Wednesday, February 17, 2010

Hutang 'Berekor' Jejas Keupayaan Usahawan

Harian Metro - Bisnes, 21 Feb 2006


Hutang ‘berekor’ adalah masalah utama yang sering dihadapi usahawan Melayu di negara ini terutama mereka yang terbabit dalam sektor peruncitan.

Masalah itu bukan saja menjejaskan keupayaan usahawan untuk menjelaskan pinjaman bank tetapi kecairan modal yang harus dipegang bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan.

Hutang ‘berekor’ bermaksud baki hutang yang tinggal sedikit tetapi masih belum dijelaskan sehingga memakan masa bertahun-tahun untuk si peminjam menjelaskannya dan ia menjadi duri dalam daging kepada usahawan baru khususnya usahawan Melayu.

Wartawan Bisnes Metro (BM), HATIPAH AHMAD menemui Salikin Sidek antara usahawan baru dan juga pemilik butik Salikin Sidek Fashion & Art Studio bagi mendalami dilema ini.

BM: Apakah kesan hutang berekor dan adakah ia sesuatu yang sering dihadapi usahawan terutama mereka yang baru memulakan perniagaan?

SALIKIN: Masalah ini berlaku kepada sesiapa saja, tidak kira usahawan baru atau yang lama bertapak, kesannya akan lebih terasa jika berlaku kepada usahawan baru. Ini kerana kebanyakan mereka perlu memegang sejumlah modal (wang) untuk memastikan perniagaan berjalan lancar.

Masalah hutang berekor terjadi kerana orang yang seharusnya menjelaskan hutang tidak berbuat demikian walaupun jumlah hutang mereka tidak banyak. Apabila hutang tidak dibayar, ia menjadi terbalik akhirnya kerana usahawan pula yang berhutang kerana mereka terpaksa menangguhkan bayaran untuk pinjaman bank dan sebagainya.

Sedikit sebanyak tindakan itu (tidak menjelaskan hutang) menjejaskan perniagaan usahawan tempatan. Ia jadi lebih sakit lagi jika usahawan berkenaan terbabit dalam sektor perkhidmatan dan peruncitan seperti saya iaitu menjahit dan menyiapkan tempahan baju.

Ada segelintir pelanggan saya khususnya artis tidak bayar hutang mereka sedangkan tugas saya menyiapkan tempahan dan peruncitan seperti dijanjikan. Ia sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan saya kepada mereka.

BM: Selain daripada hutang berekor, apakah masalah lain yang turut dihadapi?

SALIKIN: Setakat ini, alhamdulillah saya berjaya mengatasi beberapa masalah yang timbul dan masalah itu tidak dianggap besar sangat kerana saya pernah mengalami masalah yang lebih teruk beberapa tahun lalu, ketika memulakan perniagaan butik fesyen.

Pada tiga tahun pertama, saya menghadapi masalah kewangan yang serius hingga memaksa saya mengurangkan jumlah kakitangan, lokasi perniagaan pula tidak begitu sesuai dan nama pula ketika itu tidak popular dan dikenali langsung. Disebabkan masalah kewangan, saya terpaksa menebalkan muka membuat pinjaman.

Namun, disebabkan ketika itu saya tidak dikenali dalam dunia fesyen, permohonan saya tidak dilayan. Bukan saja orang persendirian tidak sudi, malah bank juga tidak yakin dengan saya. Bagaimanapun, itu semua saya anggap sebagai cabaran orang berniaga.

Bagaimanapun, selepas beberapa lama membina nama dan reputasi, bank pula yang berebut-rebut menawarkan pinjaman kepada saya.

BM: Butik Salikin adalah antara peserta Projek Usahawan Bumiputera dalam Bidang Peruncitan (PROSPER) anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan bagaimana Salikin terbabit dalam bidang fesyen ini?

SALIKIN: Idea menceburi sektor peruncitan dalam bidang fesyen sebenarnya datang apabila rekaan saya mula diterima di pasaran. Namun, pasaran pakaian saya hanya terhad kepada tempahan individu atau korporat.

Jika boleh, saya ingin melihat rekaan fesyen saya dipakai semua golongan masyarakat tanpa ada sekatan daripada segi harga ataupun eksklusif. Tambahan pula, kebanyakan rekaan bertemakan budaya dan mahu tema itu diterima orang ramai.

Saya pun mencari kaedah terbaik untuk melaksanakan projek runcit pakaian dan secara kebetulan pula, saya dihubungi pegawai PUNB pada 2003 yang mengajak saya menyertai skim Prosper bagi membolehkan fesyen saya beredar di pasaran dalam bentuk runcit iaitu ‘pakai siap’.

Ternyata, skim Prosper itu sesuai dan bertepatan dengan konsep yang saya inginkan serta tepat pada masanya. Saya mula terfikir untuk mengeluarkan pakaian ‘siap pakai’, cuma kurang jelas dengan konsep runcit yang hendak dilaksanakan.

Saya mendapati Prosper menggabung dan menyelaraskan pelbagai aspek dalam perniagaan baru bagi memudahkan pembentukan perniagaan runcit yang strategik untuk usahawan Bumiputera.

BM: Salikin dikatakan berjaya sebagai usahawan dalam skim PROSPER. Apakah rahsia Salikin?

SALIKIN: Saya banyak berpegang kepada moto sekolah saya, Sekolah Menengah Kluang, Johor iaitu ‘maju dan terus maju’. Ia motivasi kepada saya apabila meninggalkan zaman persekolahan hingga kini.

Pada mulanya, saya tidak begitu perasan mesej moto sekolah ini. Apabila terbabit dalam perniagaan, baru saya nampak apa yang terbaik untuk maju dan jika tidak mahu ketinggalan.

BM: Apakah perancangan masa depan Salikin?

SALIKIN: Saya bercadang mengeluarkan buku berkaitan fesyen dan jahitan serta berharap menurunkan ilmu jahitan kepada mereka yang berminat terutama pelajar sekolah jahitan atau universiti yang ingin menjadikannya sebagai rujukan.

No comments:

Post a Comment