Wednesday, February 17, 2010

Budaya Hedonisme Jejas Lahir Modal Insan Bermutu

Berita Harian - Nota Niaga, 4 Sep 2006


Lima bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membentang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat. RMK-9 adalah sebahagian daripada Misi Nasional selama 15 tahun ke arah mencapai Wawasan 2020.

Jumaat lalu Perdana Menteri membentangkan pula Bajet 2007 di Dewan Rakyat. Bajet 2007 ini dirangka bagi memastikan Misi Nasional dapat diterjemahkan kepada program dan projek yang akan dilaksanakan.

Satu daripada lima teras utama Misi Nasional ialah meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara dan memupuk minda kelas pertama. Penekanan kerajaan kepada aspek ini sangat ketara berdasarkan pelbagai ucapan dan kenyataan Perdana Menteri sejak beliau memegang tampuk kerajaan.

Perdana Menteri sering mengingatkan mengenai pembangunan modal insan jika negara ingin lebih berdaya saing dan maju. Malah, dinyatakan dalam Bajet 2007 bahawa pembangunan modal insan adalah prasyarat penting memacu pertumbuhan rantaian ekonomi bernilai tinggi berpaksikan pengetahuan dan teknologi.

Bajet 2007 jelas memberi perhatian besar kepada aspek pembangunan modal insan apabila kerajaan memperuntukkan RM33.4 bilion atau 21 peratus daripada jumlah bajet sebanyak RM159.4 bilion untuk belanja mengurus dan pembangunan modal insan.

Mengikut cadangan bajet, RM6.7 bilion akan disalurkan kepada pendidikan rendah, RM6.2 bilion untuk pendidikan menengah, RM10.4 bilion untuk pengajian tinggi dan RM10.1 bilion bagi pelbagai projek latihan.

Dengan peruntukan ini, negara akan menyaksikan pembinaan banyak sekolah baru pada peringkat rendah dan menengah termasuk sekolah berasrama penuh. Dicadangkan juga untuk membina universiti di Kelantan dan Terengganu serta menaik taraf Akademi Tentera Malaysia menjadi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Bajet kali ini juga mempermudah dan menggalak pembelajaran melalui pemansuhan yuran peperiksaan untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), menaikkan pelepasan cukai bagi pembelian buku daripada RM700 kepada RM1,000 dan menjamin biasiswa bagi pelajar cemerlang SPM dengan 10 A1 daripada keluarga berpendapatan bulanan tidak melebihi RM1,500.

Kerajaan juga berusaha meningkatkan kualiti modal insan dengan menggalakkan penggunaan teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT). Usaha ini dibuktikan dengan peruntukan besar untuk memperluas penggunaan komputer di sekolah. Orang perseorangan juga digalak mengguna komputer dengan kenaikan pelepasan cukai untuk pembelian komputer kepada RM3,000 setiap tiga tahun.

Beberapa program latihan untuk menambah baik kualiti guru juga dicadangkan. Latihan kemahiran khusus untuk siswazah dalam bidang ICT, kejuruteraan dan kewangan akan diperluaskan untuk meningkatkan kemahiran dan kesediaan siswazah mendapat pekerjaan.

Semua cadangan berkaitan pembangunan modal insan ini amat dialu-alukan. Tidak dinafikan negara sangat memerlukan modal insan berkualiti tinggi untuk memudahkan usaha meningkatkan daya saing negara.

Namun, semua cadangan dalam bajet ini tidak akan memberi makna jika tidak dilaksanakan dengan berkesan. Kerajaan perlu memastikan setiap cadangan dalam bajet ini berjalan mengikut perancangan. Seperti pernah dinyatakan oleh Perdana Menteri, kejayaan perancangan perlu diukur berdasarkan impak, bukan sekadar membelanjakan peruntukan.

Tanggungjawab membangun modal insan sudah pasti tidak terletak pada bahu kerajaan saja. Rakyat sendiri bertanggungjawab memberi reaksi positif kepada usaha membangun modal insan berkualiti. Ibu bapa perlu lebih prihatin mengenai kemajuan pelajaran dan pembelajaran anak mereka. Majikan pula perlu menggalakkan latihan bagi pekerja.

Guru, pensyarah dan jurulatih semuanya perlu memberi usaha terbaik untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan. Setiap lapisan masyarakat sama ada pelajar atau pekerja hendaklah lebih prihatin kepada keperluan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.

Orang Melayu khususnya perlu mengambil peluang daripada semua usaha kerajaan ke arah pembangunan modal insan. Kita percaya Misi Nasional sepanjang 15 tahun akan terus memberi ruang dan peluang kepada orang Melayu mengejar ilmu dan pengalaman untuk menjadi sebahagian penting dalam negara Malaysia yang maju.

Dalam konteks pembangunan usahawan, orang Melayu diakui masih di belakang. Sering dilaungkan agar orang Melayu berusaha membina budaya perniagaan dan keusahawanan untuk mampu berdaya saing dalam perniagaan.

Namun sebelum itu, orang Melayu perlu terlebih dulu mengambil bahagian dalam membina budaya pembelajaran supaya dapat menjadi modal insan berkualiti. Oleh itu semua perancangan kerajaan berkaitan pembangunan modal insan hendaklah diberi perhatian oleh orang Melayu.

Bagaimanapun, kita bimbang melihat keadaan sekarang di mana orang Melayu kelihatan lebih mudah dan bersedia untuk menerima budaya hiburan. Sedar atau tidak, sogokan hiburan jelas begitu banyak sekali dalam kehidupan masyarakat kita sekarang.

Pelbagai pihak kelihatan berlumba menghidangkan bermacam bentuk hiburan kepada masyarakat. Hakikatnya ialah orang Melayu lebih cenderung menyahut semua bentuk hiburan ini. Hiburan pula, apabila sudah terlalu banyak, secara semula jadi menjauhkan kita daripada kegiatan penambahan ilmu untuk pembangunan modal insan.

Kita dapat lihat buktinya di mana setiap bentuk rancangan hiburan sama ada pertandingan menyanyi atau berbentuk pesta akan dikerumuni orang Melayu. Ada pesta hiburan berlangsung hingga larut malam dan esoknya hari bersekolah. Kita sayu melihat anak Melayu masih sibuk berpesta di tengah malam walaupun esoknya perlu ke sekolah.

Negara kita tidak punya banyak masa dalam perjalanan menuju Wawasan 2020. Kualiti modal insan sememangnya akan menjadi penentu kepada kemampuan negara mencapai status negara maju. Jika modal insan kita lemah, negara tidak akan berpeluang mencapai wawasan seperti dirancang.

Namun, kita tidak mahu bersikap negatif. Kita percaya mampu menjadi negara maju serta berdaya saing kerana akan ada dikalangan masyarakat sudah bersedia menjadi modal insan berkualiti tinggi.

Kebimbangan kita ialah sumbangan orang Melayu hanya sedikit berbanding kedudukan sebagai kumpulan terbesar dalam masyarakat. Dalam tempoh tidak sampai 15 tahun berbaki ini, kita ingin melihat penekanan kuat kepada budaya pembelajaran di kalangan orang Melayu.

Pihak berkaitan yang berkuasa melaksanakan sesuatu seharusnya memastikan agar wujud keseimbangan dalam kegiatan berunsur hiburan supaya masyarakat kita, khususnya orang Melayu, tidak terus asyik dan lupa kepada isu lebih besar dalam pembangunan negara.

No comments:

Post a Comment