Wednesday, February 17, 2010

Set Lama Jadi Baru

Utusan Malaysia - Keluarga, 10 Nov 2008


Bukan senang untuk menguruskan pelbagai jenis perkhidmatan di bawah satu bumbung. Bermula dengan penjualan kain ela pelbagai jenis, kemudian perkhidmatan menjahit pakaian, hinggalah kepada penyediaan langsir, baik pulih sofa dan khidmat nasihat hiasan dalaman. Pastinya ia memerlukan ketangkasan serta kemahiran pengurusan yang tinggi.

Sebelum menanyakan dengan lebih lanjut tentang perniagaan yang dijalankan oleh usahawan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) ini, penulis cuba menyingkap maksud di sebalik nama Alta Mode Silk House Sdn Bhd., itu sendiri.

“Dalam Perancis ‘Alta’ bermaksud terkini, manakala ‘Mode’ pula ada kaitannya dengan fesyen. Daripada maksud tersebut, saya gabungkan Alta Mode sebagai fesyen terkini,” jelas pemiliknya, Azhari Mohd. Jani, 39, ketika ditemui di premisnya baru-baru ini.

Mengambil ruang sudut rumah kedai setinggi tiga tingkat di Jalan Bola Tampar, Seksyen 13, Shah Alam, sekilas pandang, pasti pelanggan akan berpendapat ia persis kebanyakan kedai tekstil berjenama mewah yang terdapat di sekitar ibu kota.

Telahan nyata benar cuma bezanya Alta Mode dimiliki oleh usahawan bumiputera dan khidmat yang ditawarkan nyata membuatkan pelanggan teruja untuk mencubanya.

“Di sini, kami merealisasikan apa yang dihajati oleh pelanggan menerusi kepakaran dan khidmat nasihat yang diberikan.

“Kami sedar hiasan dalaman semakin menjadi keutamaan khususnya di kalangan warga kota sama ada untuk sesebuah kediaman mahupun pejabat.

“Justeru, khidmat hiasan dalaman menjadi teras perniagaan kami dengan memberi pandangan tentang kesesuaian fabrik sofa, langsir, cadar mengikut tema dan konsep yang dimahukan pelanggan.

“Istimewanya, pelanggan juga boleh mendapatkan idea dengan melihat bilik pameran yang mempamerkan perabot yang telah kami ubah rupa dengan padanan fabrik yang pastinya menarik dan berpatutan,” jelasnya.

Cakaplah apa sahaja berkenaan hiasan dalaman pelanggan tidak akan kecewa apabila berbual dengan perunding khidmat pelanggan di sini.

Selain berpeluang melawat bilik pameran, pelanggan juga boleh melihat katalog yang memberikan tambahan idea untuk perabot sedia ada.

“Kami tidak menjual perabot, tapi mengubah perabot lama menjadi seperti perabot baru. Di bilik pameran kami juga mempamerkan pelbagai koleksi langsir rekaan terkini dengan corak dan warna menarik daripada pelbagai jenis fabrik,” katanya.

Sebuah bengkel baik pulih khas diwujudkan bagi pelanggan yang ini ‘memperbaharui’ perabot lama mereka. Set sofa fabrik mahupun jati yang telah berusia puluhan tahun sekalipun tidak mustahil kelihatan seperti baru dan lebih menarik setelah melalui proses baik pulih di bengkel ini.

Perkhidmatan ini merangkumi penukaran fabrik, kulit atau PVC, penyemburan kilat (varnis) dan tukar warna juga ditawarkan dengan khidmat nasihat daripada pakar dan juga mengikut cita rasa para pelanggan.

“Dengan tema ‘set lama jadi baru’ kami turut menyediakan perkhidmatan tukar kain berdasarkan cita rasa dan corak yang dikehendaki oleh pelanggan,” tambahnya.


No comments:

Post a Comment