Wednesday, February 17, 2010

PowerZone Sebaris Jenama Antarabangsa

Berita Harian - Ekonomi, 29 Sep 2008


Jenama PowerZone mungkin belum segah jenama Brabus, Lorinser dan AC Schnitzer dari Jerman atau HKS, Mugen Power, TOM'S atau Mazdaspeed dari Jepun di dalam industri penalaan enjin kereta.

Namun, tidak mustahil jenama PowerZone satu hari nanti akan sebaris dengan jenama syarikat penalaan kereta antarabangsa itu.

Dilihat daripada kesungguhan dan keazaman pemilik jenama itu dan syarikat di belakang PowerZone, NS Performance Tuning Sdn Bhd, ia mungkin menjadi kenyataan.

PowerZone sebenarnya bukan jenama yang terlalu asing di kalangan penggemar kereta berprestasi tempatan. Ia sudah banyak terbabit dalam penajaan sukan permotoran di dalam negara.

"Walaupun sudah agak berjaya, kami mahu membawa Powerzone ke peringkat antarabangsa dan kami sudah bersedia ke arah itu," kata Mohd Nasri Zainal, iaitu Ketua Eksekutif NS Performance yang beroperasi di kawasan perindustrian Glenmarie, Shah Alam.

NS Performance kini pada peringkat akhir memuktamadkan janji niaga untuk membawa masuk jenama PowerZone ke negara Asean dan Asia Barat bagi melebarkan kedudukannya di persada antarabangsa.

Bagi tujuan itu, syarikat berkenaan mendapatkan pinjaman RM2 juta daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).

Namun sebelum mencapai kedudukan sekarang, Nasri yang menubuhkan syarikat itu bersama rakan karibnya, Sirazul Izlam Abdullah pada Ogos 2000 menempuh pelbagai cabaran.

"Ketika membuka bengkel PowerZone dulu, cabaran awal adalah meyakinkan pengguna. Memandangkan perkhidmatan peningkatan prestasi kereta masih baru di negara ini, jumlah kereta yang masuk ke bengkel pada masa itu boleh dibilang dengan jari," kata Nasri.

Bagaimanapun hari ini, 15 kakitangan PowerZone tidak cukup tangan menerima kereta yang masuk setiap minggu.

Pada peringkat awal katanya, ada pelanggan yang tidak jadi menghantar kereta di bengkelnya meskipun telah diberikan penerangan panjang lebar mengenai kelebihan membuat penalaan pada enjin kereta mereka.

"Bayangkan betapa kecewanya saya kerana setelah lebih dua jam menerangkan aspek penalaan kereta kepada seorang pelanggan, beliau akhirnya, tidak jadi menghantar kereta ke bengkel kami.

"Tetapi mungkin itu cabaran berniaga dan kita kena sabar. Syukur, lapan bulan kemudian pelanggan itu datang semula dan kini menjadi pelanggan tetap kami.

"Di sinilah saya terfikir betapa pentingnya kesabaran dalam perniagaan dan jangan sesekali mengambil ringan mengenai siapa pun pelanggan kita," katanya.

Mengimbas detik awal pembukaan syarikat itu, Nasri berkata, minat terhadap teknologi automotif dan kereta, ditambah kesungguhan untuk mempraktikkan ilmu dalam kejuruteraan mekanikal membawa kepada pembukaan NS Performance.

"Bermodalkan simpanan RM50,000 ketika makan gaji, saya dan Sirazul membuka perniagaan ini dan terus bertahan hingga kini," katanya.

Kelebihan PowerZone untuk menjadi jenama penalaan kereta dipercayai mungkin terletak kepada latar belakang Nasri sendiri.

Berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti A&M Texas, Nasri memanfaatkan sepenuhnya ilmu dipelajari di universiti.

Malah dengan ilmu itu juga beliau dan tenaga kerja NS Performance sentiasa bekerja keras membangunkan produk baru untuk pelanggan PowerZone.

Nasri berkata, ketika memutuskan untuk berniaga, beliau agak was-was untuk berhenti kerja makan gaji, tetapi kerana minat, beliau akhirnya bertekad melepaskan jawatan di syarikat multinasional antarabangsa iaitu di Esso dan Nestle.

"Saya agak bimbang kerana sudah selesa makan gaji, tetapi akhirnya saya hanya berserah kepada Tuhan," katanya yang turut menasihatkan individu yang berminat berniaga supaya tidak takut meninggalkan zon selesa mereka.

"Apa yang penting kesungguhan dan tekad, kita pasti berjaya," katanya.

Nasri berkata, perniagaan yang diceburinya mempunyai potensi yang besar.

"Semua orang inginkan kereta yang berprestasi tinggi dan menjimatkan bahan api. Bagaimanapun tidak semua kereta yang keluar dari kilang mempunyai prestasi seratus-peratus. Memandangkan kereta dikeluarkan secara skala besar, maka akan ada sedikit sebanyak kekurangan di sana-sini terutama pada prestasi enjin. Tugas kami adalah untuk
meningkatkan prestasi enjin untuk mencapai tahap maksimum dengan meletakkan alat tambahan dalam enjin kereta," katanya.

NS Performance kini mengendalikan kerja peningkatan prestasi kereta untuk semua jenis kereta.

"Kami melakukan dari A hingga Z," katanya sambil menambah, pelanggannya bukan sekadar dari Lembah Klang malah menjangkau seberang tambak Johor.

Syarikatnya turut menjual komponen penalaan kereta yang sesetengahnya dibangunkan sendiri dan turut dijual di luar negara. Ini termasuk Powerzone High Performance SOHC Camshaft yang mampu meningkatkan kuasa enjin sehingga 20 peratus daripada prestasi kilang.

1 comment: