Wednesday, February 17, 2010

Krisis Eknomi Punca Masyarakat Takut Jadi Usahawan

Sinar Harian - Bisnes, 27 Nov 2008

Krisis kewangan global yang melanda dunia disifatkan lebih buruk berbanding kegawatan ekonomi 1997 yang menjejaskan keupayaan Malaysia untuk membangun berikutan negara-negara maju terjejas teruk akibat kemelesetan ekonomi itu.

Ada yang berpendapat ekonomi negara dilihat masih mempunyai asas kukuh yang bakal menerima kesan sementara dan selepas itu akan menarik perhatian pelabur dan peniaga dalam jangka panjang. Bagaimanapun, bagi segelintir masyarakat di Malaysia kini mulai bimbang untuk menceburi bidang perniagaan, manakala usahawan semakin panik bagi mendepani persekitaran yang semakin mencabar.

Dunia Perniagaan Berlatarkan Untung, Rugi, Cabaran

Adakah kelembapan ekonomi yang menyaksikan beberapa negara dilanda kemelesetan menjadi punca masyarakat hari ini takut untuk menjadi usahawan?

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, kemelesetan ekonomi sebelum ini menunjukkan reaksi yang masih sama apabila segenlintir masyarakat terpaksa menjalankan perniagaan sampingan.

"Mereka mengalami kerugian dan terpaksa membangunkannya semula secara kecil-kecilan dan masalah kewangan juga menjadi alternatif bagi menjana pendapatan.

"Dalam keadaan biasa pun, percaturan masih tetap sama di mana dunia perniagaan sentiasa berlatarkan untung, rugi, masalah dan cabaran serta penyelesaian," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, baru-baru ini.

Meskipun dunia kini berdepan dengan krisis kewangan yang bakal memberi tempias kepada pertumbuhan ekonomi negara, namun PUNB masih meneruskan peranannya untuk menggalakkan masyarakat Bumiputera menjadi usahawan.

Usahawan baru dan sedia ada seharusnya mengkaji sama ada perniagaan itu berdaya maju serta keupayaan dari segi kewangan.

Mereka perlu berusaha mencari peluang baru kerana setiap permasalahan pasti ada penyelesaian bagi perniagaan terus bertahan.

Usahawan Perlu Faham Keadaan Ekonomi


Usahawan yang bijak akan mengenal pasti peluang tersebut dengan membuat keputusan dengan teliti berdasarkan kajian dan penilaian.

Tidak kira keadaan ekonomi stabil atau sebaliknya, tanpa persediaan dan kefahaman, perniagaan yang dijalankan berisiko dan kadar kecenderungan untuk gagal amat tinggi.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan usahawan di bawah Skim Prosper PUNB supaya lebih bersedia dan menyusun strategi perniagaan bagi mengatasi sebarang kemungkinan yang berlaku pada masa akan datang.

"Terdapat segelintir usahawan yang membangkitkan isu ini, malah mempertikaikannya, namun mereka sebenarnya tidak tahu punca krisis kewangan global," katanya.

Sehubungan itu, masyarakat yang berminat untuk menjadi usahawan perlu memahami tentang keadaan ekonomi ketika ini serta ramalannya pada masa akan datang.

Walaupun Malaysia tidak menerima kesan secara langsung daripada krisis kewangan Amerika Syarikat, namun kesannya masih ada berikutan terdapat aktiviti eksport dan import antara kedua negara.

Keadaan itu dilihat mempunyai persamaan dengan krisis kewangan Asia 1998 dan kemungkinan bahawa kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1930 akan berualang.

Beliau berkata, usahawan tempatan harus memahami hubung kait dengan setiap perniagaan yang dijalankan sedikit sebanyak bakal terjejas.

"Bagaimanapun, mereka juga perlu memandang dari sudut positif di mana ia memberi kelebihan kepada sesetengah perniagaan yang akan melonjak naik," katanya.

Urus Kewangan Dengan Bijak

Setiap kefahaman perlu seiring dengan langkah-langkah dalam menguruskan perniagaan dengan bijak terutama membabitkan soal kewangan.

Usahawan perlu lebih berhati-hati bagi setiap aliran tunai yang mempengaruhi kos dan keuntungan dengan melihat setiap peruntukan yang selama ini kurang diberi perhatian.

Selain itu, kawalan stok juga perlu supaya tiada bekalan yang berlebihan hingga menyebabkan pembaziran sekali gus memungkinkan aliran tunai terjejas.

Jelasnya, masyarakat tidak perlu bimbang kerana peluang perniagaan masih ada, cuma mereka dinasihatkan supaya membuat pelaburan pada kadar lebih rendah.

"Permulaan perniagaan tidak perlu dilaksanakan secara besar-besaran, tetapi memberi tumpuan kepada skala yang lebih kecil dengan mengutamakan kos dan komponen yang lebih penting," katanya.

Tambahnya lagi, mereka yang sudah mempunyai perniagaan digalakkan untuk terus beroperasi, namun harus menguruskan kewangan dengan lebih cekap.

