Wednesday, February 17, 2010

Pengorbanan Mohamed Fairoz Membuahkan Hasil

Utusan Malaysia, 2 Jun 2008


Kisah pengorbanan Mohamed Faroz Mohamed Jakel kepada keluarga pada usia muda sehingga terpaksa menolak tawaran untuk melanjut pelajaran ke universiti kini sudah berbaloi.

Beliau yang menerajui Gedung Tekstil Jakel (Jakel) sebagai Pengarah Urusan telah berjaya membuktikan kemampuannya membawa sebuah syarikat tekstil milik bumiputera ke tahap yang cukup tinggi.

Hari ini, Jakel muncul sebagai syarikat pengimport dan penjual utama produk tekstil untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Kejayaan besar Jakel apabila syarikat itu mendapat hak eksklusif menjual jenama-jenama kain terkenal, termasuk Valentino, Pierre Cardin, Roberto Cavalli dan Emanuel Ungaro.

Jakel mempunyai 15 cawangan seluruh Malaysia antaranya terdiri dari Salem Aziz Tekstill di Kelantan, Alamoda Silk House (Pahang), Casamoda Gedung Tekstil (Negeri Sembilan), Bumiputra Silk House (Selangor), Riamoda Silk House (Perak), Prima Moda silk House (Johor), Salem Aziz Tekstil (Kelantan), Laila Rawas Silk House (Terengganu), Astana Moda Silk House (Melaka).

Mengimbas kembali cerita hampir 20 tahun lalu, Mohamed Faroz, 36, mengakui beliau berada dalam dilema pada saat itu untuk membuat keputusan.

Namun minat yang mendalam dalam dunia tekstil dan mengimpikan perniagaan yang berdaya maju menjadi pembakar semangat kepada beliau.

"Jakel mula beroperasi pada tahun 1985 di sebuah premis di Segamat, Johor dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan runcit oleh bapa saya, Mohamed Jakel Ahmad.

"Sebagai anak sulung, saya bertanggungjawab untuk membantu bapa yang baru memulakan perniagaan.

"Selepas tekad dengan keputusan itu, saya perlu membuktikan kepada adik-adik yang lain untuk berjaya sebagai contoh baik kepada mereka," katanya beliau yang merupakan anak sulung dalam 16 adik-beradik.

Jelasnya, pada peringkat awal, sambutan yang diterima Jakel amat menggalakkan selaras dengan statusnya sebagai sebuah syarikat pertama pelopor industri usahawan bumiputera dalam perniagaan itu.

"Katanya, para pelanggan Jakel ketika itu terdiri daripada masyarakat Melayu dan berbilang bangsa.

"Hampir beberapa tahun mengusahakan perniagaan ini, alhamdulillah akhirnya syarikat mendapat pulangan yang baik," kata bapa kepada dua anak ini.

Beliau berkata, Jakel akan terus memperluaskan operasinya dengan menambah utiliti serta ruang kedai selain berhasrat membuka cawangan baru pada masa akan datang.

Ujarnya, perancangan itu merupakan penghargaan di atas kepercayaan yang tidak berbelah bagi daripada pelanggan-pelanggan yang sentiasa memberi sokongan sehingga ke hari ini.

Namun Mohamed Faroz menyedari banyak cabaran getir yang terpaksa dilalui dalam usaha mengekalkan pertumbuhan keuntungan syarikat.

"Semua itu adalah lumrah dalam kehidupan lebih-lebih lagi apabila terlibat dengan dunia perniagaan. Bukan mudah untuk berjaya pada hari ini kerana kami terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat tekstil lain.

"Kami perlu bersaing khususnya untuk mendapatkan bekalan tekstil berkualiti. Namun ia menjadi perkara biasa apabila pesaing kami menguji kemampuan serta cuba merosak dan memburukkan imej kami di mata pembekal dan pengimport," katanya.

No comments:

Post a Comment