Wednesday, February 17, 2010

Noraini Pilih Perniagaan Yang Mencabar

Utusan Malaysia - Mega, 19 Sep 2007


Ramai menyifatkan wanita ini cukup bertuah kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sudah sekian lama berkecimpung dalam dunia perniagaan. Jika mahu dibandingkan dengan individu lain yang terpaksa bermandi peluh dan berendam air mata untuk mencapai apa yang diimpikan, laluan beliau dalam perniagaan dianggap lebih mudah.

Namun, selepas pertemuan empat mata dengan tuan punya badan dan mendalami semangatnya dalam dunia perniagaan, ia tidak seperti yang disangkakan kerana seperti individu lain juga, beliau sebenarnya terpaksa melalui pengalaman pahit manis untuk sampai ke tahap sekarang.

Apa yang nyata sepanjang perbualan hampir dua jam di pejabat dan kilang ketiganya di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor, terserlah kecekalan dan kesungguhan yang dimiliki untuk mendaki puncak kejayaan.

Saya percaya kepada semangat juang yang tinggi, tidak mudah menyerah kalah serta sentiasa cuba untuk belajar memperbaiki diri.

“Jika semua itu tidak ada dalam diri, tidak mungkin saya boleh berada pada tahap ini sekalipun saya dilahirkan dalam keluarga usahawan.” Demikan kata-kata yang diluahkan Pengarah Urusan Sipro Plastic Industries Sdn. Bhd (Sipro), Noraini S. Talib.

Berpeluang menemubual wanita berusia 46 tahun ini, gambaran ringkas yang dapat diberi penulis, beliau bukan sahaja seorang wanita yang berjiwa besar, tetapi juga sentiasa ghairah melakukan kerja-kerja yang berbeza dan mencabar.

Bidang pilihan beliau iaitu pembuatan plastik acuan suntikan (plastic injection moulding) yang selama ini dikuasai lelaki, sudah cukup menunjukkan keberaniannya mencuba dan meneroka sesuatu yang berbeza walaupun menyedari ketika itu asas serta pengetahuan dalam bidang yang diceburi terlalu sedikit.

Berkongsi pengalaman pada peringkat awal penubuhan Sipro pada tahun 1992 dengan modal RM500,000, beliau mengakui sememangnya bukan sesuatu yang mudah kerana ketika itu tidak ada pihak yang yakin dengan kemampuan syarikatnya.

Dengan keupayaan tiga orang kakitangan dan dua mesin acuan plastik, syarikatnya hanya berpeluang menerima subkontrak untuk membekal komponen plastik sahaja.Berkat usaha gigih, setahun selepas itu Sipro berjaya menembusi industri elektronik dengan mendapat kontrak secara langsung daripada Sony. Hari ini Sipro berjaya menembusi industri automotif yang memberi peluang kepada beliau menjadi pembekal bagi komponen untuk Proton, Perodua, Modenas, Toyota dan Daihatsu, dengan menawarkan pakej percetakan, rekaan acuan (mould design), mould modification dan fabrication.

“Membina kejayaan lebih mudah berbanding mahu mengekalkannya. Sepanjang berkecimpung dalam perniagaan, pelbagai cabaran terpaksa saya lalui, namun tidak pernah sesekali saya patah semangat,’’ ujarnya.

Secara jujur, beliau berasa bangga dengan pencapaian Sipro selama kira-kira 15 tahun beroperasi, begitupun tidak bermakna sudah berpuas hati kerana baginya banyak lagi yang perlu dilakukan. Di bawah kepimpinan Noraini, Sipro menerima banyak pengiktirafan termasuk Enterprise 50 (SMIDEC-2006), Excellent Company (PUNB-2005), Anugerah Produktiviti Kebangsaan(NPC-2004) dan Persembahan Terbaik Vendor (Modenas 2002). Sipro juga telah menerima pensijilan kualiti ISO/TS 16949 bagi meningkatkan daya saingnya di pasaran antarabangsa.

Beliau turut menerima pengiktirafan peribadi seperti Anugerah Usahawan Wanita (SMIDEC 2006), Anugerah Usahawan Wanita (DPPM-2004) dan terbaru menerima Anugerah Usahawan Wanita Dekad Kelima 1957-2007, anjuran Persatuan Wanita dalam Perniagaan dan Profesional (Peniagawati). Selain itu, beliau juga aktif sebagai Timbalan Presiden Persatuan Pembuatan Plastik Malaysia (MPMA) dan Setiausaha Kehormat Persatuan Vendor Proton (PVA).

Memegang prinsip sentiasa cuba menghasilkan yang terbaik demi mencapai kecemerlangan dan tidak suka sikap lebih kurang dalam kerja, Noraini mengakui beliau juga berhadapan dengan pelbagai cabaran tetapi berjaya melepasi halangan tersebut dengan adanya sokongan keluarga. Justeru, beliau amat teliti soal pengurusan masa dan disiplin agar tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tidak terabai kerana bahawa percaya keluarga adalah segala-galanya.

Pada masa sama saya juga perlu jaga kepuasan pelanggan. Saya cuba melakukan yang terbaik untuk kesemuanya,’’ ujarnya yang membuka kilang ketiganya di Bukit Beruntung selepas Sungai Petani dan Shah Alam, semata-mata mahu memudahkan urusannya dengan pelanggan. Kilang ketiga tersebut, baru sahaja disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Ini sekali gus membuktikan satu lagi pencapaian wanita Malaysia dalam bidang yang selama ini dikuasai kaum lelaki. Pertemuan yang berlangsung dalam suasana santai tetapi penuh makna itu, turut membuka cerita bagaimana Noraini sampai ke tahap sekarang selepas melalui saat-saat getir.

Pernah satu ketika katanya, syarikat dipertanggungjawabkan menyiapkan tempahan dalam masa yang agak singkat. Demi menyahut cabaran dan membuktikan kemampuan, beliau sendiri ‘turun padang’ sehingga lewat malam bagi memberi sokongan kepada para pekerja. Mengakhiri perbualan, wanita yang cintakan alam semula jadi dan tumbuh-tumbuhan hijau ini, berkata, rancangannya adalah untuk menjadi antara pembekal barangan plastik acuan suntikan ke peringkat antarabangsa sekali gus membawa jenama negara ke peringkat global.



No comments:

Post a Comment