih terbuka luas untuk kita," katanya.

Ditanya mengapa beliau masih membujang walaupun berusia lewat 20-an, anak sulung lima beradik itu berkata, beliau mahu berjaya dulu dalam perniagaan sebelum memikirkan soal rumahtangga.

Malah, keluarganya tidak pernah membangkitkan soal perkahwinan kerana mereka memahami kesibukan dan dan cita-citanya dalam dunia perniagaan komputer.

Hasil aksesori jenama Apex

Apex Technology, syarikat pembekal komputer baru dan terpakai, meletakkan tempoh tiga tahun lagi untuk meningkat kedudukan syarikat itu sebagai antara pembekal peralatan komputer utama di negara ini selain mengeluarkan aksesori komputer di bawah jenama Apex.

Hafiz Hashemi berkata, hasrat itu akan disokong melalui penerokaan pasaran luar negara bermula dengan Indonesia selain usaha mewujudkan rangkaian usahawan komputer Bumiputera melalui pelbagai kerjasama dengan agensi kerajaan dan universiti tempatan.

"Bagi pasaran luar negara, Indonesia mempunyai potensi besar daripada segi permintaan terhadap komputer dan peralatannya. Syarikat berusaha meneroka pasaran itu di Mangga Dua, Jakarta pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata, Apex Technology juga bakal mendapat suntikan modal melalui pinjaman Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berjumlah RM1juta bagi pemerolehan lebih banyak peralatan baru dan skrap komputer dalam usaha meningkatkan stok dan memperluaskan pasaran komputernya.

"Bagi skrap komputer, kita berusaha mendapatkan bekalan daripada dalam dan luar negara, termasuk United Kingdom serta mengimport komponen baru dari China," katanya.

Menurutnya, buat masa ini syarikat yang berpangkalan di Medan Idaman Business Centre, Gombak, Selangor itu mempunyai lima premis di Plaza Idaman, Gombak; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Gombak, Selangor; Melaka; Tanah Merah, Kelantan; dan Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Selain itu, Apex Technology diperkukuhkan lagi melalui unit kedai bergeraknya di Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta sebuah kilang di Jalan Gombak.

Menurut Hafiz, set komputer kitar semula mempunyai pasaran besar, terutama di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai perniagaan Apex Technology boleh berkunjung ke laman web www.apextechnology.com.my. atau ibu pejabatnya di No 27A, Tingkat Satu, Jalan 4/21D Medan Idaman Business Centre, Gombak, Selangor, atau e-mel apex_tech1@yahoo.com.

Profil

NAMA: Hafiz Hashemi Johaini
UMUR: 27 tahun
ASAL: Taman Keramat, Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Pentadbiran (Pengangkutan) UiTM
JAWATAN: Pengarah Urusan Apex Technology
STATUS: Bujang

Kurang Disiplin Punca Usahawan Gagal

Berita Harian - Ekonomi, 24 Jul 2006


Kajian Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mendapati 65 peratus nisbah kegagalan usahawan Bumiputera berpunca daripada disiplin dan integriti yang lemah, manakala 35 peratus kerana masalah perniagaan yang diceburi.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata kajian yang dijalankan menerusi Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper), mendapati sebahagian besar usahawan Bumiputera gagal membentuk disiplin dan integriti yang baik menyebabkan perniagaan yang dijalankan terpaksa gulung tikar.

Katanya, ada juga perniagaan yang gagal disebabkan tempat kurang strategik di samping masalah produk yang tidak mendapat sambutan.

Dalam masa lima tahun iaitu dari 2000 hingga 2005, sebanyak 13 peratus daripada usahawan kita gagal dalam perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat khas skim Prosper Siswazah di Kuala Lumpur, kelmarin.

Sehingga tahun lalu, sebanyak 107 daripada 1,040 usahawan Bumiputera dilahirkan daripada skim yang diperkenalkan sejak 2000 didapati gagal dalam perniagaan mereka.

Tahun lalu saja, PUNB meluluskan 257 permohonan pinjaman skim Prosper dan bagi 2006, perbadanan itu mensasarkan kelulusan sebanyak 280 permohonan.

Skim Prosper diwujudkan untuk meningkatkan penyertaan dan pembabitan usahawan dalam sektor peruncitan dengan menawarkan pakej keusahawanan merangkumi pembiayaan perniagaan, pengurusan perakaunan, kemahiran keusahawanan dan khidmat kenal pasti premis perniagaan.

Beliau menasihatkan usahawan Bumiputera supaya cepat belajar, berdaya kreatif dan mempunyai pengetahuan serta sentiasa bersedia menghadapi cabaran dalam suasana perniagaan yang semakin kompetitif.

Sementara itu, mengenai skim Prosper Siswazah, Mohd Nasir berharap siswazah yang masih menganggur dan berminat dalam bidang perniagaan tetapi kekurangan modal, supaya tampil ke hadapan.

“Tidak semestinya dia mesti ada kedai, kalau dia mahu menjalankan perniagaan jualan langsung pun kita boleh tolong,” katanya.

Beliau berkata, skim Prosper Siswazah adalah sebahagian daripada skim Prosper iaitu siswazah yang berjaya dalam skim permulaan itu, akan diberi peluang menyertai skim Prosper yang menyediakan pinjaman sehingga RM1 juta.

Skim yang disediakan khusus untuk siswazah berumur 30 tahun ke bawah diwujudkan bagi mendorong, membimbing dan membangunkan siswazah menceburi bidang keusahawanan khususnya dalam sektor peruncitan.

Skim diperkenalkan sejak Ogos 2005, kini melahirkan 66 orang usahawan tempatan dengan jumlah pinjaman bernilai hampir RM2.2 juta.

Skim itu menyediakan pinjaman sehingga RM50,000 dengan tempoh pembayaran balik sehingga tujuh tahun. – Bernama

Usahawan Digalak Ceburi Perniagaan Jarang Diterokai

Utusan Malaysia - Ekonomi, 24 Mar 2008


Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) merancang membuka minda usahawan tempatan untuk menceburi bidang perniagaan yang jarang diterokai.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Mohd. Nasir Ahmad berkata, usahawan bumiputera harus lebih kreatif dan mempelbagaikan jenis perniagaan mereka dan tidak hanya tertumpu kepada jenis perniagaan yang sama.

‘‘Pada kebiasaannya, usahawan bumiputera atau Melayu lebih cenderung membuka perniagaan yang berasaskan makanan dan kedai runcit atau pasar mini.

‘‘Kini tiba masanya usahawan bumiputera mencuba sesuatu yang baru dan PUNB bersedia membantu bagi merealisasikan perniagaan mereka,’’ katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Perniagaan berasaskan makanan dan pasar mini masih mempunyai potensi untuk diteruskan tetapi ruang perniagaan yang lain turut mempunyai peluang yang cerah untuk ditembusi, katanya.

‘‘Antara peluang perniagaan lain termasuklah dalam sektor professional seperti klinik, farmasi, firma-firma perakaunan dan guaman serta perniagaan automotif, stesen minyak, alat ganti dan sebagainya.

‘‘Bagi menarik minat bakal usahawan, pelbagai cara telah dilakukan oleh PUNB termasuklah mempromosi dengan menjalankan kempen bergerak serta penghebahan melalui media massa,’’ tambahnya.

PUNB tidak hanya tertumpu kepada penyediaan pakej bantuan kewangan tetapi ia turut memberi latihan kepada usahawan, sokongan korporat dan pengurusan serta peluang mencari rangkaian rakan perniagaan.

Menurut Mohd. Nasir, bantuan kewangan yang disediakan pula sehingga 90 peratus mengikut jenis perniagaan tanpa perlu menyediakan cagaran.

Namun bakal usahawan terbabit perlu menyakinkan pihak PUNB dengan cadangan perniagaan mereka, ujarnya.

‘‘Sokongan korporat yang kami berikan termasuk sering mengawasi perjalanan perniagaan tersebut termasuk menandatangani cek serta menyemak laporan perniagaan mereka sehingga mereka boleh berdiri dengan sendirinya.

‘‘Kami mengakui para pegawai kami bukanlah sempurna tapi kami yakin kakitangan kami dapat menampung kekurangan usahawan, maksudnya kami akan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain,’’ tambahnya.

Sejak penubuhan PUNB yang kini berusia tujuh tahun, empat pakej utama yang diberi tumpuan projek usahawan bumiputera (PROSPER) runcit, PROSPER pemborong, PROSPER siswazah serta perusahaan kecil dan sederhana.

‘‘Sepanjang penubuhan PUNB, sebanyak RM192 juta telah diagihkan kepada para usahawan dan bagi tahun ini kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM134.5 juta.

‘‘PUNB akan mengagihkan jumlah tersebut kepada usahawan layak mengikut empat pakej yang kami sediakan,’’katanya.

Tambah Nasir, dengan peruntukan dan pakej yang ditawarkan PUNB berharap dapat melahirkan usahawan bumiputera di semua peringkat termasuk dari kecil hingga ke peringkat pembekal.

Integriti Usahawan Pengaruhi Daya Tahan Perniagaan

Berita Harian - Nota Niaga, 18 Dec 2006


Jika anda seorang usahawan, anda tentu sudah sering mendengar nasihat dan seruan supaya mengusahakan perniagaan berdaya maju, terus membina daya saing dan berusaha mencari jalan meningkatkan daya tahan.

Usahawan sentiasa diberi nasihat mengenai pentingnya daya maju, daya saing dan daya tahan perniagaan daripada pelbagai pihak termasuk menteri, pegawai kerajaan, perunding perniagaan, pemberi pinjaman, pemegang saham atau lembaga pengarah.

