Wednesday, February 17, 2010

Azmi Pecah Monopoli

Metro Ahad, 16 Dec 2007

Tekad mahu mencari wang sendiri dengan berniaga membuatkan dia sanggup meredah hujan dan panas, menjaja air serta `buah potong' dari satu tempat ke satu tempat menggunakan basikal di sekitar Taiping, Perak.

Ketika itu, entah berapa kali kata-kata sinis masyarakat sekeliling singgah ke telinganya yang pasti kebanyakannya memandang rendah dan menjatuhkan hukuman tiada masa depan gemilang untuknya.

Namun itu kisah lama, kerana si penjaja air dan buah itu kini bukan calang-calang usahawan.

Berjaya dalam perniagaan adalah satu daripadanya, tetapi yang lebih dibanggakan, dia mampu memecah monopoli perniagaan kedai menjual motosikal yang sejak sekian lama dimonopoli bukan Bumiputera.Itulah keistimewaan anak kelahiran Alor Gajah, Melaka tetapi dibesarkan di Taiping, Perak, Azmi Ismail, 40.

Di Jalan Kamunting, Taiping dan Medan Simpang, Simpang di Perak, serta Rantau Panjang, Klang di Selangor, tersergam megah premis Putra Bikes yang menjadi bukti Bumiputera juga mampu cemerlang dalam perniagaan itu.

Kewujudan kedai motosikal dengan lambang korporat berteraskan warna merah itu juga menjadi manifestasi tekad dan kesungguhan Azmi meningkatkan taraf hidupnya.

Menurut Azmi, dia tiada kelulusan tinggi dan mahu tidak mahu, perlu berusaha keras untuk berjaya dalam hidup."Saya hanya belajar setakat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Justeru, mustahil untuk saya menjawat jawatan tinggi dan seterusnya hidup senang.

"Sebab itu saya memilih untuk berniaga kerana itu jalan untuk saya mencipta kejayaan," katanya dalam pertemuan baru-baru ini yang turut disertai isterinya Noor Asylynna Lee Abdullah, 38.

Azmi berkata, menjual air dan buah ternyata belum cukup untuk dia mengorak langkah cemerlang dalam perniagaan. Bagaimanapun, katanya, menerusi perniagaan itu dia mendapat banyak pengalaman berharga yang membuatkannya semakin bersemangat untuk terus berniaga.

"Sebelum jual air dan buah menggunakan basikal, saya biasa membantu ibu menjual makanan. Justeru, gabungan pengalaman itu membuatkan saya tidak kekok berdepan orang ramai.

"Saya guna pengalaman itu untuk menjalankan perniagaan lain yang memerlukan saya berdepan orang ramai," katanya.

Menurut Azmi, dengan bermodalkan RM20,000 dia memberanikan diri membuka kedai menjual kereta terpakai pada 1992.

Katanya, ketika itu yang mampu dilakukannya hanya menyewa tanah `sekangkang kera' di depan rumah orang.

"Keluarga, terutama ibu dan saudara mara, menentang keras keputusan saya kerana menganggap saya akan gagal disebabkan tidak cukup pengalaman menjalankan perniagaan itu.

"Bagaimanapun, saya teruskan juga. Modal yang dapat dikumpulkan adalah hasil daripada simpanan dan wang insurans daripada kemalangan jalan raya," katanya.

Sambil berseloroh, Azmi berkata, jika tiada kemalangan itu, mungkin dia tidak cukup modal untuk memulakan perniagaan.

"Kemalangan itu tidak membuatkan saya cedera parah, tetapi saya kehilangan satu jari kaki kanan.Ketika itu saya jatuh motosikal dalam perjalanan membantu ibu berniaga makanan," katanya.

Menurut Azmi, ada satu peristiwa melucukan yang masih menjadi kenangan sehingga hari ini ketika dia dalam keadaan `kalut' memikirkan bagaimana hendak mencari modal.

"Percaya atau tidak, saya mencuba menghubungi pemenang wang RM1 juta menerusi kuiz More Juta Ria, Ahmad Samerin Dzulkifli dengan harapan dapat meminjam wang untuk memulakan perniagaan.

"Bagaimanapun, harapan saya tidak kesampaian kerana gagal menghubungi jutawan muda itu," katanya sambil disambut dengan deraian ketawa isterinya.

Azmi berkata, dalam pada keluarga menentang, isterinya memberi sokongan padu, malah sanggup berhenti kerja untuk membantunya. "Tanpa isteri, tidak mungkin saya mampu sampai ke tahap seperti hari ini. Pengorbanannya terlalu besar.

"Ketika memulakan perniagaan, jika saya ada urusan lain, dialah yang mencuci kereta dan menghantar kereta kepada pelanggan.Pada masa sama, dia juga menjadi kerani dan jurujual," katanya yang memulakan perniagaan itu dengan nama syarikat Azmi & Noor Automobil Sdn Bhd.

Menurut Azmi, bukan mudah untuk mendapatkan pelanggan ketika itu kerana dia satu-satunya Bumiputera menjual kereta terpakai. "Kereta yang saya ada hanya sedikit dan ia sukar meyakinkan pelanggan. Lalu, apa yang saya lakukan adalah melakukan strategi meletakkan seberapa banyak kereta untuk hiasan semata-mata.

"Selepas itu, baru ramai pelanggan mula menaruh keyakinan yang kedai saya mampu memberi khidmat terbaik untuk mereka," katanya.

