Wednesday, February 17, 2010

Profesional Melayu Perlu Berdikari

Berita Harian - Nota Niaga, 15 Jan 2007


Pelbagai dasar kerajaan sejak merdeka sentiasa berusaha ke arah keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan kemajuan ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Dari banyak sudut, kita boleh berbangga dengan pelbagai kemajuan oleh negara dan rakyat.

Mungkin kurang tepat untuk kita memuji diri sendiri mengenai paras pencapaian dan kemajuan negara selama ini. Namun hakikatnya kita dapat menyaksikan bahawa negara kita nyata antara terbaik di kalangan sekian banyak negara dunia ketiga yang mencapai kemerdekaan pada masa sama.

Bagaimanapun, sebelum kita khayal dan lalai dengan tahap kejayaan dan kemajuan negara, masyarakat Melayu sebagai kelompok majoriti perlu merenung dengan lebih mendalam sejauh mana pembabitan mereka dalam arus kemajuan negara dan sebanyak mana manfaat mereka kecapi daripada kemajuan ini.

Satu daripada perkara penting untuk menjadi negara maju ialah memastikan kemajuan sektor ekonomi. Apabila kedudukan ekonomi negara dapat ditingkatkan, kehidupan rakyat sudah pasti akan menjadi lebih baik. Rakyat pula secara langsung perlu terbabit dengan kegiatan ekonomi untuk mendapat manfaat secara peribadi.

Mengikut satu kajian dan laporan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) pada 2004, pembabitan orang Melayu dalam ekonomi dari segi pekerjaan pada 1970 ialah 1.43 juta orang atau 51.5 peratus daripada 2.78 juta pekerja di Semenanjung.

Kajian juga menunjukkan 64.6 peratus daripada pekerjaan orang Melayu pada waktu itu adalah dalam sektor pertanian dan 17.9 peratus dalam sektor perkhidmatan dengan perkhidmatan kerajaan adalah sektor terbesar. Pembabitan Melayu dalam pekerjaan dalam sektor pembuatan hanya enam peratus.

Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan, matlamatnya antara lain ialah mengubah komposisi pekerjaan agar lebih seimbang dikalangan pelbagai kaum. DEB mengharapkan pembabitan Melayu dan Bumiputera lain dalam kegiatan ekonomi akan lebih seimbang.

Perubahan dapat dilihat pada 1990 dengan pembabitan Melayu dan Bumiputera lain dalam pekerjaan meningkat kepada 3.83 juta atau 57.8 peratus daripada 6.62 juta pekerjaan. Pembabitan Bumiputera dalam sektor pertanian ialah 36.7 peratus, perkhidmatan kerajaan 21.2 peratus dan sektor pembuatan meningkat kepada 17 peratus.

Peralihan pekerjaan masyarakat Bumiputera daripada pertanian kepada pembuatan terus berlaku dan pada 2000, jumlah pekerja Bumiputera di sektor pembuatan mengatasi pertanian dengan 26.3 peratus daripada 4.78 juta pekerja berbanding 18.2 peratus sektor pertanian. Pekerja Bumiputera dalam perkhidmatan kerajaan dan perkhidmatan lain ialah 25 peratus.

Pembabitan Melayu mengikut kategori pekerjaan pada 1970 ialah 64,200 orang atau 4.3 peratus dalam kategori profesional dan teknikal. Dalam kategori pentadbiran dan pengurusan, hanya 7,400 orang atau 0.01 peratus terbabit. Paling ramai ialah kategori rendah iaitu ada 140,000 orang atau 95 peratus daripada pekerja Melayu dalam sektor awam dan swasta.

Dasar kerajaan mula memberi kesan apabila menjelang 1990, bilangan Melayu dan Bumiputera lain dalam kategori profesional dan teknikal meningkat kepada 350,400 orang atau 9.2 peratus. Kategori pentadbiran dan pengurusan bertambah kepada 54,100 orang atau 1.4 peratus.

Pada 2000, bilangan Bumiputera bekerja dalam kumpulan profesional dan teknikal meningkat kepada 509,800 orang atau 13.6 peratus. Kategori pentadbiran dan pengurusan pula meningkat kepada 94,200 orang atau tiga peratus.

Apabila membincangkan pembabitan Melayu dalam pekerjaan, kita juga ingin tahu sejauh mana kemajuan Melayu sebagai ahli kumpulan profesional. Dilaporkan pada 1970, keahlian orang Melayu sebagai akauntan, akitek, doktor gigi, doktor perubatan, jurutera dan doktor haiwan hanya 225 orang iaitu tidak sampai lima peratus daripada jumlah 4,576 orang.

Ketika itu orang Melayu adalah bilangan terkecil dalam setiap bidang profesional di atas. Bagaimanapun, pada 1990 bilangan Melayu dan Bumiputera lain berdaftar sebagai ahli dalam enam bidang profesional dinyatakan dan sebagai peguam serta juruukur bertambah kepada 11,753 orang atau 29 peratus daripada jumlah profesional berdaftar.

Peningkatan profesional Bumiputera selepas dua puluh tahun pengenalan DEB juga menyaksikan Bumiputera sebagai kelompok kedua terbesar dikalangan akauntan, akitek, doktor gigi, doktor perubatan, jurutera dan doktor haiwan.

Pada 1999 bilangan Bumiputera menjadi profesional terus bertambah kepada 15,321 orang atau 28.9 peratus daripada jumlah profesional keseluruhannya. Pada masa itu, Bumiputera muncul menjadi kelompok terbesar dikalangan doktor, jur ukur dan doktor haiwan serta kelompok kedua terbesar untuk semua bidang profesional lain.

Seorang profesional berpeluang mengamalkan kepakarannya atau bekerja dengan orang lain sebagai kakitangan pakar. Contohnya seorang doktor boleh membuka klinik sendiri atau bekerja di hospital. Seorang akauntan pula boleh membuka firma sendiri atau bekerja dengan syarikat perniagaan.

Ramai juga golongan profesional mengamalkan kepakaran mereka dengan bekerja di firma profesional orang lain. Ia selalunya sebagai langkah awal menimba pengalaman sebelum membuka firma sendiri. Ia juga untuk memenuhi syarat profesion yang menetapkan tempoh tertentu sebagai proses membina pengalaman dan kepakaran.

Perkembangan pesat ekonomi negara memberi banyak peluang kepada pelbagai profesion meluaskan khidmat mereka. Oleh itu, profesional Bumiputera dalam semua bidang sewajarnya merebut peluang ini dengan membuka firma sendiri dalam bidang masing-masing.

Peluang membuka firma sendiri sudah semakin mudah dengan adanya bantuan kewangan dan khidmat nasihat perniagaan untuk golongan profesional oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Profesional muda Bumiputera harus lebih berani untuk cuba berdikari dengan mengamalkan profesion mereka.

Usaha membangun usahawan Bumiputera tidak terhad kepada bidang perniagaan biasa. Bidang profesional juga satu peluang perniagaan bagi mereka yang berkelayakan. Kemunculan lebih ramai usahawan profesional Bumiputera dalam bidang masing-masing mampu memantapkan pembabitan Bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara.

No comments:

Post a Comment