Ramai usahawan mungkin bosan mendengar nasihat berterusan supaya memberi perhatian kepada tahap daya maju, daya saing atau daya tahan perniagaan mereka. Sebahagian besar berasakan mereka sudah tahu apa perlu dilakukan dan yakin setiap tindakan diambil akan menjadikan perniagaan mereka berdaya maju, mampu bersaing serta berdaya tahan.

Malangnya, ramai usahawan tidak berusaha mengenal pasti apa perlu dilakukan untuk meningkatkan daya maju, daya saing atau daya tahan perniagaan mereka. Keghairahan mencari peluang dan kecenderungan mengambil risiko sering melalaikan usahawan daripada meneliti kesan sesuatu keputusan atau tindakan mereka.

Apabila seorang usahawan memutuskan untuk mengusahakan sesuatu perniagaan, sewajarnya beliau merancang satu perniagaan berdaya maju. Ini bermakna merancang perniagaan berdaya untung dan mampu meningkatkan nilai pemegang saham.

Selain memastikan perniagaan diusahakan itu mampu berdaya maju dan berdaya saing, usahawan juga harus mempunyai matlamat untuk memastikan perniagaannya dapat bertahan lama. Secara umumnya, semua perniagaan sangat rapuh pada peringkat awal, khususnya untuk satu atau dua tahun pertama.

Untuk mencapai tahap daya maju seperti disasarkan, ada baiknya jika usahawan memahami terlebih dulu ciri yang diperlukan untuk membina daya tahan supaya perniagaan dapat melepasi tempoh genting peringkat permulaan dengan jayanya.

Membina daya tahan perniagaan bererti mencari jalan memastikan perniagaan diusahakan adalah satu usaha jangka panjang. Usahawan boleh merancang perniagaan berdaya maju tetapi pada masa sama mesti menerapkan ciri tertentu untuk membina daya tahan perniagaan.

Perkara utama perlu diberi perhatian oleh usahawan jika ingin perniagaan bertahan lama di pasaran ialah menjaga integriti diri dan perniagaan. Usahawan perlu membuktikan kepada semua pemegang kepentingan bahawa perniagaannya diurus secara jujur, beramanah dan bertanggungjawab.

Setiap perniagaan terpaksa berdepan dengan pelbagai pemegang kepentingan dalam urusan perniagaan. Ini termasuk pelanggan, pembekal, pemberi pinjaman, pemegang saham, rakan kongsi, pihak berkuasa dan ramai lagi. Keyakinan setiap pemegang kepentingan mengenai integriti usahawan sangat kritikal dalam menentukan daya tahan perniagaan diusahakan.

Kajian rambang menunjukkan banyak perniagaan gagal bertahan kerana isu integriti usahawan atau pihak pengurusan. Memang sukar bagi perniagaan bertahan jika pelanggan atau pembekal ditipu atau pemegang saham diperdaya. Lambat-laun sikap tidak jujur atau tidak bertanggungjawab apabila mengurus perniagaan akan terbongkar juga.

Satu ciri utama dalam menjaga integriti ialah menunaikan apa yang dijanjikan. Semua pemegang kepentingan harus diberi apa yang dijanjikan. Institusi pemberi pinjam seperti bank umpamanya akan hilang kepercayaan jika usahawan tidak menepati syarat pinjaman. Pembekal contohnya perlu dibayar seperti dijanjikan, jika usahawan ingin terus berurusan dengan mereka.

Selain menjaga integriti, usahawan hendaklah membina keupayaan diri dan perniagaan secara berterusan jika ingin mengukuhkan daya tahan perniagaan. Keupayaan diri boleh ditingkatkan dengan berusaha menambah ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran.

Ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran hendaklah meliputi semua bidang diperlukan termasuk berkaitan produk jualan, pengurusan dan teknologi. Dalam suasana kemajuan dunia hari ini, teknologi khususnya perlu diberi perhatian.

Peningkatan keupayaan diri hendaklah merangkumi semua tenaga kerja dalam perniagaan dan bukan sekadar pada diri usahawan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman bersesuaian di kalangan modal insan, perniagaan akan hilang daya tahan dan seterusnya daya maju.

Kesedaran mengenai keadaan persekitaran juga amat penting jika perniagaan ingin terus bertahan di pasaran. Lebih penting lagi ialah kesedaran di kalangan pengusaha dan pengurus perniagaan bahawa keadaan persekitaran sentiasa berubah.

Perubahan yang berterusan dalam persekitaran perlu ditangani. Untuk itu usahawan perlu membina kemampuan menyesuaikan diri dengan keadaan berbeza. Kegagalan mengesan perubahan persekitaran boleh menyebabkan perniagaan ketinggalan zaman dan terasing daripada keadaan sebenar.

