Wednesday, February 17, 2010

Zulkurnain Komersial 'Aura' Madu Lebah

Berita Harian - Ekonomi, 24 Mar 2008

Pada waktu makan tengah hari, Zulkurnain Yunus suka menghabiskan masa di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Lokasi yang terkenal dengan jualan pelbagai jenis barangan daripada pakaian hinggalah ubat-ubatan tradisional itu menjadi tempat beliau menghabiskan waktu rehatnya.

Ketika itu, iaitu sekitar 1999, beliau yang masih bekerja sebagai Eksekutif Pembelian dengan PSCNaval Dockyard Sdn Bhd, gemar mengamati gelagat penjual ubat dan madu lebah di situ.

Kebanyakan mereka menjual di kaki lima kedai dengan sesetengahnya hanya beralaskan tikar lusuh dan helaian akhbar lama.

Daripada pengamatannya itu, Zulkurnain mendapat idea untuk menjalankan perniagaan yang diceburinya sekarang.

"Saya dapati madu lebah yang dijual di Jalan Masjid India tidak mempunyai nilai komersial, sedangkan ia adalah produk kesihatan yang baik dan berpotensi untuk dikomersialkan.

"Cara pembungkusan juga kurang menarik. Lalu saya terfikir alangkah baiknya jika saya dapat mengkomersialkan madu lebah ini," kata Pengarah Urusan TLH Product Industries (TLH).

Bertitik-tolak daripada situlah, Zulkurnain mendapat idea menubuhkan TLH, syarikat yang terbabit secara khusus dalam penjualan dan pengeluaran produk berkaitan madu lebah.

Sejak itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang dan TLH mula mengorak langkah lebih jauh.

Ditanya mengapa beliau memilih produk madu lebah sebagai mata pencariannya, Zulkurnain berkata, beliau amat tertarik dengan produk itu disebabkan kebaikan dan khasiat yang tinggi yang ada pada manisan dihasilkan lebah itu.

"Madu lebah ini mempunyai aura tersendiri. Malah, kebaikan memakan madu lebah ada tertulis dalam al-Quran dan Hadis. Sudah tentu ada keistimewaannya yang tersendiri," katanya.

Jelasnya lagi, memandangkan produk madu lebah itu mempunyai nilai komersial yang tinggi jika cara pemasarannya dilakukan dengan kaedah yang betul dan lebih komersial, ditambah pula dengan cara pelabelan serta pembungkusan mengikut amalan antarabangsa.

"Pembungkusan dan proses pelabelan produk madu lebah TLH sedemikian rupa supaya ada nilai komersial dan dapat menarik perhatian pembeli apabila dipamerkan di kaunter farmasi," katanya.

Dengan bantuan pakar khusus dalam bidang madu lebah di Mardi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bahagian bioteknologi di Universiti Malaya (UM) produk pertamanya, Madu Tualang Asli memasuki pasaran pada 2000.

"Ketika itu saya masih makan gaji. Namun, akhirnya saya terpaksa mengambil keputusan untuk melakukan bisnes ini sepenuh masa dan berhenti kerja pada 2003," kata usahawan berusia 43 tahun ini.

Dengan modal sendiri berjumlah kira-kira RM50,000 ketika itu, Zulkurnain yang memulakan perniagaan dengan bantuan isterinya, Wan Azila Wan Ismail, selaku pembantu peribadi, tidak bermula secara besar-besaran.

"Ketika baru bermula dulu, kami membungkus madu di rumah sendiri dan kadang kala kerja berlarutan hingga satu pagi," kata lulusan Diploma Pengajian Perniagaan daripada Institute Commercial and Management (ICM) ini.

Bagaimanapun, kata beliau, semua itu memberikan pengalaman yang tidak ternilai kepadanya dan isteri.

"Ada falsafah mengatakan bahawa perniagaan yang baik selalunya bermula di rumah dan kita hendaklah bermula pada skala kecil-kecilan. Sekarang ini kami berjaya membuktikan kebenarannya," katanya.

Bermula dari rumah jugalah anak kelahiran Lenggong, Perak ini mula membangunkan perniagaannya secara lebih besar-besaran.

Dengan modal tambahan sebanyak RM200,000 daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) yang diperoleh pada 2007, TLH mengorak langkah lebih jauh ke hadapan dalam perniagaan madunya.

Dengan modal itu juga, TLH berusaha menggunakannya bagi mendapatkan pensijilan halal, mengeluarkan produknya di kilang pihak ketiga dan menyertai pelbagai pameran dan ekspo perdagangan anjuran kerajaan.

"Sijil halal itu adalah pasport untuk menembusi pasaran Asia Barat kerana pengguna akan lebih menghormati pengeluar yang mampu mempamerkan sijil halal," katanya.

