Thursday, February 18, 2010

Alasan 'Bukan Budaya' Tidak Lagi Relevan

Berita Harian - Nota Niaga, 22 Jan 2007


Usaha menggalakkan lebih ramai Bumiputera, khususnya orang Melayu mencebur diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan terus menjadi satu cabaran kepada pembangunan ekonomi negara. Usaha ini penting bagi mencapai matlamat mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Matlamat mewujudkan MPPB masih belum mencapai tahap seperti dihajatkan tetapi kita sudah dapat melihat ramai usahawan dan peniaga Melayu hari ini berbanding 40 tahun lalu.

Sebelum pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB), memang sukar berjumpa peniaga Melayu di pusat bandar. Malah ketika itu mencari peniaga Melayu menjual minuman di tepi jalan pun sukar.

Kebanyakan perniagaan ketika itu dikuasai masyarakat Cina. Ini bukan saja di kawasan bandar tetapi juga kawasan luar bandar di mana penduduk majoriti adalah orang Melayu. Sama ada ia kedai runcit, kedai kopi atau kedai basikal, semuanya diusahakan peniaga Cina.

Seperti diketahui, rantaian bekalan dalam perniagaan boleh dibahagikan kepada empat peringkat utama. Pertama, peringkat sumber asli seperti menghasilkan tanaman, hasil laut, sumber galian dan sebagainya. Secara tradisi orang Melayu memang ramai terbabit pada peringkat ini.

Peringkat kedua dalam rantaian bekalan ialah bidang pembuatan yang mana sumber asli diberi nilai tambah bagi menghasilkan produk tertentu. Sebelum DEB, jika adapun pembabitan orang Melayu di bidang pembuatan hanyalah secara kecil-kecilan dalam perusahaan tidak strategik.

Peringkat seterusnya ialah bidang pengedaran dan pemborongan yang asalnya dikuasai syarikat penjajah Inggeris. Pada masa itu ramai usahawan Cina pada peringkat peruncitan dapat melihat peluang bidang pengedaran dan pemborongan. Mereka berjaya menembusi bidang ini dan menguasainya hingga sekarang.

Terakhir dalam rantaian bekalan ialah peringkat peruncitan. Pembabitan masyarakat Melayu pada peringkat peruncitan sebelum DEB memang ada tetapi amat terhad.

Walaupun DEB diperkenalkan lebih 36 tahun, pencapaian usahawan Melayu sehingga kini masih belum memuaskan baik dari segi kuantiti atau kualiti.

Satu punca kegagalan usahawan ialah masalah sikap. Sikap tidak betul akan menggagalkan sesiapa saja, tanpa mengira bangsa dan keturunan. Sikap salah akan terbentuk apabila minda gagal menyusun keutamaan dalam menyelesai masalah.

Orang Melayu sering memberi hujah masyarakat Cina lebih berjaya dalam perniagaan kerana mempunyai budaya berniaga sejak sekian lama. Masyarakat Melayu kononnya masih dalam proses membina budaya perniagaan dan ini mengambil masa.

Sebenarnya apa dikatakan sebagai budaya perniagaan di kalangan masyarakat Cina ialah kemampuan mereka membentuk amalan dan sikap diperlukan untuk mengurus perniagaan dengan cekap dan berkesan. Minda mereka jelas bagaimana hendak menjayakan perniagaan dan mengelakkan kegagalan.

Fakta membuktikan bukan semua usahawan Cina berjaya. Namun majoriti usahawan Cina didapati berjaya kerana mempunyai pandangan dan amalan tertentu dalam beberapa perkara penting apabila mengurus perniagaan. Pandangan dan amalan mereka ini melahirkan sikap yang betul untuk berjaya.

Dalam isu modal umpamanya, kita tahu semua perniagaan memerlukan modal sebagai permulaan. Tetapi usahawan Cina biasanya sedia memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan modal terhad. Jika perlu, mereka akan mulakan perniagaan di rumah tanpa menunggu prasarana seperti kedai, pejabat atau kilang.

Sebaliknya, kita mendapati kebanyakan usahawan Melayu memulakan perniagaan dengan modal lebih besar daripada diperlukan. Sebahagian besar perbelanjaan digunakan untuk menyediakan pejabat serba lengkap. Usahawan Melayu berpendapat imej penting untuk mendapat perhatian pelanggan.

Imej memang penting untuk memberi keyakinan kepada pelanggan. Namun sebenarnya keyakinan pelanggan akan terbina jika usahawan mampu menawarkan produk berkualiti dengan harga kompetitif serta khidmat memuaskan. Ini lebih mampu memberi imej baik kepada pelanggan. Imej fizikal boleh dibina selepas perniagaan telah maju.

Usahawan Cina juga bijak mengawal kos dan tidak mencampur aduk perbelanjaan peribadi dengan perbelanjaan perniagaan. Seorang usahawan Cina pernah memberitahu bahawa falsafah mereka dalam berbelanja ialah ‘bila wang kecil keluar, wang besar masuk’. Ini bermakna setiap perbelanjaan mesti memberi hasil.

Beberapa hari lalu saya diperkenalkan kepada seorang jutawan muda keturunan Cina terbabit dalam perniagaan telekomunikasi yang kini menghasilkan jualan tahunan melebihi RM100 juta.

Usahawan muda ini bukan daripada keluarga perniagaan. Bapanya hanya seorang pemandu. Beliau mula berniaga secara kecil-kecilan menjual telefon kemudian mengusahakan perniagaan pemasangan telefon dan kini menjadi pengeluar telefon.

Kejayaannya kerana yakin dengan kebolehan diri dan kesediaan menempuh jatuh bangun dalam perniagaan. Beliau cepat mempelajari apakah budaya perniagaan diperlukan untuk berdaya maju, berdaya saing serta berdaya tahan.

Usahawan Melayu tidak perlu menunggu lama untuk mengubah minda dan membina sikap diperlukan untuk berjaya. Jika ketiadaan budaya perniagaan adalah alasan kemunduran masyarakat Melayu dalam perniagaan, segerakan penerapan amalan dan sikap bersesuaian untuk membina budaya ini.



No comments:

Post a Comment