Perubahan boleh berlaku dalam pelbagai perkara. Semua pengurus perniagaan perlu mampu mengesan perubahan seperti cita rasa pelanggan, penggunaan bahan mentah, keperluan keselamatan dan kesihatan, keperluan perundangan dan bermacam lagi.

Sudah banyak perniagaan lenyap daripada pasaran kerana tidak sedar dengan perubahan sekeliling atau degil menyesuaikan diri dengan perubahan. Menyedari keperluan sesuatu perubahan dan mengambil tindakan saja tidak mencukupi. Apa lebih penting ialah menangani perubahan itu dengan segera supaya tidak terlambat.

Satu lagi perkara penting perlu diberi perhatian oleh usahawan dan pengurus perniagaan untuk kekal berdaya tahan ialah memastikan tahap kecekapan tinggi dalam operasi perniagaan. Membina keupayaan saja tidak memadai jika keupayaan ini tidak berada pada tahap kecekapan tinggi.

Meningkatkan tahap kecekapan bererti perlunya sistem latihan dan peningkatan kemahiran secara terancang. Satu masalah dengan usahawan dan perniagaan tempatan ialah kegagalan melihat perbelanjaan berkaitan latihan sebagai pelaburan. Mereka lebih cenderung melihat perbelanjaan ini sebagai satu beban kos kepada perniagaan.

Apabila kecekapan berada pada tahap tinggi, keberkesanan dalam pelaksanaan tugas pasti meningkat. Semua ini akan diterjemah kepada produktiviti lebih tinggi yang dengan sendirinya mengawal dan mengurangkan kos.

Daya tahan perniagaan amat penting untuk menyokong daya maju dan daya saing perniagaan. Untuk membina daya tahan, usahawan jangan sesekali mengabaikan integriti, hendaklah terus membina keupayaan, bijak menyesuaikan diri dengan perubahan dan berusaha meningkatkan kecekapan.

Seruan supaya usahawan memastikan perniagaan mereka berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan akan terus dilaungkan. Ketiga daya ini memang penting dan harus difahami sepenuhnya oleh usahawan jika ingin melihat perniagaan mereka berjaya dan cemerlang.

Usahawan Jaya Bijak Perkasa Mental

Berita Harian - Nota Niaga, 10 Jul 2006


Pembangunan usahawan mendapat perhatian besar pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Satu daripada matlamat kerajaan ialah membangunkan 150,000 usahawan pelbagai peringkat dalam tempoh RMK-9.

Berdasarkan perancangan ini, negara ingin menyaksikan kelahiran 30,000 usahawan setiap tahun bagi tempoh lima tahun akan datang. Untuk mencapai sasaran ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengatur beberapa strategi meliputi bantuan pembiayaan, latihan keusahawanan serta galakan pemasaran dalam dan luar negara.

Sama ada matlamat menjana bilangan usahawan ini tercapai bukan bergantung kepada kesungguhan kerajaan semata-mata. Anggota masyarakat sendiri perlu tampil merebut semua peluang, galakan dan bantuan disediakan agar sasaran RMK-9 dapat dipenuhi.

Namun, lebih penting daripada menepati sasaran bilangan usahawan ialah kualiti usahawan diwujudkan nanti. Untuk menggerakkan ekonomi, negara memerlukan masyarakat usahawan berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan.

Cabaran dunia perniagaan memang hebat, tetapi ia tidak menghalang ramai orang mencuba nasib sebagai usahawan kerana sedar perniagaan mampu menjadi sumber rezeki lumayan jika berjaya diurus dengan baik.

Bagaimanapun, kita tahu semua usahawan perlu melalui zaman sukar dan mencabar sebelum dapat meraih kejayaan seperti dihajatkan. Tidak ada usahawan berjaya serta-merta. Jika ditanya kepada usahawan berjaya, mereka akan menceritakan bagaimana mereka pernah gagal atau hampir gagal sebelum berjaya.

Kecuali perniagaan peringkat mikro, secara umumnya perniagaan mengambil masa sebelum meningkat maju dan mencatat keuntungan. Setiap perniagaan biasanya memerlukan dua hingga tiga tahun sebelum dapat meraih keuntungan dan berkembang.

Tempoh dua atau tiga tahun pertama dalam perniagaan adalah tempoh kritikal. Perancangan untuk tempoh ini harus dibuat dengan teliti berdasarkan andaian realistik. Untuk itu, usahawan atau peniaga harus berusaha memahami sepenuhnya perniagaan dicadangkan.

Memandangkan perniagaan terpaksa melalui tempoh tanpa untung pada peringkat awal, setiap usahawan perlu merancang bagaimana membina daya tahan sepanjang tempoh itu. Usahawan baru khususnya harus menyemak semula cadangan perniagaan jika mendapati perniagaan dicadangkan boleh mencatat untung pada tahun pertama.