Azmi berkata, selepas ada sedikit peningkatan dalam perniagaannya, dia mula mencuba cabang baru.

"Pada 1996, Modenas mengeluarkan motosikal dan mencari pengedar Bumiputera. Saya mencuba nasib dan terpilih. Tanpa disangka, sambutan yang diterima sangat mengejutkan apabila pada bulan pertama saja, 200 unit berjaya dijual," katanya.

Menurut Azmi, selepas itu tumpuannya lebih kepada perniagaan menjual motosikal dan pada masa sama menyediakan khidmat pinjaman kepada pelanggan.

"Mungkin nasib saya baik kerana ketika negara berdepan kemelesetan ekonomi pada 1997, sambutan terhadap motosikal Modenas tetap menggalakkan.Justeru, hasil perbincangan bersama isteri, saya mengambil keputusan memberi sepenuh tumpuan kepada perniagaan menjual motosikal.

"Cabaran menyertai perniagaan yang dimonopoli bukan Bumiputera bukan mudah. Namun saya mampu mengatasinya dengan menggunakan strategi tertentu dan melakukannya secara perlahan-lahan," katanya yang mula menjual motosikal berkuasa di bawah 150cc selain Modenas pada 1999.

Pada 2006, nama Putra Bikes diperkenalkan dan ia penjenamaan semula Azmi & Noor Automobil Sdn Bhd yang turut ditukar kepada Azmi & Noor Niaga Holdings Sdn Bhd.

Azmi bersama isteri terus cemerlang dalam perniagaan berkenaan dan kedai mereka semakin mendapat perhatian. Kini daripada mereka berdua saja yang bekerja, Putra Bikes mempunyai 20 kakitangan.

Dalam pada itu, selain berkongsi kisah kejayaan dalam perniagaan, Azmi dan Noor Asylynna berkesempatan berkongsi kisah pertemuan mereka.

Menurut Noor Asylynna, dia bertemu Azmi di perpustakaan ketika sibuk membuat persiapan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya memang tidak pernah ada kawan Melayu kerana membesar di persekitaran masyarakat Cina dan bersekolah di sekolah Cina. Entah bagaimana, saya bertemu Azmi yang ketika itu mengulangkaji pelajaran untuk STPM di perpustakaan.

"Saya sangka pertemuan kami berakhir di situ, tetapi mungkin sudah jodoh, kami bertemu lagi. Azmi memang degil kerana banyak kali saya beritahu saya tidak boleh berkawan dengannya kerana keluarga tidak suka, tetapi dia tetap mendekati, malah berani bertemu ayah saya, walaupun saya sudah beritahu ayah garang," katanya.

Noor Asylynna berkata, `impian' Azmi bertemu ayahnya menjadi kenyataan apabila dia dijemput datang ke rumah untuk `ditemuduga'.

"Mungkin kerana Azmi benar-benar jujur untuk berkawan dengan saya, selepas pertemuan itu, saya tidak lagi dimarahi ayah.

"Bagaimanapun, cabaran di sebelah keluarga Azmi tetap ada kerana keluarganya juga sukar menerima saya.

Bagaimanapun, semua kenangan itu sudah berlalu dan kami sekeluarga kini sangat bahagia," katanya.

Bagi Azmi, selain membuktikan mampu berjaya dalam perniagaan, dia membuktikan perkahwinan campur bukan halangan untuk mereka bersama-sama bersusah payah dalam meraih kecemerlangan.

Perkenal sistem biaya secara Islam

Bagi mengukuhkan kedudukannya di pasaran, Putra Bikes akan membuka tiga cawangan baru tahun depan.

Azmi berkata, beberapa lokasi strategik, termasuk di Lembah Klang, dikenal pasti dan jika semua perancangan berjalan lancar, ia akan dibuka secara berperingkat-peringkat.

"Semua cawangan Putra Bikes akan mempunyai `wajah' sama kerana kita mahu jenama Putra Bikes terus diingati dan tampil berbeza dengan kedai motosikal lain," katanya.

Menurut Azmi, Putra Bikes akan turut memperkenalkan sistem pembiayaan pembelian motosikal secara Islam menerusi Skim Al-Ijarah Thumma Al-Bai (AITAB) pada Januari tahun depan.

"Pada masa masa, kita akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan mengadakan promosi istimewa dari semasa ke semasa," katanya.

Azmi berkata, Putra Bikes bukan saja menawarkan pelbagai jenis motosikal berkuasa 150 CC ke bawah, membabitkan jenama seperti Modenas, Naza, Honda, Yamaha dan Suzuki, tetapi ia turut menjadi pusat sehenti untuk apa saja perkara berkaitan motosikal.

"Daripada pembelian, bayaran ansuran, servis, alat ganti hinggalah urusan Jabatan Pengangkutan Jalan, semuanya ada di Putra Bikes.

"Pelanggan juga tidak perlu bimbang mengenai tahap keselesaan kerana semua bilik pameran Putra Bikes dilengkapi pendingin hawa," katanya.

Putra Bikes membuktikan keupayaannya menjadi syarikat menjual motosikal Bumiputera cemerlang di negara ini apabila muncul pengedar Bumiputera paling cemerlang selama tiga tahun bagi motosikal Modenas.

Tahun 2001, diikuti 2002 dan 2005, Putra Bikes menduduki tempat teratas dalam pengedaran motosikal jenama nasional itu daripada 50 pengedar di seluruh Malaysia, manakala pada tahun lain sekurang-kurangnya ia mendapat tempat kedua.

No comments:

Post a Comment