Wednesday, February 17, 2010

Brisik Cafe Seunik Namanya

Utusan Malaysia - Mode, 6 Jun 2008

Brisik Cafe. Namanya saja sudah mempunyai tarikan yang tersendiri dengan pengunjung membuat pelbagai tafsiran tentang makna yang tersirat di sebaliknya.

Ada yang mengandaikan ia berasal daripada perkataan berbisik. Bagaimanapun, telahan itu bukan saja tidak tepat malah maksudnya berlawanan sama sekali.

Pemiliknya, Nusmawati Yunus, menerangkan bahawa perkataan Brisik itu sebenarnya berasal daripada perkataan Indonesia yang membawa maksud ‘bising’.

Sejujurnya, wanita bertubuh kecil molek ini mengharapkan kafenya menjadi ‘bising’ seperti maksud yang tersirat di sebalik nama itu.

“Kafe ini baru tiga bulan dibuka. Lokasinya yang terletak di Jaya One, Petaling Jaya, Selangor, mungkin belum dikenali kerana kebanyakan ruang pejabat di sini masih belum dipenuhi dengan penyewa,” jelas wanita kelahiran Perak ini.

Walaupun berkonsep kafe, Nusmawati tidak mengehadkan pilihan makanan, malah pengunjung boleh mendapatkan lebih daripada ratusan juadah yang boleh yang kebanyakannya masakan dari Sunda.

“Antara makanan yang disarankan untuk pengunjung ialah ayam kari hijau, tom yam Songkhla dan nasi Brisik. Konsep saya lebih kepada semi fine dine (hidangan separa rasmi),” jelasnya yang turut memiliki Kafe di Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur.

Beliau yang mendapat pembiayaan modal daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi membangunkan perniagaannya, menata hiasan dalaman kafe tersebut mengikut cita rasa sendiri.

Bagi yang pertama kali berkunjung ke Brisik Cafe pasti terpesona dengan hiasan dalaman yang selesa dan boleh dipenuhi oleh lebih 130 pengunjung pada satu masa.

Nusmawati juga menyediakan perkhidmatan majlis, tidak kiralah majlis makan malam tahunan syarikat, majlis hari lahir dan pernah juga majlis menyambut pengantin diadakan dalam suasana santai di Brisik Cafe.

“Sebenarnya kafe ini bukanlah sekadar mata pencarian, tetapi lebih kepada kepuasan saya untuk memberikan layanan yang terbaik kepada pelanggan yang datang.

“Justeru, kami juga mengadakan sambutan hari tertentu seperti Hari Ibu, Hari Bapa istimewa dan sebagainya khusus untuk pengunjung,” katanya.

Sentiasa memikirkan nilai tambah untuk kafenya, Nusmawati turut menyediakan hidangan organik bagi pelanggan yang mengamalkan pemakanan tersebut. Syaratnya, pelanggan organik mestilah menempah sekurang-kurangnya sehari sebelum datang ke kafe.

Brisik Cafe dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 12 malam. Bagi yang berminat untuk berkunjung bolehlah menelefon talian 016-6163666 atau ke M3-1, Palm Square, Jaya One, 72, Jalan Universiti, Seksyen 13,Petaling Jaya, Selangor.



No comments:

Post a Comment