Bagaimanapun menurut Zulkurnain, untuk mencapai kejayaan pada tahap sekarang bukan suatu proses mudah.

Beliau pernah melalui pelbagai cabaran dan rintangan antaranya produk madu lebahnya ditarik balik dari kaunter farmasi kerana pemilik farmasi kurang yakin dengan produk berkenaan.

Malah, katanya, pihak bank juga enggan memberikan pinjaman ketika baru mula bertapak dulu. Bagaimanapun, semua cabaran itu bukan menjadi penghalang baginya mengembangkan perniagaan.

"Segala cabaran itulah yang sebenarnya mendewasakan kita," katanya sambil menasihatkan mereka baru yang ingin menceburi apa jua bidang perniagaan supaya perlu mempunyai minat mendalam dalam perniagaan diceburi dan produk yang ingin dijual.

"Saya misalnya, amat meminati madu lebah dan ingin terus mencari rahsia keajaiban khazanah alam ini," katanya.

Jelasnya lagi, disebabkan minat jugalah seseorang itu akan terus bersungguh-sungguh untuk memajukan perniagaan yang diceburi sama seperti yang dilakukannya sekarang.

"Perlu diingat, nak buat bisnes memang mudah, tetapi nak berjaya susah, sebab itu kita terpaksa bekerja lebih keras," katanya.

Mengenai perancangan perniagaan pula, Zulkurnain berkata, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk membesarkan lagi premis perniagaan di Shah Alam dan pada masa sama meluaskan lagi rangkaian pengedaran produknya di seluruh negara.

Berbanding kerja makan gaji dulu, Zulkurnain berkata, sememangnya terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua bidang itu.

"Jika dulu sewaktu bekerjamakan gaji pendapatan selalu tidak pernah cukup. Ada saja bayaran yang tertunggak seperti bayaran kereta, rumah dan bil. Tetapi apabila buat bisnes sendiri, masalah seperti itu tiada lagi.

"Inilah yang menjadi ukuran kejayaan saya, maksudnya hidup kita lebih senang sedikit bila berniaga," katanya yang kini mencatatkan pendapatan jualan kira-kira RM300,000 hingga RM400,000 setahun.

TLH rancang tambah wakil pengedar

TLH Product Industries (TLH) sedang mencari wakil pengedar bagi menjual produk terbarunya, Green Propolis yang mula dipasarkan tahun ini.

Pengarah Urusannya, Zulkurnain Yunus, berkata produk berkenaan yang tidak lagi dipasarkan di negara ini sejak empat tahun lalu, dijangka bakal mencipta kejutan baru disebabkan pelbagai kebaikan khasiat yang dikaitkan dengan propolis.

"Disebabkan itu, kami ingin mencari wakil pengedar dan stokis di seluruh negara untuk memasarkan produk ini," katanya.

Untuk menjadi pengedar atau stokis, merekayang berminat boleh menghubungi syarikat itu dengan hanya bermodalkan RM500 bagi mendapatkan sedozen pek Green Propolis yang dijual pada harga RM60 sebotol di Semenanjung dan RM65 di Malaysia Timur.

"Dengan cara ini, kami sekurang-kurangnya dapat membantu orang ramai mendapatkan wang tambahan dengan menjadi wakil jualan Green Propolis TLH," katanya.

Beliau berkata, produk itu juga bebas daripada bahan tidak bersih dan alkohol yang digunakan bagi mengekstrak damar yang dihasilkan daripada lebah bagi dijadikan propolis.

"Kami menggunakan teknologi pengekstratan menggunakan angin dan ini memastikan propolis ini bebas daripada bahan alkohol yang digunakan bagi mengekstrak propolis daripada damar sebelum ini," katanya.

Zulkurnain berkata, tahun ini syarikat itu akan memberikan tumpuan bagi pemasaran produk berkenaan kerana potensi besarnya.

"Ia akan menjadi produk `trademark' kami selepas madu lebah," katanya.

Green Propolis dikatakan berkesan bagi tujuan rawatan pelbagai jenis penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, jantung, lelah dan selesema.

INFO

TLH Product Industries
  • Ditubuhkan dengan modal berjumlah kira-kira RM50,000.
  • Zulkurnain yang memulakan perniagaan dengan bantuan isterinya, Wan Azila Wan Ismail, selaku pembantu peribadi, tidak bermula secara besar-besaran.
  • Dengan bantuan pakar khusus dalam bidang madu lebah di Mardi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bahagian bioteknologi di Universiti Malaya (UM) produk pertamanya, Madu Tualang Asli memasuki pasaran pada 2000.
  • TLH memperoleh modal tambahan sebanyak RM200,000 daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) pada 2007.
  • TLH kini dalam perancangan membesarkan lagi premis perniagaan di Shah Alam dan pada masa sama meluaskan lagi rangkaian pengedaran produknya di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment