Thursday, June 10, 2010

Niagakit bantu usahawan




BIDANG perniagaan dalam talian atau e-dagang semakin popular dalam kalangan usahawan hari ini. Ia menjadi medium terbaru membolehkan mereka meningkatkan penjualan dengan lebih efisien dan berkesan.
Penggunaan laman web, blog atau rangkaian sosial Facebook untuk menceburi bidang perniagaan secara sambilan adalah satu idea kreatif kerana tidak memerlukan modal yang besar dan menjimatkan masa.
Tidak mustahil dengan menggunakan pendekatan terbaru itu dan strategi perniagaan yang mantap, ia mampu memberi impak, malah dapat membawa pulangan lumayan kepada usahawan dan individu terbabit.

Bagaimanapun, menjalankan perniagaan dalam talian memerlukan pengetahuan dari segi teknikal untuk memastikan kelancaran transaksi urus niaga dapat dilakukan dengan sempurna.

Kesukaran memahirkan diri dari segi teknikal sedikit sebanyak menjadi antara faktor impian bergelar usahawan menerusi e-dagang hanya omong kosong sahaja.

Namun begitu, impian tersebut bakal menjadi realiti apabila menggunakan aplikasi sistem kedai dalam talian keluaran syarikat tempatan, Flarebiz Network yang diberi nama Niagakit.

Flarebiz Network yang diasaskan oleh dua usahawan muda Internet, Adly Mukhtar, 20 dan Mohd. Zhafran Mohd Ghani, 24, pada awal tahun 2007 mengambil masa selama hampir satu tahun untuk membangunkan aplikasi Niagakit tersebut.

Adly berkata, dia dan Mohd. Zhafran telah membangunkan aplikasi berkenaan bersama seorang lagi rakan mereka iaitu Rusdy Ahmad pada awal tahun lalu.

FLAREBIZ Network ditubuhkan pada tahun 2007 ditunjangi oleh anak-anak muda tempatan.


"Kami mengambil masa kira-kira satu tahun untuk membangunkan aplikasi berkenaan bagi memenuhi kehendak dan memudahkan pengguna yang ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan.
"Idea untuk membangunkan aplikasi berkenaan tercetus apabila semasa pembabitan awal dalam perniagaan dalam talian kami terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah sehingga menyukarkan kami membuat urus niaga dengan pelanggan," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Adly merupakan pemegang Diploma Kejuruteraan Komputer, Universiti Malaysia Perlis menambah, dia merasakan aplikasi berkenaan perlu dibangunkan untuk membantu bakal-bakal usahawan dalam talian.

Kata anak kelahiran Kelantan itu, dia yang mempunyai latarbelakang teknologi maklumat juga berdepan dengan masalah, inikan pula mereka tidak berpengalaman dalam bidang teknologi.

Aplikasi lebih mudah
Menyentuh mengenai keunikan aplikasi Niagakit, Adly berkata, ia tidak memerlukan seseorang mahir dari segi teknikal untuk menjalankan operasi perniagaan dalam talian.

"Dengan menggunakan Niagakit segala urus niaga menjadi mudah dan ringkas. Pelanggan-pelanggan boleh melakukan semuanya sendiri bermula dari menyenaraikan produk sehinggalah memproses tempahan tanpa menghadapi sebarang masalah.

"Kini usahawan-usahawan perniagaan dalam talian tidak perlu lagi membazir masa dan modal untuk memilih sistem kedai dalam talian yang selaras dengan kehendak pasaran tempatan," ujarnya lagi.

Selain itu katanya, aplikasi berkenaan memberi kebebasan kepada pelanggan-pelanggan untuk menambah seberapa banyak produk yang diinginkan mereka.

PELANGGAN yang ingin menggerakkan Niagakit berpeluang mengikuti kursus jangka pendek menggunakan aplikasi tersebut.


Ujarnya, tiada sebarang had dikenakan untuk penambahan produk di dalam aplikasi Niagakit menjadikannya satu produk yang sesuai digunakan oleh semua orang termasuk pengilang, pengedar dan sebagainya.
Mohd. Zhafran pula menambah, ciri-ciri lain ditawarkan oleh aplikasi Niagakit termasuklah antara muka yang mempunyai reka bentuk ringkas, kemas dan profesional memudahkan usahawan serta pelanggan menggunakannya.

