Wednesday, February 17, 2010

Tukul - Butik Logam Aksesori Pertukangan Serba Lengkap

Berita Harian - Ekonomi, 24 Aug 2009


"Apa gunanya harta jika ia tidak boleh membantu di saat kita memerlukan."

Berpegang kepada pendirian itu, Suhaimy Abdul Rahman mengorbankan kereta mewah Mercedes-Benz, BMW dan Lexus yang dibelinya ketika berada di puncak kegemilangan kerjayanya sebagai pengurus dana, untuk mendapatkan modal bagi membina perniagaan sendiri.

Beliau tidak terkilan dengan perubahan mendadak yang perlu dilakukannya, sebaliknya yakin laluan yang dibinanya lebih cerah daripada godaan material yang diperolehnya termasuk ketika berkhidmat di beberapa institusi kewangan, termasuk sebagai Pengurus Perbendaharaan di sebuah institusi terkemuka.

Lebih banyak mengkhusus kepada pasaran bon dan derivatif di beberapa institusi kewangan terkemuka, beliau pernah berkhidmat di Kompleks Kewangan Malaysia Bhd (kini dikenali Amanah Capital Bhd), Malaysian Discounts Bhd, KAF Discounts Bhd, Kaf Asset Management Bhd dan Intrinsic Capital Management Sdn Bhd (Incam).

Selepas beberapa perniagaan yang diceburinya tidak bertahan lama, termasuk sebagai ejen jualan bagi syarikat telekomunikasi O'Connors Trading Sdn Bhd dengan menjual telefon bimbit dan kad pek permulaan, kini beliau menyandarkan perniagaannya kepada `Tukul'.

Tukul adalah rangkaian peruncitan yang menjual peralatan dan perkakasan pertukangan yang dimulakan pada 2005 di Bandar Baru Ampang. Bagaimanapun premis itu telah ditutup dan berpindah ke tempat lain.

Menerusi Centroprisma Sdn Bhd, Suhaimy, 39, berasal dari Sandakan, Sabah, yang juga pengasas syarikat berkenaan bersama dua rakan kongsi lain Zaidi Zainal dan Azhar Jaafar, sudah melabur lebih RM3 juta untuk membuka enam buah cawangan Tukul di beberapa lokasi terpilih.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Sarjana Kewangan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Suhaimy membuka tiga cawangan yang diletaknya pada kategori premium iaitu Butik Logam Tukul yang dibina mengikut ciri rekaan moden berdasarkan keselesaan cita rasa beli belah pelanggan masa kini.

Butik Logam Tukul menawarkan lebih 4,000 SKU (unit simpanan stor) dan menampung stok antara 150,000 hingga 250,000 unit barangan, dan barangan yang ditawarkan tidak terhad kepada alatan pertukangan dan kelengkapan saja, tetapi juga barangan untuk aktiviti riadah termasuk kelengkapan memancing.

Antara rangkaian operasi Tukul termasuk di Taman Melawati (Kuala Lumpur), SACC Mall (Shah Alam) Senawang (Negeri Sembilan) dan Kajang Perdana (Selangor), Taman Setiawangsa dan Pendang (Kedah). Sebahagian daripada rangkaian runcit berkenaan adalah milik syarikat, manakala sebahagian lagi dikendalikan oleh rakan kongsi terpilih yang diberi lesen untuk menggunakan jenama Tukul untuk membuka kedai perkakasan, dengan barangan semuanya dibekalkan oleh Centroprisma.

Menurut Suhaimy, beliau akan membuka tiga lagi rangkaian runcit di Bangi (Selangor), Kuala Terengganu dan Seremban 2 (Negeri Sembilan), menjelang akhir tahun.

"Kami akan membelanjakan RM250,000 untuk membuka setiap cawangan, namun pelaburan lebih besar diperlukan bagi membuka Butik Logam Tukul yang menggunakan konsep sepadan dengan butik dibuka di beberapa lokasi termasuk di Taman Melawati," katanya.

Bapa kepada tiga orang anak ini menetapkan sasaran untuk membuka 14 buah rangkaian runcit Tukul menjelang 2011, menerusi gabungan rangkaian milik syarikat dan rakan kongsi.

Bagi mempercepatkan pertumbuhan syarikat, beliau turut mendapatkan pembiayaan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), selain bekerjasama dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Perbadanan Nasional Bhd (PNS) untuk menawarkan rangkaian Butik Logam Tukul dalam bentuk francais menerusi entiti syarikat yang berbeza dan dijangka dilaksanakan tahun depan.

Mengimbas pembabitannya dalam perniagaan perkakasan dan meninggalkan kerjaya sebagai wakil peniaga bon berlesen, Suhaimy berkata, beliau tekad melepaskan kemewahan yang diraih untuk mencari satu perniagaan yang berurusan dengan 'barangan fizikal'.

Krisis kewangan 1997/98 menjadikan perniagaan di pasaran modal kurang bermaya dan pada 1999 beliau mengambil keputusan menyertai Incam secara sepenuh masa sebagai rakan kongsi dan pengurus dana, bersama empat lagi rakan kongsi.

Dalam pada itu, anak bekas anggota polis dengan enam orang adik beradik ini masih lagi tercari-cari perniagaan yang benar-benar memuaskan hatinya sehingga beliau membuat keputusan menjual telefon bimbit dan pek talian mudah alih pada 2001 dengan O'Connor's, yang juga pembekal telefon bimbit Nokia terbesar di Malaysia ketika itu.

Tanpa membuat pinjaman bank, beliau mencagarkan pelaburan RM1 juta dengan mencairkan aset yang dimiliki untuk membuka ruang niaga di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bersama seorang rakan kongsi, Zaidi Zainal.

Pelaburan di O'Connor's membuahkan hasil lumayan hasil gelombang penggunaan telefon bimbit yang terus memuncak sepanjang dua tahun pembabitannya menjadikan beliau ejen kelima teratas daripada 16 ejen utama O'Connor's di seluruh negara.

Beliau kekal dua tahun dalam perniagaan berkenaan sebelum menumpukan kepada satu lagi perniagaan yang diterokanya di TTDI iaitu perniagaan restoran.

Pada masa sama juga, dengan menggunakan kemahirannya dalam bidang pasaran modal, beliau hampir mengambilalih anak syarikat Hicom yang terbabit dalam pembinaan dan pemasangan saluran paip minyak dan gas, tetapi tewas di saat akhir.

Tidak berputus asa, beliau mengambil keputusan meninjau peluang perniagaan dalam bidang francais yang dianggapnya sebagai tidak merugikan dan ini membawa pembabitannya kepada bidang perkakasan menerusi Home Power DIY dan kekal hingga hari ini, walaupun tidak lagi bergerak sebagai pemegang francais.

"Bidang perniagaan perkakasan begitu sesuai dengan cita rasa saya yang sukakan cabaran kerana perniagaan ini turut berubah mengikut gaya hidup masyarakat," katanya yang turut berjaya menambat hati PUNB untuk menjadi pelabur dalam Centroprisma dengan pegangan ekuiti 20 peratus.

Nasihatnya kepada bakal usahawan supaya menjaga nama dan rekod pembiayaan kerana bila-bila masa mereka mungkin perlu mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan dan rekod yang bersih menjadi sandaran utama.

INFO

Centroprisma Sdn Bhd
Jenama : TUKUL / Butik Logam Tukul
Alamat : No 18, Jalan PJU 3/43, Sunway Damansara, PJ
Hotline : 1-300-88-TUKUL
e-mel : www.tukul.com.my

No comments:

Post a Comment