Adalah penting bagi semua usahawan memahami perniagaan mengambil masa untuk maju dan berjaya. Kemungkinan besar ramai usahawan Melayu tidak memahami hakikat ini menyebabkan mereka tidak dapat bertahan dalam perniagaan.

Kesilapan pertama bagi seseorang bakal usahawan ialah jika menganggap perniagaan adalah jalan singkat kepada kekayaan. Memang benar perniagaan boleh memberi kekayaan, tetapi ia memerlukan masa dan usaha gigih secara berterusan.

Semua bakal usahawan memang mengetahui selain modal kewangan, mereka perlu membuat persediaan diri secara rapi. Antara lain mereka harus mendalami bidang perniagaan ingin diceburi serta membina kemampuan dalam kemahiran pengurusan.

Persediaan mencukupi dari segi modal kewangan dilengkapi pengetahuan dan kemahiran pengurusan serta persediaan lain untuk melalui peringkat awal yang sukar seharusnya memberi peluang kepada usahawan untuk berjaya.

Dengan pelbagai pendedahan dan latihan berkaitan keusahawanan pada masa ini, semakin ramai usahawan baru didapati lebih bersedia mengharungi dunia perniagaan. Namun begitu, ada satu aspek persediaan diri sering diabaikan usahawan baru.

Persediaan dimaksudkan ialah dari segi ketahanan mental dan fizikal usahawan, khususnya ramai usahawan gagal membuat jangkaan mengenai tahap ketahanan fizikal diperlukan apabila memulakan perniagaan.

Kebanyakan usahawan tahu mereka perlu bekerja untuk tempoh agak lama setiap hari. Tetapi ramai tidak bersedia secara fizikal untuk bekerja sekian lama setiap hari. Bergantung kepada jenis perniagaan, usahawan mungkin perlu bekerja antara 10 hingga 16 jam sehari.

Juga bergantung kepada bidang perniagaan, tanggungjawab usahawan mungkin memerlukan banyak penggunaan tenaga fizikal. Beberapa jenis perniagaan bidang peruncitan umpamanya memerlukan penggunaan tenaga fizikal usahawan sendiri untuk beroperasi dengan berkesan.

Jika usahawan tidak bersedia secukupnya dari segi mental dan fizikal, mereka mungkin menghadapi kejutan budaya apabila memulakan perniagaan, lebih-lebih lagi jika mereka tiada pengalaman dalam bidang perniagaan yang dimulakan. Dalam banyak keadaan, didapati ramai usahawan tidak menyangka ketahanan fizikal diperlukan adalah begitu tinggi.

Untuk memastikan mereka dapat bertahan secara mental dan fizikal, usahawan perlu bijak merancang cara mereka akan melaksanakan bekerja. Keperluan menggunakan pekerja tambahan harus dirancang dari awal supaya pengagihan kerja dapat dibuat dengan baik.

Satu daripada masalah sebahagian besar usahawan ialah perasaan kurang yakin kepada kemampuan orang lain. Oleh itu, mereka ingin selesaikan sendiri semua kerja walaupun sebenarnya lebih wajar disempurnakan orang lain. Sikap ini pasti membebankan mereka secara mental dan fizikal.

Walaupun mengurangkan pekerja menjimat kos, usahawan perlu tahu mencari perseimbangan supaya tenaga kerja minimum dapat digunakan dengan memberi tahap kecekapan maksimum. Semua ini harus dirancang dengan mengambil kira kemampuan usahawan sendiri dari segi masa dan fizikalnya.

Cara untuk usahawan mengurangkan beban pembabitan secara terperinci dalam kebanyakan urusan ialah dengan membina kemampuan menjadi pengurus yang cekap. Kebijaksanaan mengurus akan memastikan usahawan tidak hilang kawalan ke atas perniagaannya walaupun tidak melakukan semua perkara dengan sendiri.

Usahawan perlu tahu bagaimana mengawal tahap pembabitan peribadi dalam pelbagai aspek operasi perniagaannya. Jika usahawan tidak pandai melakukan ini, dia akan mendapati dirinya cuba melakukan terlalu banyak perkara dan ia boleh menjejas kesihatan dirinya.

Sebagai peneraju utama perniagaannya, usahawan tidak boleh memandang ringan masalah kesihatan diri. Usahawan dirundung masalah kesihatan boleh memberi kesan negatif kepada operasi perniagaan. Usahawan sihat sudah pasti lebih berguna kepada perniagaannya.

Lokasi Strategik Cabaran Peniaga

Nota Niaga - Berita Harian, 3 Jul 2006


Pengembalian Matlamat Asal UDA Holdings Bantu Bumiputera Tambah Hartanah

Usahawan biasanya mempunyai daya kreativiti tinggi. Sifat ini penting untuk membantu mereka mewujudkan peluang perniagaan dengan menghasilkan sesuatu yang baru atau unik. Lebih penting lagi, usahawan mesti mampu memasarkan hasil keluaran mereka untuk menepati takrif usahawan.

