Thursday, February 18, 2010

Hafiz Usahawan Komputer Kitar Semula

Metro Ahad, 5 Oct 2008


"Kehidupan di kampus mendedahkan saya kepada satu keperluan, iaitu komputer. Ramai pelajar perlukan komputer tetapi mereka tidak mampu memilikinya kerana terlalu mahal," kata pemilik syarikat komputer kitar semula, Apex Technology, Hafiz Hashemi Johaini.

Siapa sangka, bermula daripada kesukaran membeli set komputer di universiti memberi idea kepada anak muda berusia 27 tahun ini meneroka bisnes `komputer mampu milik' hingga kini beliau mempunyai rangkaian lima kedai komputer di serata tanah air, tiga unit kedai bergerak di universiti awam utama di sekitar Lembah Klang, sebuah kilang dan menggaji lebih 20 pekerja.

Mengimbas pengalamannya sewaktu belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hafiz, ketika itu masih menuntut di tahun akhir, memulakan `perniagaannya' dengan menampal iklan menjual komputer pada harga mampu milik kepada pelajar UiTM di kolej kediaman dan pusat pengajian. Set komputer pertama yang dijual hanya berharga RM400.

Usaha itu ternyata berbaloi selepas menjual set komputer terpakai dan mencapai pendapatan RM2,000 sebulan walaupun ketika itu masih bergelar pelajar universiti. Jualan set komputer itu tersemai di benak Hafiz hingga beliau bertekad membangunkan perusahaan itu sebagai kerjaya.

Hafiz berkata, perniagaan secara kecil-kecilan itu sebenarnya lebih didorong daripada sikap tidak terlalu bergantung pada ibu bapa untuk menampung perbelanjaan di UiTM.

"Saya tidak dapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Jadi saya kena cari jalan bagaimana hendak dapatkan wang bagi menampung kos sara hidup.

"Waktu itu, walaupun masih belajar, saya perlukan belanja antara RM400 hingga RM500 sebulan untuk buat projek, beli buku, makan minum, sewa rumah dan pelbagai belanja lain," katanya yang bertekad untuk tidak membebankan keluarga walaupun bapanya pegawai bank.

Bagi Hafiz, bapanya masih perlu menanggung perbelanjaan hidup ibu dan empat adiknya di Taman Keramat.

Sebaik tamat pengajian dalam bidang Pengurusan dan Pentadbiran (Pengangkutan), Hafiz tidak terburu-buru mengusahakan perniagaan sendiri.

Sebaliknya beliau menimba ilmu dalam bidang jualan komputer dengan bekerja di sebuah syarikat milik bukan Bumiputera selama setahun.

Pada 2004, Hafiz memberanikan dirinya menubuhkan Apex Technology yang memanfaatkan komputer terpakai yang dibaik pulih untuk dijual semula.

Pada pertengahan 2005, Hafiz bertemu seorang rakan di Kedah yang membuka matanya terhadap kewujudan peluang menjadi usahawan iaitu melalui Skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) yang dianjurkan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).

Walaupun baru bermula dalam perniagaan komputer terpakai, Hafiz bercita-cita besar dan berhasrat memajukan perniagaan yang berkembang pesat berikutan permintaan tinggi di kalangan pengguna komputer, terutama pelajar.

Beliau berkata, PUNB memberi pinjaman bernilai RM175,000 untuk dia membeli lebih banyak skrap komputer daripada syarikat dan bank sebelum diambil komponen yang boleh diguna pakai semula.

Menurutnya, beliau mendapat sokongan padu daripada PUNB melalui beberapa kursus serta bimbingan dan khidmat nasihat, selain berbekalkan pengalaman sedia ada.

Bagi memastikan harga ditawarkannya kompetitif, Hafiz berkata, beliau perlu memastikan harga yang ditawarkan paling murah seperti set komputer semurah RM199 yang dilengkapi perisian Words, Excel, Powerpoint, pemacu CD dan melayari Internet.

Katanya, golongan sasaran seperti pelajar dan keluarga yang berpendapatan RM1,500 ke bawah menjadikan harga set komputer yang ditawarkan perlu mampu milik.