Ia bertujuan untuk mendapatkan penjimatan dalam operasi dengan mengurangkan kos yang tidak kritikal hingga memberi kesan kepada perniagaan.

Pada masa ini, setiap pelaburan awal perlu dikurangkan kepada tahap yang diperlukan bagi memberi ruang kepada kelancaran perniagaan seperti keadaan sebelum krisis.

"Memang bagus jika mahu melakukan pengubahsuaian, namun jika ditundakan sementara waktu bagi memperuntukkan perbelanjaan utama adalah lebih baik," katanya.

Justeru, kelembapan ekonomi yang bakal melanda tidak seharusnya menjadi bidang keusahawanan itu terhenti, sebaliknya ia perlu dipertingkatkan bagi menjana ekonomi.

Kejatuhan Kuasa Beli


Walaupun peniaga bakal berhadapan dnegan kekurangan permintaan berikutan kejatuhan kuasa beli, namun pelbagai pihak terutama kerajaan kini giat merancang bagaimana untuk mengatasi permasalahan itu.

Keputusan kerajaan untuk mengurangkan kadar caruman pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula tahun depan bakal memberi lebihan pendapatan boleh guna kepada golongan itu bagi memperuntukkan untuk perbelanjaan.

"Sebagai peniaga, mereka seharusnya berfikiran positif dan membantu langkah ini dengan mengimbangi semula permintaan dan penawaran," katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan caruman KWSP akan dikurangkan sebanyak tiga peratus yang dibuat secara automatik mulai gaji Januari tahun depan.

Langkah itu terbukti berkesan ketika prosedur tersebut dilaksanakan semasa krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997 dan 1998.

Berhubung penyertaan masyarakat untuk menjadi usahawan di bawah Skim Prosper PUNB, Mohd Nasir tidak menafikan terdapat jangkaan penurunan terhadap bilangan permohonan pada tahun depan.

Keadaan itu dipengaruhi oleh sikap mereka yang mula mengambil langkah berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk menceburi bidang perniagaan, namun ia tidak menjejaskan penglibatan usahawan secara keseluruhan.

"Bagi masyarakat yang benar-benar mahu menjadi usahawan, mereka berfikir lebih positif dan menganggap setiap kesusahan itu adalah cabaran.

"Mereka masih tetap mahu menjadi usahawan atas dasar mahu menjana pendapatan, mencuba sesuatu yang baru dan mencapai kejayaan," katanya.

PUNB Terus Sedia Bantu Usahawan

Pengambilan masyarakat untuk menjadi usahawan di bawah skim anjuran PUNB akan diteruskan,malah dialu-alukan, namun penyertaan dilakukan dengan lebih teliti supaya pilihan berdasarkan kelayakan.

Justeru, setiap sasaran bilangan usahawan yang diluluskan PUNB pada setiap tahun adalah munasabah dan yakin dengan pertumbuhan itu dari masa ke semasa.

"Setiap permohonan yang diluluskan memperlihatkan kepercayaan dan keyakinan PUNB terhadap usahawan berkenaan boleh berjaya tanpa mengira keadaan ekonomi berkembang atau meleset," katanya.

Antara faktor kegagalan permohonan mereka berpunca dari modul perniagaan yang tidak realistik sehingga menyukarkan perlaksanaan, apatah lagi untuk berjaya.

Selain memastikan usahawan yang benar-benar berkelayakan, PUNB turut akan mengenal pasti sektor perniagaan yang dipilih oleh golongan itu.

Sektor perniagaan yang bakal memberi masalah akan dikurangkan, manakala menambah sektor lain yang dilihat berpotensi memberi keuntungan.

"PUNB bercadang untuk memperhebatkan lagi sektor pemborong dan peruncitan di samping memperbanyakkan bidang baru seperti telekomunikasi.

"Langkah berhati-hati turut diambil bagi meluluskan permohonan dari sektor pembuatan serta perniagaan restoran dan pasar mini yang bakal terjejas kerana bakal berlaku penurunan jualan dan margin keuntungan akibat kajatuhan kuasa beli," katanya.

Sebagai sokongan kepada pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan penyertaan usahawan, PUNB meningkatkan jumlah pembiayaan kepada RM170 juta pada tahun depan berbanding RM130 juta tahun lalu.

Berdasarkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), PUNB dijangka mengeluarkan pembiayaan RM180 juta untuk usahawan bagi 2010.

Walaupun berisiko tinggi, namun PUNB terus berperanan memberikan kemudahan pembiayaan dengan mengutamakan projek-projek yang berpotensi.

Mohd Nasir memberitahu, jika keadaan mendesak, pihaknya akan mempertimbangkan jadual pembayaran semula supaya peminjam tidak mengalami kerugian.

"Kami juga bersedia membantu usahawan menambahkan modal sekiranya cadangan atau projek baru itu memberikan keuntungan.

"Keutamaan PUNB adalah memberi peluang kepada masyarakat yang berani untuk menjadi usahawan meskipun cabaran dalam dunia perniagaan hari ini semakin meningkat," katanya.

No comments:

Post a Comment