Kehidupan manusia semakin maju dan ini terus mewujudkan pelbagai peluang perniagaan. Dengan itu kita perhatikan semakin ramai orang cenderung kepada keusahawanan dan perniagaan sebagai cara lebih baik mencari rezeki.

Cara orang berniaga boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat. Ada orang mempunyai pekerjaan tetap dan berniaga hanya secara sambilan sekadar menambah pendapatan mereka. Golongan ini biasanya berniaga sebagai wakil jualan langsung produk dikenali ramai tanpa mempunyai premis perniagaan secara khusus.

Ada pula golongan usahawan berniaga sepenuh masa secara kecil-kecilan. Mereka ini mungkin mempunyai gerai kecil atau menumpang di gedung perniagaan atau kedai besar. Peniaga kecil-kecilan memang besar bilangannya dan memainkan peranan penting dalam memenuhi gaya hidup masyarakat negara kita.

Golongan usahawan seterusnya ialah mereka pada peringkat kecil tetap lebih tersusun dan teratur. Jika membabitkan diri dalam perniagaan berkaitan peruncitan, mereka mempunyai premis atau kedai khusus untuk menjalankan perniagaan. Jika perniagaan berkaitan perkhidmatan, mereka akan mempunyai pejabat tetap.

Golongan seterusnya ialah usahawan peringkat menengah membabitkan diri dalam bidang peruncitan secara lebih besar atau dalam bidang pemborongan atau pembuatan. Perniagaan mereka memerlukan modal besar dan kaedah pengurusan lebih teratur dan tersusun.

Usahawan pada peringkat tertinggi tentunya usahawan korporat menerajui rangkaian perniagaan besar termasuk syarikat perniagaan tersenarai di bursa saham. Perniagaan mereka bernilai puluhan hingga ribuan juta ringgit dan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Jika kita menganalisis setiap peringkat perniagaan dan keusahawanan, nyata sekali pembabitan usahawan Bumiputera amat aktif pada peringkat sambilan dan kecil-kecilan. Perniagaan peringkat menengah juga sudah mula diterokai usahawan Bumiputera, tetapi bilangan mereka masih kecil.

Pembabitan usahawan Bumiputera dalam perniagaan besar amat sedikit dan langsung tidak mencerminkan kedudukan Bumiputera sebagai masyarakat terbesar dalam negara. Berdasarkan statistik sekarang, meningkatkan bilangan usahawan Bumiputera pada peringkat ini akan mengambil masa panjang.

Seperti sudah diketahui umum, perniagaan memerlukan modal kewangan, modal insan, kemahiran pengurusan dan sumber bahan tertentu. Selain itu, satu lagi keperluan penting untuk menjalankan perniagaan dengan berkesan ialah mendapatkan premis atau kedai di lokasi strategik.

Khusus bagi perniagaan bidang peruncitan, lokasi premis atau kedai adalah satu daripada perkara utama perlu dipertimbangkan dalam menilai tahap daya maju perniagaan. Dalam bidang peruncitan, walaupun model perniagaan mungkin baik, ia belum tentu berjaya jika tersalah pilih lokasi.

Oleh kerana masyarakat Bumiputera sememangnya sudah tertinggal dalam bidang keusahawanan, pelbagai usaha membantu sudah diperkenalkan oleh kerajaan. Modal kewangan bukan lagi satu masalah, begitu juga soal kemahiran dan latihan keusahawanan.

Namun kelemahan masyarakat Bumiputera dalam penguasaan hartanah, terutama di bandar dan pinggir bandar masih ketara. Ini menyebabkan isu mendapat lokasi strategik untuk memajukan perniagaan terus menjadi cabaran besar kepada usahawan Bumiputera.

Mengikut statistik 2005 oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, bangunan milik Bumiputera ialah 24,374 unit berbanding 139,052 unit oleh kaum Cina. Kompleks perniagaan pula 3,207 milik Bumiputera berbanding 19,072 unit milik kaum Cina. Premis industri hanya 1,480 unit milik Bumiputera berbanding 21,514 unit oleh kaum Cina.

Berdasarkan senario penguasaan hartanah sangat rendah oleh Bumiputera, maka pengumuman kerajaan beberapa hari lalu untuk membeli dan menguasai semula sepenuhnya UDA Holdings Bhd harus disambut baik kerana ia adalah untuk kepentingan Bumiputera.

Jika kita masih ingat, penubuhan UDA pada 1971 sememangnya khusus untuk memiliki dan membangun hartanah di pusat bandar dan pinggir bandar untuk meningkatkan penguasaan Bumiputera dalam pemilikan hartanah.

Penubuhan UDA diakui membantu Bumiputera dengan menyaksikan pembangunan beberapa kompleks perniagaan terkenal seperti Kompleks Pertama, Sinar Kota dan BB Plaza di Kuala Lumpur atau Plaza Angsana di Johor Bahru.

Selepas UDA diperbadankan pada 1996 dan seterusnya disenarai sebagai syarikat awam pada 1999, ramai pihak berasakan peranan UDA membantu Bumiputera dalam isu penguasaan hartanah di bandar semakin berkurangan.

Dengan itu kita harap penguasaan semula UDA oleh kerajaan akan memperhebat semula usaha membantu Bumiputera mendapat lokasi premis strategik di pusat bandar dan bandar baru.

Pengalaman PUNB membangun usahawan bidang peruncitan melalui skim Prosper memang menyaksikan kesukaran memperoleh premis di lokasi strategik terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Oleh kerana pemilikan hartanah biasanya bukan di tangan Bumiputera, mendapatkan premis strategik terpaksa bergantung kepada ihsan pemilik bukan Bumiputera. Antara pengalaman pahit di Pulau Pinang ialah keengganan pemilik menyewakan kedai kepada usahawan Melayu walaupun kadar sewanya sanggup dibayar.

Kita ingin melihat UDA memainkan peranan membantu Bumiputera dengan lebih berkesan. Umpamanya di Kuala Lumpur, walaupun UDA memiliki Kompleks Pertama, Sinar Kota dan BB Plaza majoriti peniaga beroperasi di dalamnya adalah bukan Bumiputera.

Antara alasan kenapa tidak ramai Bumiputera dalam kompleks perniagaan ialah usahawan Bumiputera tidak mampu membayar sewa tinggi. Jika pun mampu, alasan lain ialah usahawan Bumiputera tidak mempunyai konsep perniagaan sesuai dengan imej kompleks perniagaan itu.

Dengan usaha pesat membangun usahawan Bumiputera oleh pelbagai agensi pelaksana, kemunculan semula UDA sebagai agensi kerajaan sangat dialu-alukan. UDA seharusnya berganding bahu dengan semua agensi pembangunan usahawan untuk mempercepatkan usaha meletakkan usahawan Bumiputera di bandar utama.


Perniagaan Berperingkat Elak Risiko

Nota Niaga- Berita Harian, 12 Jun 2006


Usahawan boleh guna mesin terpakai, pertingkat daya tahan di pasaran

Hasrat ingin berniaga di kalangan masyarakat Melayu jelas meningkat tinggi sejak pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) lebih 35 tahun lalu. Bilangan orang Melayu mencebur diri dalam perniagaan nyata bertambah berbanding sebelum wujudnya DEB sebagai pemangkin.

Sebelum pengenalan DEB, mencari peniaga Melayu di bandar besar khususnya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan sebagainya memang sukar. Jangankan perniagaan besar, mencari peniaga kecil Melayu tepi jalan menjual minuman air tebu atau surat khabar pun susah.

Penguasaan bukan Melayu ke atas pelbagai jenis perniagaan terutama berkaitan peruncitan bukan saja di bandar besar tetapi bandar kecil atau kampung. Orang Melayu seolah-olah selesa menerima hakikat bahawa perniagaan bukan untuk mereka.

Jika ada orang Melayu berniaga pada masa itu, bidang diusahakan biasanya berkaitan keperluan orang Melayu sendiri seperti kedai buku agama, kedai songkok, kedai capal, kedai menjahit baju Melayu atau kedai ubat-ubatan Melayu.

Pembabitan Melayu dalam bidang lebih besar seperti pengedaran atau pembuatan tentunya lebih sukar ditemui. Mungkin ada segelintir orang Melayu mengusahakan pengeluaran makanan seperti kicap atau sos. Namun, hakikatnya ialah bukan Melayu menguasai hampir semua perniagaan.

Selepas DEB diperkenalkan, orang Melayu mula sedar betapa peluang dalam bidang perniagaan. Menjadi usahawan mula dilihat sebagai peluang mencari kekayaan. Sejak itu, puluhan ribu orang Melayu mula berjinak dengan perniagaan.

Dengan sokongan dan galakan kerajaan, kita melihat orang Melayu menjadi kontraktor, membekal barang kepada pejabat kerajaan dan berniaga dalam sektor pembuatan. Kebelakangan ini orang Melayu juga semakin ramai membabitkan diri dalam sektor peruncitan pada peringkat lebih besar.

DEB juga berjaya melahirkan usahawan Melayu bertaraf antarabangsa, walaupun bilangan mereka masih sedikit. Mereka ini membuktikan bahawa Melayu juga mampu menjadi usahawan berjaya jika diberi peluang.

Proses memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu mengenai peluang dalam perniagaan adalah usaha berterusan. Kerajaan nyata sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan usahawan Melayu untuk memastikan orang Melayu tidak tertinggal dalam arus kemajuan ekonomi negara.

