Thursday, February 18, 2010

Pengalaman Galak Daya Saing Peniaga

Berita Harian - Nota Niaga, 5 Jun 2006


Kesejahteraan sesebuah negara pasti berkait rapat dengan pencapaian ekonomi. Jika keadaan ekonomi mundur, rakyat perlu melalui kehidupan kurang selesa dengan pelbagai kesukaran. Kesusahan hidup boleh membawa rasa marah dan kecewa serta mengganggu kedamaian.

Di Malaysia, kita bersyukur kerana sejak merdeka kerajaan tidak pernah mengabaikan aspek memajukan ekonomi negara. Malah pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970 adalah langkah berani ketika itu untuk memastikan bukan saja ekonomi negara dimajukan, tetapi juga diagih dengan lebih seimbang dikalangan rakyat pelbagai kaum.

Memastikan manfaat daripada kemajuan ekonomi dinikmati semua pihak secara saksama menjadi cabaran utama dalam membangun negara. Satu faktor penting untuk menggerak ekonomi ialah menggalak kegiatan perniagaan dikalangan rakyat.

Di negara kita, usaha menggalak perkembangan perniagaan perlu juga diiringi usaha memastikan sektor perniagaan tidak dikuasai etnik tertentu saja. Usaha meramaikan Bumiputera membabitkan diri dalam perniagaan adalah usaha berterusan dan memerlukan perhatian semua pihak berkaitan.

Sememangnya pelbagai cara dan kaedah diperkenal untuk membantu Bumiputera khususnya Melayu bergiat dalam perniagaan.

Walaupun sudah ada sedikit kemajuan, kita masih menanti kewujudan satu Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) berkesan dalam sistem ekonomi negara.

Cabaran utama membangun MPPB ialah melahirkan ramai usahawan Bumiputera berkualiti dan berdaya maju. Oleh kerana bilangan Bumiputera berpengalaman dalam perniagaan amat sedikit ketika negara merdeka, maka usaha meramaikan usahawan Bumiputera memang tidak mudah.

Sebaliknya, masyarakat perdagangan kaum Cina di negara kita sudah terbabit dalam perniagaan untuk beberapa generasi.

Kalau diimbas 50 tahun lalu, anak orang Melayu di bandar adalah anak kakitangan kerajaan, anak askar atau polis. Anak orang Cina pula sebahagian besar anak peniaga atau pekedai.

Kalau di kampung dan luar bandar, walaupun majoritinya orang Melayu dengan pekerjaan sebagai petani atau pekebun, kedai hampir semua kepunyaan orang Cina. Begitulah betapa masyarakat Cina sudah lama membina tradisi dan budaya perniagaan.

Kekurangan pengalaman dan pendedahan kepada perniagaan adalah faktor besar mempengaruhi kelemahan Melayu meraih kejayaan dalam perniagaan.

Mencari kejayaan sebagai usahawan bukan seperti ingin berjaya dalam peperiksaan yang mana kita membaca dan menjawab beberapa soalan.

Saya sentiasa percaya cara terbaik mempelajari perniagaan ialah dengan melalui satu tempoh perantisan. Kita perhatikan peniaga Cina akan sentiasa melatih anak mereka cara berniaga di kedai sendiri walaupun ketika anak melalui tempoh persekolahan.

Tidak ada kaedah lebih baik untuk mempelajari sesuatu berbentuk amali melainkan mengalami sendiri apa perlu dilakukan.

Mempelajari secara teori saja tidak mencukupi jika tugasan nanti memerlukan pengalaman melakukan sesuatu.

Baru-baru ini saya berpeluang menemuduga beberapa usahawan Melayu adik beradik mengusahakan perniagaan berkaitan pengilangan dan pengedaran beras. Mereka ini adalah generasi kedua meneruskan perniagaan dimulakan oleh bapa mereka.

Daripada semua jawapan dan penerangan mereka, jelas mereka ini amat berpengalaman dan tahu semua perkara mengenai industri diceburi. Tahap pemahaman mereka mengenai isu bekalan, pemasaran, harga, kos, persaingan dan lain-lain sangat mendalam.

Semua pengetahuan dan kemahiran itu jelas diperoleh selepas bekerja sendiri di perusahaan keluarga mereka.

Segala susah senang dan pahit manis dalam perniagaan keluarga itu mereka lalui bersama. Semua ini memberi mereka keyakinan dan kelebihan untuk maju dengan lebih berjaya.

Minggu lalu, saya berkesempatan menemuduga seorang anak muda Melayu berusia 24 tahun memohon bantuan kewangan untuk memajukan perniagaan kedai runcitnya. Pada usia begitu muda beliau membuka satu kedai runcit deretan lima kedai awal tahun ini.

Walaupun masih muda, pengalamannya amat meyakinkan. Selepas tamat sekolah peringkat STPM empat tahun lalu, beliau bekerja di kedai runcit abangnya mengusahakan perniagaan runcit bertaraf pasar raya.

Dalam tempoh empat tahun, beliau mempelajari semua selok-belok bagaimana mengurus kedai runcit.

Apabila diajukan pelbagai soalan berkaitan perniagaannya dan industri berkaitan, ternyata anak muda itu mampu mempamerkan pengetahuan dan kematangan secukupnya.

Lebih dikagumi beliau berani memulakan perniagaan sendiri beberapa bulan lalu dengan bantuan abangnya sebelum memohon bantuan PUNB.

Dua kisah di atas mengenai usahawan Melayu menimba pengalaman dari peringkat bawah dalam perniagaan pilihan mereka meyakinkan saya lagi bahawa proses perantisan adalah cara terbaik mencari pengalaman dan kemahiran untuk mengurus sesuatu perniagaan.

Usaha kerajaan melatih orang Melayu mempelajari perniagaan memang sudah banyak dilakukan. Pelbagai agensi dipertanggungjawabkan melatih orang Melayu mempelajari ilmu berkaitan keusahawanan dan perniagaan.

Pelbagai institusi pengajian tinggi melahirkan ramai siswazah dalam bermacam bidang. Pelbagai pusat latihan kemahiran melatih belia khususnya juga mengeluarkan ramai tukang atau juruteknik terlatih.

Siswazah dan pelatih keluaran pelbagai pusat latihan kemahiran adalah sumber besar mencungkil usahawan. Bagaimanapun, mereka ini belum bersedia dan sukar berjaya sebagai usahawan jika hanya bersandarkan kelulusan dan latihan kemahiran semata-mata. Mereka mungkin ada kemahiran tetapi masih tiada pengalaman perniagaan.

Di kalangan mereka ini, jika berminat menjadi usahawan, cara terbaik ialah mendapatkan kerja dengan perniagaan berkaitan dan belajar selok-belok perniagaan bidang itu sambil bekerja.

Mereka harus bekerja bagi tempoh agak lama supaya pengalaman mencukupi diperoleh.

Kita sudah melihat banyak bukti di mana ramai usahawan Cina khususnya berjaya melalui proses perantisan ini.

Kita juga sudah mula mendapat bukti bahawa ramai usahawan Melayu berjaya dengan mencari pengalaman diinginkan terlebih dulu.

Proses mencari pengalaman dan kemahiran ini tidak terhad kepada perniagaan kecil saja.

Siswazah bekerja dengan syarikat besar atau sektor korporat juga boleh menimba ilmu, pengalaman dan kemahiran pengurusan di tempat kerja.

Pengalaman ini penting dan akan memberi keyakinan apabila mengusahakan perniagaan sendiri.

No comments:

Post a Comment