Untuk itu, beliau memerlukan stok komputer terpakai yang besar dan perlu bekerjasama rapat dengan pengusaha barangan lusuh dan pembeli peralatan serta komponen komputer terpakai yang didominasi peniaga bukan Bumiputera.

Menurutnya, pergaulan dan perniagaan dengan masyarakat Cina yang menguasai bisnes komputer dan barangan skrap yang banyak dijalankan oleh kaum India memberi pendedahan dalam perniagaan berkaitan.

Mengupas cabaran dihadapinya dalam membangunkan Apex Technology, Hafiz kesal di atas sikap usahawan Melayu yang tidak cekal, menyebabkan banyak perniagaan berkubur begitu saja selepas gagal dalam beberapa cubaan.

Beliau yang terbabit dalam usaha melahirkan usahawan muda daripada kalangan graduan mendapati hanya dua daripada 10 peserta berjaya meneruskan perniagaan lantaran sikap negatif itu.

"Mentaliti graduan muda kita, asal ada sijil saja ingat sudah boleh berniaga, sedangkan bisnes adalah satu tanggungjawab yang memerlukan disiplin, kecekalan dan komitmen.

"Bisnes rugi sekalipun kena teruskan kerana ia mengajar kita cara berniaga yang betul. Tidak ramai orang kita dalam perniagaan komputer, tetapi peluang yang ada masih terbuka luas untuk kita," katanya.

Ditanya mengapa beliau masih membujang walaupun berusia lewat 20-an, anak sulung lima beradik itu berkata, beliau mahu berjaya dulu dalam perniagaan sebelum memikirkan soal rumahtangga.

Malah, keluarganya tidak pernah membangkitkan soal perkahwinan kerana mereka memahami kesibukan dan dan cita-citanya dalam dunia perniagaan komputer.

Hasil aksesori jenama Apex

Apex Technology, syarikat pembekal komputer baru dan terpakai, meletakkan tempoh tiga tahun lagi untuk meningkat kedudukan syarikat itu sebagai antara pembekal peralatan komputer utama di negara ini selain mengeluarkan aksesori komputer di bawah jenama Apex.

Hafiz Hashemi berkata, hasrat itu akan disokong melalui penerokaan pasaran luar negara bermula dengan Indonesia selain usaha mewujudkan rangkaian usahawan komputer Bumiputera melalui pelbagai kerjasama dengan agensi kerajaan dan universiti tempatan.

"Bagi pasaran luar negara, Indonesia mempunyai potensi besar daripada segi permintaan terhadap komputer dan peralatannya. Syarikat berusaha meneroka pasaran itu di Mangga Dua, Jakarta pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata, Apex Technology juga bakal mendapat suntikan modal melalui pinjaman Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berjumlah RM1juta bagi pemerolehan lebih banyak peralatan baru dan skrap komputer dalam usaha meningkatkan stok dan memperluaskan pasaran komputernya.

"Bagi skrap komputer, kita berusaha mendapatkan bekalan daripada dalam dan luar negara, termasuk United Kingdom serta mengimport komponen baru dari China," katanya.

Menurutnya, buat masa ini syarikat yang berpangkalan di Medan Idaman Business Centre, Gombak, Selangor itu mempunyai lima premis di Plaza Idaman, Gombak; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Gombak, Selangor; Melaka; Tanah Merah, Kelantan; dan Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Selain itu, Apex Technology diperkukuhkan lagi melalui unit kedai bergeraknya di Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta sebuah kilang di Jalan Gombak.

Menurut Hafiz, set komputer kitar semula mempunyai pasaran besar, terutama di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai perniagaan Apex Technology boleh berkunjung ke laman web www.apextechnology.com.my. atau ibu pejabatnya di No 27A, Tingkat Satu, Jalan 4/21D Medan Idaman Business Centre, Gombak, Selangor, atau e-mel apex_tech1@yahoo.com.

Profil

NAMA: Hafiz Hashemi Johaini
UMUR: 27 tahun
ASAL: Taman Keramat, Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Pentadbiran (Pengangkutan) UiTM
JAWATAN: Pengarah Urusan Apex Technology
STATUS: Bujang

No comments:

Post a Comment