Thursday, February 18, 2010

Kemahiran Mengurus Tingkat Daya Saing

Berita Harian - Nota Niaga, 19 Mar 2007


Perkara paling menggembirakan bagi sesebuah agensi pelaksana pembangunan usahawan Bumiputera seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) ialah melihat usahawan Bumiputera berjaya dalam perniagaan yang diceburi.

Bagi mencapai hasrat mengimbangi perkongsian kekayaan ekonomi negara di kalangan rakyat berbilang kaum, pelbagai agensi pelaksana diberi tanggungjawab membantu usahawan, khususnya Bumiputera. Sudah pasti menjadi matlamat semua agensi melahirkan usahawan berjaya.

Kejayaan usahawan di bawah naungan dan bantuan pelbagai agensi ini juga secara langsung menjadi pengukur kepada tahap kejayaan agensi terbabit. Apabila usahawan berjaya, agensi pelaksana dikira berjaya dan seterusnya negara juga berjaya dalam pelaksanaan dasar berkaitan pembangunan ekonomi.

Apakah ukuran sebenar kejayaan seseorang usahawan dan perniagaannya? Untuk jangka panjang, cabaran utama kepada seseorang usahawan ialah bagaimana dapat kekal bertahan dalam perniagaan dan seterusnya mengembangkan perniagaan.

Bagi mengekalkan kesinambungan perniagaan, satu daripada keperluan utama ialah memastikan perniagaan dapat meraih keuntungan. Ada masanya perniagaan mungkin rugi. Namun secara keseluruhannya, sukar bagi perniagaan meneruskan operasi secara aktif jika tidak meraih keuntungan.

Kemajuan pesat teknologi, khususnya dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membawa banyak perubahan dalam pengurusan perniagaan. Teknologi mengubah pelbagai proses kerja dan meningkatkan kecekapan serta produktiviti.

Perubahan dan pembaharuan teknologi juga meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan. Dalam banyak keadaan, perubahan dan pembaharuan teknologi juga berjaya mengurangkan kos, sekali gus menjadikan pengamal teknologi tertentu mendapat kelebihan bersaing.

Pada masa sama, pakar pengurusan pula terus mencari dan memperkenalkan pelbagai kaedah baru dalam teknik pengurusan. Penggunaan beberapa kaedah baru pengurusan juga mampu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan kerja. Ia juga berjaya memperbaiki kualiti keluaran serta mengurangkan kos dalam jangka panjang.

Dalam suasana di mana usahawan dan ahli perniagaan perlu sentiasa peka dengan kemajuan teknologi dan teknik pengurusan, isu globalisasi juga memerlukan perhatian serius. Proses globalisasi menjadikan perniagaan antarabangsa beroperasi dalam suasana dunia tanpa sempadan.

Proses globalisasi secara langsung memberi kesan kepada usahawan kerana tahap persaingan antara perniagaan semakin sengit.

Kesan ini bukan hanya kepada usahawan dalam negara tetapi kepada usahawan dan perniagaan seluruh dunia. Persaingan perniagaan sudah pada paras baru iaitu persaingan antara negara, bukan sekadar antara entiti perniagaan.

Persekitaran perniagaan hari ini sudah pasti menjadikan cabaran untuk seseorang usahawan kekal bertahan dalam perniagaan dan berkembang semakin rumit. Untuk membina daya tahan supaya dapat meneruskan perniagaan, usahawan perlu mampu bangun semula dengan cepat apabila mengalami halangan atau masalah.

Untuk menjadi usahawan berdaya tahan, setiap kesilapan atau kesalahan ketika mengurus perniagaan hendaklah dijadikan iktibar dan pengajaran berguna bagi mengharungi masa depan. Setiap kesilapan sudah pasti memberi beban kos dan kesan kewangan kepada perniagaan. Amat penting kesilapan sama tidak diulangi.

Sehingga kini kita dapati masih ramai usahawan Bumiputera terlalu bergantung kepada bantuan dan sokongan kerajaan untuk berjaya. Majoriti usahawan Bumiputera masih melihat kepada kerajaan untuk sokongan kewangan dan pasaran.

Walaupun sudah ramai usahawan Bumiputera berjaya membuktikan kemampuan mereka dalam perniagaan hasil bantuan kerajaan, masih ramai tidak berjaya sepenuhnya. Golongan ini didapati gagal membina kemahiran dan pengalaman perniagaan mencukupi untuk berjaya dan kekal dalam bidang perniagaan diceburi.

Kelemahan usahawan Bumiputera jelas dapat disaksikan dalam persaingan di pasaran terbuka. Hanya segelintir usahawan Bumiputera dilihat mampu bersaing dengan usahawan bukan Bumiputera untuk mendapat pesanan pembelian jika bersaing di pasaran bukan kerajaan.

Kelemahan usahawan Bumiputera bersaing di pasaran terbuka pada asasnya adalah disebabkan kelemahan dalam kemahiran mengurus perniagaan dan juga kekurangan masyarakat perdagangan Bumiputera untuk memberi sokongan.

Masyarakat perdagangan Bumiputera perlu berkembang untuk memberi kekuatan dan kemampuan membantu sesama sendiri.

Kita dapati kekurangan usahawan Bumiputera dalam bidang pembuatan dan pemborongan khususnya menyebabkan usahawan Bumiputera bidang peruncitan terpaksa bergantung kepada budi bicara usahawan bukan Bumiputera.

Dalam banyak keadaan, suasana ini boleh menyebabkan usahawan Bumiputera tidak dapat beroperasi pada tahap kos minimum, sekali gus menjadikan mereka hilang daya saing. Apa yang lebih penting, usahawan Bumiputera perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mengurus perniagaan.

Kelemahan dalam kemahiran mengurus perniagaan adalah isu lebih kritikal. Tidak ada ertinya mendapat pelbagai sokongan atau kelebihan mendapat kos pembelian murah jika tiada kemampuan mengurus perniagaan dengan cekap. Kemahiran mengurus sebenarnya mampu mengatasi kelemahan jika usahawan menggunakannya dengan bijak.

Kemahiran pengurusan perlu merangkumi kemahiran mengurus kewangan, pembelian bahan, penjualan, tenaga kerja dan sebagainya. Secara lebih terperinci, usahawan perlu juga membina kemahiran asas seperti cara berkomunikasi, kaedah perundingan, cara membuat persembahan dan seumpamanya.

Semua kemahiran mengurus ini boleh dipelajari dengan menghadiri kursus tertentu atau belajar daripada pengalaman sendiri dan juga pengalaman orang lain.

Walaupun sibuk dengan perniagaan, usahawan perlu mencari masa membaca pelbagai bahan bacaan berkaitan perniagaan dan pengurusan untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran.

Sebagai usahawan, seseorang itu perlu sentiasa membuka minda untuk menerima perkara baru. Ada masa kita tidak dapat menunggu ketibaan sesuatu pembaharuan untuk menjadi lebih berjaya. Dalam keadaan begini, usahawan sendiri perlu menjadi penggerak kepada pembaharuan untuk mengubah haluan prestasi perniagaan.

Usahawan Bumiputera perlu terus berusaha meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kualiti dalam mengurus perniagaan masing-masing.

Ini akan memberi kelebihan bersaing dan memberi peluang untuk bertahan serta kekal dalam pasaran dan diiktiraf sebagai usahawan berjaya.

No comments:

Post a Comment