Dalam usaha membangun usahawan Melayu, kita perlu terima hakikat bahawa sebahagian daripada mereka akan gagal. Punca kegagalan usahawan Melayu sentiasa hangat dibincang dan pelbagai sebab diutarakan. Namun, gagal dalam perniagaan bukan satu perkara pelik kerana usahawan bukan Melayu juga menemui kegagalan.

Satu daripada faktor menyumbang kepada kegagalan perniagaan ialah kelemahan pada peringkat perancangan. Memang semua usahawan merancang sebelum berniaga. Namun, jika perancangan tidak meneliti setiap andaian dan jangkaan dengan ikhlas dan jujur, apa dirancang mungkin tidak realistik dan sukar dicapai.

Dalam keghairahan ingin menjadi usahawan berjaya, ramai usahawan Melayu membuat kesilapan asas dengan terus merancang perniagaan pada tahap besar. Contohnya, jika ingin mengeluarkan sesuatu produk, mereka terus mahukan kilang sendiri dengan peralatan terbaik. Ini sudah pasti memerlukan perbelanjaan modal besar.

Tidak salah memulakan perniagaan dengan perbelanjaan modal besar asalkan yakin dapat mencapai paras jualan cukup untuk memberi pulangan dikehendaki. Lebih penting lagi, pulangan diperoleh hendaklah mencapai kadar pulangan setanding atau lebih baik daripada pencapaian industri berkenaan.

Dalam keadaan sebenar, memang sukar menembusi pasaran jika produk dikeluarkan perlu bersaing dengan pengeluar sedia ada. Oleh itu membangun perniagaan dengan modal besar akan mengambil masa untuk mencatat keuntungan. Semua usahawan harus sedar tempoh dua tiga tahun permulaan perniagaan sangat mencabar.

Kekurangan pengalaman dan jaringan perniagaan juga menyebabkan ramai usahawan Melayu mengeluarkan modal lebih besar daripada sepatutnya. Pembelian mesin dan peralatan kadangkala menjadi lebih mahal kerana kurang maklumat dan pengalaman.

Satu daripada kunci mencatat keuntungan perniagaan ialah mengurangkan perbelanjaan. Pada peringkat awal, mengurangkan perbelanjaan modal sangat penting kerana ia memberi kesan langsung kepada tempoh mendapat balik pelaburan dan paras titik pulang modal.

Untuk mengurangkan perbelanjaan modal, usahawan umpamanya harus memikirkan kemungkinan menggunakan mesin atau peralatan terpakai. Dalam perniagaan tertentu, usahawan boleh menggunakan mesin dan peralatan pihak ketiga pada peringkat awal mengeluarkan produk.

Usahawan juga tidak semestinya membina kilang atau premis sendiri apabila memulakan perniagaan. Menyewa kilang atau premis boleh mengurangkan keperluan modal dan memberi peluang perniagaan mencapai paras jualan tertentu sebelum dikembangkan.

Mengembang perniagaan hendaklah dirancang dengan mengambil kira keperluan modal dan semua sumber lain. Dalam sektor pembuatan umpamanya, usahawan boleh bermula pada peringkat pemasangan sebelum menjadi pengilang sepenuhnya. Ini memberi tempoh untuk meniti keluk pembelajaran dan mencari pengalaman.

Jika kita perhatikan rakan usahawan bukan Melayu khususnya, begitulah cara mereka berniaga. Setiap perniagaan besar kepunyaan mereka tidak menjadi besar dalam sekelip mata. Ada yang mengambil tempoh satu generasi sebelum menjadi ternama dan gemilang.

Banyak sekali perniagaan masyarakat bukan Melayu diperhatikan melalui proses pembesaran seperti ini. Semua perniagaan mereka bermula sebagai perniagaan kecil dengan modal minimum. Apa yang banyak dicurahkan ialah usaha keras, ketabahan menempuh cabaran serta kebijaksanaan ketika mengurus perniagaan.

Ramai usahawan Melayu terus bermula pada peringkat besar kerana mendapat kontrak dan pesanan kerajaan. Apabila kerajaan mengurangkan kontrak atau pesanan sebelum mereka sempat mendapat balik jumlah pelaburan, mereka menghadapi masalah kerana tiada pasaran bukan kerajaan.

Dalam keadaan sekarang, usahawan Melayu jangan terlalu mengharapkan kontrak dan pesanan kerajaan. Mereka harus bersaing di pasaran terbuka dan ia memerlukan daya saing tinggi. Memenangi pasaran akan mengambil masa dan memerlukan daya tahan di kalangan usahawan.

Memang tiada jalan singkat dalam perniagaan. Usahawan Melayu perlu merancang untuk membangun perniagaan mereka secara berperingkat. Orang Melayu sebenarnya sudah lama memahami kaedah ini dengan adanya ungkapan ‘sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit’.