Wednesday, February 17, 2010

Shahrizat Tidak Puas Hati Penglibatan Usahawan Wanita

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil masih tidak berpuas hati dengan pencapaian dan peluang perniagaan yang diberikan kepada usahawan wanita dalam negara.

Beliau berkata penglibatan wanita dalam bidang perniagaan kecil-kecilan bermula sejak sebelum kemerdekaan lagi, tetapi daya saing dan daya maju wanita dalam bidang keusahawanan agak perlahan dan ketinggalan berbanding lelaki.

"Bakat dan kerajinan usahawan wanita bumiputera memang diakui, namun bakat dan kerajinan sahaja tidak dapat membantu wanita hari ini untuk terus berdaya saing dalam arus globalisasi tanpa ilmu pengetahuan dan penggunaan teknologi moden," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Keusahawan Wanita Dalam Memacu Ekonomi Negara di sini hari ini.

Katanya beliau juga tidak berpuas hati dengan peluang yang kurang diberikan kepada usahawan wanita untuk melibatkan diri dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan menurut tinjauan ringkas Kementerian Pembangunan Wanita, bilangan usahawan korporat wanita bagi tahun 2001 hingga 2006 masih di tahap yang rendah.

Menurutnya tinjauan itu mendapati bahawa peratusan wanita yang memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah adalah kira-kira 10 peratus, manakala dalam syarikat-syarikat GLC pula, hanya 12 peratus wanita yang memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah.

Shahrizat berkata Banci Pertubuhan dan Enterprise oleh Jabatan Perangkaan pada 2003 dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian mendapati 30.3 peratus wanita merupakan pemilik yang bekerja, rakan niaga atau pekerja keluarga tidak bergaji.

"Ini (bancian) menggambarkan bilangan wanita yang menceburi bidang keusahawanan kecil dan sederhana masih lagi rendah berbanding lelaki," katanya.

Shahrizat berkata dari segi bantuan kewangan, Koperasi Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) menawarkan Skim Bantuan Khas untuk Usahawan Wanita, dan menurutnya 579 projek yang melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM55.8 juta sudah diluluskan sehingga Disember 2006.

Katanya penyertaan wanita dalam aktiviti perniagaan hanya tertumpu kepada pernigaan kecil-kecilan dengan modal berbayar di bawah RM50,000, meliputi perniagaan keluarga dan industri desa dengan pasaran yang terhad kepada pasaran tempatan sahaja.

Seramai 150 usahawan wanita mengikuti seminar Kependidikan dan Keusahawanan Wanita Dalam Memacu Ekonomi Negara yang berlangsung sehari anjuran bersama Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dan Dawn City Holdings Sdn Bhd.

Sementara itu Shahrizat berkata beliau akan terus memperjuangkan cadangan untuk melanjutkan tempoh cuti bersalin kakitangan awam daripada 60 hari kepada 84 hari.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment