Thursday, February 18, 2010

Sejarah Dapat Bantu Strategi Niaga

Berita Harian - Nota Niaga, 31 Jul 2006


Dalam dunia perniagaan hari ini, usahawan atau ahli perniagaan perlu menerima hakikat proses globalisasi meningkatkan tahap cabaran perlu dilalui. Era globalisasi juga menyebabkan persaingan antara perniagaan dan antara negara menjadi semakin hebat.

Untuk berdepan dengan cabaran dan persaingan dalam era globalisasi, pengurusan setiap perniagaan hendaklah membina kemampuan merangka strategi dan tindakan bersesuaian dengan cabaran semasa. Jika pengurus perniagaan tidak mampu merangka strategi berkesan perniagaan mereka mungkin tidak dapat bersaing.

Untuk kekal sebagai entiti perniagaan, semua organisasi perniagaan perlu memikirkan strategi baru dari semasa ke semasa bagi menangani pelbagai cabaran. Strategi baik dan berkesan hari ini mungkin tidak lagi berkesan apabila berlaku perubahan tertentu dalam persekitaran perniagaan.

Usaha mengatasi apa juga cabaran sentiasa memerlukan kebijaksanaan menganalisis dan merancang. Malangnya, setiap usaha dalam membuat perancangan perlu berdepan dengan masalah ketidaktentuan. Oleh itu kerja merancang hala tuju perniagaan memerlukan kemahiran menganalisis dan membuat andaian.

Agak sukar membuat analisis dan mengandaikan apa mungkin berlaku jika usahawan atau pengurus tidak ada maklumat mencukupi. Oleh itu, amat penting bagi semua usahawan dan pengurus perniagaan terus berusaha mencari maklumat berkaitan perniagaan dan industri diceburi.

Apabila merancang strategi untuk berdepan dengan cabaran mendatang, ada beberapa perkara penting perlu diberi perhatian, antaranya memastikan strategi dirancang itu ada matlamat jelas. Strategi tanpa matlamat jelas tidak difahami oleh kalangan pekerja yang melaksanakannya.

Setiap strategi perlu menyatakan dengan jelas apa ingin dicapai oleh pengurusan. Bagi tujuan ini, pengurusan hendaklah menetapkan beberapa ukuran pencapaian sebagai matlamat khusus. Ukuran pencapaian boleh ditentukan dalam bentuk matlamat paras keuntungan, paras kos, kadar produktiviti, paras kualiti dan sebagainya.

Seterusnya perancangan strategi juga perlu memastikan semua matlamat dirancang mampu dicapai organisasi. Untuk tujuan ini perancangan strategi perlu mengambil kira keperluan semua jenis sumber untuk menjayakan strategi dan mengkaji sama ada organisasi mampu menyediakan semua sumber diperlukan itu.

Antara lain, keperluan sumber sudah pasti membabitkan keperluan kewangan, penggunaan tenaga kerja, keperluan peralatan atau keperluan bahan lain. Jika pelaksanaan strategi bergantung kuat kepada penyediaan sumber tertentu, pihak pengurusan perniagaan hendaklah memastikan sumber berkaitan disediakan secukupnya.

Selain itu, strategi dirancang hendaklah realistik dalam konteks memberi manfaat kepada perniagaan. Tidak guna merancang perkara mengundang pembaziran atau ketidakcekapan. Ada kalanya usahawan atau pengurus hilang pertimbangan kerana ego dan menyalurkan sumber untuk perkara kurang bermanfaat kepada perniagaan.

Strategi mungkin baik dari segi penentuan matlamat dan ukuran pencapaiannya serta kemas dari segi penggunaan sumber. Namun, ia tidak memberi kesan jika tidak dilaksanakan berdasarkan jadual pelaksanaan tertentu.

Setiap perancangan strategi perlu menetapkan jadual pelaksanaan dengan jelas dan munasabah. Penetapan jadual pelaksanaan mesti ditentukan pengurusan berdasarkan semua maklumat dalaman dan luaran. Ada masanya faktor luaran akan memaksa pengurusan menyesuaikan tempoh masa dan jadual pelaksanaan strategi.

Sekiranya pengurus perniagaan gagal membaca keadaan persekitaran dengan baik, kesilapan boleh berlaku dalam menentukan bila strategi seharusnya dilaksanakan. Menggerakkan strategi tepat pada masanya amat penting untuk mendapat kesan maksimum dan menguntungkan.

Kemampuan merangka strategi dengan baik memerlukan pengetahuan, pengalaman dan kebolehan tertentu. Untuk merangka strategi dengan baik, usahawan atau pengurus bukan sekadar berpengetahuan mengenai perniagaan dan industri diterokai. Mereka juga perlu berdaya kreatif dan mampu memandang jauh ke depan.

Oleh kerana ketidaktentuan sentiasa menjadi faktor dalam menyediakan perancangan, setiap perancang strategi perlu membuat persediaan untuk beberapa kemungkinan. Ia untuk memberi ruang kepada perniagaan agar lebih bersedia bertindak balas apabila persekitaran berubah dalam lingkungan dijangkakan.

Amalan biasa bagi perancang strategi ialah membuat andaian berpandukan tiga kemungkinan. Peringkat pertama perancangan ialah mengandaikan keadaan terbaik dengan semua faktor dijangka memihak kepada perniagaan. Jika keadaan sebenar berlaku seperti andaian, perniagaan akan mencapai keputusan terbaik melebihi kebiasaan.

Perniagaan seterusnya perlu merancang untuk keadaan biasa dengan perniagaan dijangka beroperasi dalam suasana biasa. Dalam perancangan keadaan ini, perniagaan mengandaikan persekitaran akan berada dalam keadaan seperti sudah biasa dilalui. Jika andaian ini berlaku, perniagaan akan mencapai keputusan biasa, tanpa kejutan atau perbezaan besar.

Akhir sekali, perancangan strategi hendaklah juga mengandaikan suasana paling buruk mungkin berlaku. Dalam keadaan ini, kebanyakan faktor persekitaran dijangka tidak memihak kepada perniagaan. Jika andaian ini berlaku, perniagaan akan melalui keadaan sukar dan memerlukan perancangan untuk bertahan.

Merancang untuk masa depan memang bukan mudah kerana kita tidak dapat mengetahui apa mungkin berlaku dengan tepat dan penuh kepastian. Namun kita masih boleh melihat masa lalu sebagai panduan menjangka masa depan. Biasanya sejarah dapat membantu merancang.

Usahawan dan ahli perniagaan tidak dapat lari daripada cabaran mengharungi dunia perniagaan. Oleh itu, cabaran harus dihadapi dengan tabah dan penuh keyakinan. Selain terus meningkatkan ilmu pengetahuan, usahawan harus membina kekuatan mental supaya dapat bertahan apabila berdepan dengan kesukaran.

Ilmu berkaitan pengurusan perniagaan harus terus berkembang luas dengan ramai ilmuan dan cendikiawan mengkaji pengalaman perniagaan masa lalu dan mengajukan pelbagai teori dan kaedah mengurus perniagaan dengan lebih berkesan.

Walaupun cabaran dan persaingan perniagaan semakin hebat dalam dunia hari ini, masih ada jalan keluar menuju kejayaan jika usahawan sanggup berusaha dengan minda terbuka dan semangat sanggup berjuang tanpa mengenal kegagalan.



No comments:

Post a Comment