"Masalah yang kerap kali dihadapi usahawan Internet adalah sukar mencari sistem kedai dalam talian yang mempunyai sistem pembayaran khas untuk bank tempatan.

"Dengan menggunakan NiagaKit, kami mengutamakan pembayaran melalui bank tempatan kerana orang Malaysia lebih suka membeli-belah di Internet melalui MayBank2u, CIMB Clicks dan sebagainya," ujar Mohd. Zhafran.

Graduan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak itu menambah, antara ciri-ciri lain yang terdapat dalam Niagakit adalah bukti pembayaran melalui bank tempatan, pelbagai pilihan bahasa, variasi warna, penetapan kos penghantaran fleksibel dan banyak lagi.

Katanya, keistimewaan lain Niagakit juga adalah ia membolehkan pelanggan memaklumkan kepada rakan-rakan mereka melalui laman sosial seperti Facebook, Digg atau Myspace.

"Kami turut menyediakan seminar kepada pelanggan-pelanggan yang membeli Niagakit ini. Mereka juga boleh mendapatkan perkhidmatan selepas pembelian jika menghadapi kesukaran mengendalikan aplikasi tersebut.

"Sehingga kini, kami telah mempunyai kira-kira 180 pelanggan yang menggunakan aplikasi Niagakit ini untuk membantu perniagaan mereka," ujarnya lagi.

Tambah Mohd. Zhafran, aplikasi Niagakit itu tidak memerlukan perbelanjaan yang besar kerana pelanggan hanya membayar sekali sahaja berbanding dengan sistem lain di pasaran.

Katanya lagi, sistem tersebut juga tidak memerlukan masa yang lama untuk beroperasi sepenuhnya dengan mengambil masa antara dua hingga satu minggu bergantung kepada reka bentuk antara muka dipilih pelanggan.

Dipuji pelanggan
Sementara itu, seorang pelanggan yang telah menggunakan aplikasi berkenaan, Mohd. Ghufran Mohd. Daud, 26, berkata, Niagakit amat mudah digunakan dan mesra pelanggan.

"Saya pernah menggunakan sistem perniagaan dalam talian lain sebelum ini dan ia agak merumitkan kerana kadangkala tidak berfungsi dengan baik.

ADLY merupakan usahawan muda Internet yang sentiasa mencari idea baru dalam e-dagang.


"Dengan Niagakit memang semua ciri-ciri penting untuk pasaran tempatan dan antarabangsa lengkap disediakan," kata pemilik kedai dalam talian www.3gxModem.com itu.

Pemilik kedai dalam talian www.OneDroperfumes.info, Siti Jamliah berkata, dia baru menggunakan Niagakit selama beberapa bulan dan perniagaannya semakin meningkat maju.

"Saya sangat berpuas hati sepanjang menggunakan sistem Niagakit ini kerana ia mudah diuruskan dan membantu pelanggan membuat tempahan produk dengan lancar.

"Pasukan sokongan sistem ini juga akan memberi maklum balas yang pantas apabila tidak memahami operasi Niagakit. Ia juga memberikan kedai dalam talian saya kelihatan kemas dan profesional," ujarnya.

Sistem aplikasi Niagakit dijual pada harga RM1,249.

Tuesday, June 8, 2010

Kisah usahawan beras Faiza


BERAS keluaran Syarikat Faiza mendapat sambutan menggalakkan kerana kualitinya.


"SAYA ingin menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini." Itulah azam, pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd., Faiza Bawumi Sayed Ahmad ketika ditemui Kosmo! di Sri Gading, Batu Pahat, Johor.

Wanita kelahiran Mesir itu berhijrah ke Malaysia pada tahun 1964 kerana mengikut suaminya.
Ketika kebanyakan wanita seusianya berehat di rumah, Faiza, 58 dan nenek kepada 32 cucu sibuk merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini.
Faiza yang juga Pengarah Urusan Syarikat Faiza, sedang bertungkus-lumus mengeluarkan beberapa produk baru yang dijangka masuk ke pasaran selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Wanita yang berperwatakan lembut itu sebenarnya seorang yang tegas. Beliau mahu memastikan syarikat yang ditubuhkan sejak tahun 1992 itu berada di landasan betul sekali gus mencatatkan keuntungan saban tahun.

Berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak kecil, Faiza pernah menjadi juruwang di kedai milik bapanya. Pengalaman tersebut mendorong beliau untuk bergiat secara serius dalam bidang perniagaan.

"Kejayaan ini tidak datang dengan mudah, saya bermula dengan mengambil upah menjahit sulaman dengan modal RM4 selain menjual pelbagai barangan dapur.

"Kemudian, saya beralih membuat rempah kari di bawah jenama Bunga Raya yang dilakukan di rumah dan mengedarkannya di kedai-kedai," katanya yang mampu menguasai bahasa Melayu setelah tiga bulan berada di Malaysia.

Ibu kepada tujuh anak itu menambah, modal daripada menjual rempah kari itu digunakan untuk membuka kedai runcit. Dari situ beliau mendapati pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain.
Dengan mempunyai kedai sendiri, beliau mula belajar mengenali pelbagai jenis beras. Sebelum menjual beras, beliau terpaksa pergi dari satu kedai ke kedai lain bagi mendapatkan maklum balas sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya.
Atas respons yang positif, Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam.

"Pada mulanya, saya buntu juga melihat satu lori treler penuh berisi beras diletakkan di hadapan rumah, namun saya nekad membungkus menggunakan jenama Bunga Raya dan menghantar ke kedai-kedai di seluruh Johor.

"Sehingga kini, perniagaan beras keluaran syarikat saya mendapat sambutan. Meskipun saingan sengit, kami telah dikenali kerana kualiti produk yang tinggi, seratus peratus buatan Islam dan halal," katanya yang kini mempunyai kilang di Kuala Lumpur, Kedah dan Terengganu.

Pada tahun 1998, beliau terdorong mempromosi beras ponni dari India yang dipercayai baik untuk kesihatan, khususnya bagi penghidap diabetes, obesiti dan darah tinggi.
Faiza berkata, bagi membuktikan kebaikan beras itu, syarikatnya telah meminta Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat kajian dan hasilnya memang positif.

"Saya melabur berjuta ringgit bagi produk Taj Mahal dan telah meminta hak eksklusif daripada Bernas," 
tambahnya yang gembira dengan sambutan orang ramai terhadap produk tersebut.

Walaupun syarikatnya menumpukan produk beras dan rempah, kini beliau sedang meneroka bidang baru termasuk memasarkan bihun, sos cili dan kicap.

Beliau yang mempunyai 200 pekerja tetap dan lebih 300 pekerja kontrak berkata, dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa diragui status halalnya.

Ketika ini, syarikatnya telah memasarkan bubur herba penghujung tahun lalu dan mendapat permintaan yang baik daripada para pelanggan.

Bagi produk bihun pula, syarikatnya telah menempah mesin dari China dan produk itu akan diproses di sebuah kilang lain juga di Sri Gading.

Kilang tersebut mampu mengeluarkan sebanyak sembilan tan bihun sehari, namun pada peringkat awal cuma memproses lima tan bihun dengan sasaran jualan sebanyak RM12 juta bagi tahun pertama.

FAIZA BAWUMI


Kehidupan
Faizah yang suka hidup bermasyarakat berkata, semua usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah.

Sebab itulah, syarikatnya bekerjasama dengan TV3 selaku penaja utama sejak lapan tahun lalu menerusi program Bersamamu.

Dari segi kehidupan berkeluarga, Faizah menerapkan pendekatan supaya anak-anaknya hidup berdikari. Sejak kecil anak-anaknya dilatih menjual dan mereka mendapat upah.

Bagaimanapun katanya, pendidikan menjadi keutamaan dan mereka diberi peluang menuntut ilmu setinggi mungkin.

"Bukan semua anak saya terlibat dalam perniagaan, anak sulung dan kelima menjadi pensyarah dan lima yang lain membantu Syarikat Faiza," katanya.

Bercerita tentang pengalaman menguruskan perniagaan tersebut, beliau pernah menangkap pekerja yang menipu dan mencuri.

"Macam-macam cara orang hendak menipu dan saya pernah menangkap pekerja yang menjual guni beras yang dimasukkan ke dalam lori. Guni beras ini harganya mahal di pasaran," katanya.