Wednesday, February 17, 2010

Dunia Kerongsang Cikgu Rahim

Utusan Malaysia - Mode, 24 Jun 2009


Setiap malam selepas melabuhkan tirai perniagaannya, Abd. Rahim Ismail, 50, sesekali akan tersenyum sendirian. Biarpun sudah 10 tahun berlalu dia masih sukar mempercayai perniagaan yang diusahakan mampu bertahan dan berkembang seperti sekarang.

Lebih ironi apabila perniagaan yang dipilih lazimnya lebih dekat di hati wanita bukan golongan lelaki sepertinya.

Apa pun bergelar 'tauke kerongsang' bukan lagi satu kejanggalan bahkan menjadi kebanggaan kepada Abd. Rahim.

Justeru kenangan ketika berniaga pasar malam di Lembah Klang sekitar tahun 1991 tidak akan luput daripada ingatan sampai bila-bila kerana di situlah segalanya bermula.

Daripada 100 bentuk kerongsang yang dijual di pasar malam, tidak keterlaluan jika dikatakan dia kini menjadi antara 'tauke kerongsang' terbesar di Lembah Klang.

"Apa yang saya tahu daripada 100 kerongsang kira-kira 10 lalu saya kini ada lebih 1,000 rekaan dengan jumlah yang dihasilkan bagi setiap rekaan sudah tidak terkira dek jari lagi ," ujarnya sambil tersenyum penuh makna ketika ditemui di premisnya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Rahim memang tidak pernah membayangkan bahawa kerongsang menjadi punca rezekinya sekeluarga selepas mengambil keputusan meninggalkan profesion perguruan.

Rahim mengakhiri kerjayanya sebagai guru Geografi di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Maluri pada tahun 2001 kerana tidak mahu pembelajaran anak-anak muridnya terganggu hanya kerana tumpuannya sudah terbahagi dua antara mengajar dan berniaga.

"Namun kerana tidak mahu nostalgia sebagai guru itu lenyap begitu saja maka saya letakkan nama perniagaan ini CK Rahim Collections Sdn. Bhd.

"CK itu adalah ringkasan cikgu, gelaran yang akan digunakan sampai bila-bila walaupun saya bukan lagi seorang pendidik," jelasnya yang menganggap gelaran sebagai cikgu amat sentimental bagi dirinya.

Perniagaan secara runcit dan borong itu diusahakan sepenuh masa bersama isteri tercinta, Aripah Yahaya, 50.

"Sejarah awal penglibatan sepenuh masa dalam perniagaan kerongsang ini bermula pada bulan Ramadan tahun 1998. Ketika itu saya mendapat satu tapak pasar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman.

"Saya bermula dengan modal sebanyak RM1,000 dengan meja jualan bersaiz hanya 3x6 kaki," ungkap bapa kepada puteri tunggal Nur Irra Syahiddah, 15.

Rahim mengakui, sekali pandang orang ramai mungkin melihat perniagaan tersebut bersifat kecil-kecilan tapi sebenarnya mempunyai potensi yang cukup besar.

Buktinya dalam tempoh sedekad CK Rahim telah berkembang sehingga mempunyai tujuh buah premis di sekitar Lembah Klang.

Kerongsang seiring arus pemodenan

"Perkembangan kerongsang seiring dengan tudung, kerana ia saling melengkapi. Bagaimanapun dari segi perubahan trend, fesyen tudung lebih cepat berubah berbanding kerongsang yang boleh tahan hingga bertahun lamanya," jelasnya yang sering membuat rujukan fesyen kerongsang yang terdapat di Korea, Taiwan, China dan Eropah.

Dari segi cita rasa pula katanya, minat wanita terhadap setiap rekaan sentiasa berubah-ubah.

"Dulu ramai memilih jenis yang tiada batu, ringkas dan praktikal tapi kini kerongsang berhias batu-batu permata jadi rebutan selain rekaan yang lebih moden, terkini dan menjadikan wanita luar negara sebagai ikutan.

"Korea contohnya adalah pusat aksesori dunia. Kebanyakan kerongsang dari Korea dieksport ke negara-negara di Eropah dan bentuk kerongsang Korea juga nampaknya menjadi pilihan hati wanita Malaysia," katanya yang berasal dari Kampung Air Suda di Grik, Perak.

Tetapi tambah Rahim, kebanyakan reka bentuk kerongsang yang diimport dari Korea atau China bermotif binatang yang mencetuskan pelbagai persepsi timbul khususnya kalangan pendebat agama.

"Suatu masa dulu orang tidak kisah menggunakan bentuk haiwan dan serangga seperti rama-rama dan sebagainya. Namun saban tahun apabila pengetahuan agama bertambah, kerongsang berbentuk binatang dan serangga tidak lagi menjadi pilihan wanita Muslim.

"Boleh dikatakan trend kerongsang bermotif binatang 'mati'. Sebaliknya rekaan berbentuk bunga, tumbuhan menjadi kesukaan wanita hingga ke hari ini," terang lelaki yang berperwatakan ceria ini.

Rahim juga menjelaskan orang Melayu pada awalnya menggunakan kerongsang yang diperbuat daripada emas namun disebabkan faktor harga dan kepelbagaian penggunaan, kerongsang emas tidak menjadi pilihan untuk dipakai sehari-hari.

Dari segi populariti, sesuatu rekaan kerongsang itu boleh bertahan hingga tiga tahun lamanya.

"Sebagai contoh, kerongsang yang mempunyai juntai ini masih mendapat tempahan walaupun sudah berada di pasaran sejak tiga tahun lalu," katanya.

Rahim juga mengakui permintaan kerongsang turut berubah mengikut trend tudung.

"Kini tudung yang dipakai isteri Mawi, Ekin amat popular, justeru permintaan kerongsang berbentuk buckle mula diterima.

"Wanita Arab juga dah berubah, kalau dulu mereka hanya memakai tudung tanpa sebarang aksesori kini ramai pelancong Arab membeli kerongsang untuk menambah seri penampilan mereka," cerita Rahim lagi.

Bagi kerongsang yang bersaiz besar dan ditatah batu swarovski harganya lebih mahal dan ia pasti menjadi pilihan pengusaha andaman pengantin untuk dipakai oleh 'Raja Sehari'.

Peluang menjadi peniaga kerongsang

Premis kerongsang pertama CK Rahim Collections mengambil tempat di lot kedai Pustaka Tawakal berhadapan Laman Seni, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

"Paling ramai pengunjung pada hari Jumaat dan ketika cuti sekolah. Pelancong dari Arab, Brunei, Afrika Selatan, Maldives dan Eropah juga ada singgah membeli cenderamata di sini," jelasnya yang turut memiliki kepentingan di sebuah kilang pembuatan kerongsang di Guangzhou, China.

Rahim akan lebih berbangga apabila melihat kerongsang boleh menjadi sumber pendapatan untuk orang lain. Justeru menerusi peluang mengembangkan perniagaan yang diberikan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Rahim menambah koleksi kerongsang dan memberi peluang perniagaan kepada individu dengan konsep jualan borong.

"Dengan pembelian minimum berjumlah RM200 sahaja sudah boleh memulakan perniagaan. Potensi untuk berjaya memang cukup luas kerana bagi saya minat terhadap kerongsang tidak akan 'mati'....selagi wanita wujud di muka bumi ini," katanya penuh makna.

Individu yang berminat memulakan perniagaan kerongsang dengan CK Rahim boleh menghubungi talian 019-3534516.

No comments:

Post a Comment