Wednesday, February 17, 2010

Usahawan Perlu Bijak Urus Risiko

Berita Harian - Nota Niaga, 27 Nov 2006


Walaupun 2006 sudah hampir ke penghujungnya, diperhatikan beberapa persidangan atau seminar berkaitan perniagaan dan keusahawanan masih dijadualkan berlangsung. Ini dianjurkan oleh agensi kerajaan, universiti atau badan bukan kerajaan (NGO).

Jika dihitung bilangan persidangan, seminar, bengkel dan seumpamanya dianjurkan sejak awal tahun, nyata masyarakat perniagaan kita sentiasa berpeluang mengikuti perkembangan mengenai perniagaan dan keusahawanan.

Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan 36 tahun lalu, bidang perniagaan dan keusahawanan mula diberi penekanan oleh kerajaan. Masyarakat Bumiputera khususnya diberi pelbagai galakan dan bantuan untuk berkecimpung dalam perniagaan.

Usaha kerajaan menyokong dan membangunkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) semakin kuat dengan penubuhan Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) pada Jun 2004, dengan keanggotaan 18 kementerian atau agensi kerajaan dan dipengerusikan Perdana Menteri.

Satu daripada tindakan awal MPPK ialah menetapkan takrif PKS untuk digunakan oleh semua pihak. Sebelum ini, takrif PKS oleh beberapa kementerian dan institusi kewangan adalah berbeza menyebabkan kekeliruan berkaitan kelayakan PKS mendapat bantuan atau galakan tertentu.

Berpandukan takrif PKS baru ini, bancian oleh MPPK menunjukkan bahawa 518,996 atau 99.2 peratus pertubuhan perniagaan terdiri daripada PKS. Bancian itu juga menunjukkan daripada jumlah perniagaan PKS ini, 411,849 perniagaan atau 79.4 peratus adalah perniagaan bersaiz mikro. Maklumat berkaitan bancian ini dibentang dalam Laporan Tahunan PKS 2005 oleh MPPK.

Mengikut takrif sekarang, perniagaan bersaiz mikro adalah perniagaan mempunyai pekerja tidak melebihi lima orang atau mencatat hasil jualan tahunan tidak melebihi RM200,000 jika beroperasi dalam sektor perkhidmatan dan pertanian. Had jualan tahunan jika beroperasi dalam sektor pembuatan ialah RM250,000.

Berdasarkan bancian MPPK ini, ternyata sebahagian besar daripada perniagaan negara kita adalah perniagaan bersaiz mikro. Bayangkan betapa ramai usahawan peringkat mikro sedang bersaing di pasaran untuk memajukan perniagaan masing-masing.

Dengan pertambahan penduduk dan persaingan membabitkan pasaran antarabangsa, usaha meningkatkan ekonomi negara menjadi semakin mencabar. Kerajaan jelas sekali berusaha menggalakkan lebih banyak kegiatan perniagaan dan keusahawanan dikalangan rakyat, terutama dikalangan Bumiputera.

Galakan dan penekanan kerajaan kepada perniagaan dan keusahawanan memang ketara dengan pelbagai usaha membantu usahawan sektor PKS. Penubuhan SME Bank sebagai tambahan kepada kewujudan beberapa agensi pembangunan usahawan dan institusi kewangan pembangunan adalah sebahagian usaha ini.

Kerajaan terus menggalakkan siswazah mencuba bidang perniagaan dengan menyediakan pelbagai skim keusahawanan khusus untuk membantu mereka. Galakan kerajaan kepada bidang keusahawanan jelas dengan penggunaan slogan ‘Keusahawanan Kerjaya Pilihan’ oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Kerajaan juga berusaha meningkatkan kegiatan perniagaan melalui bidang pertanian. Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) 2006 minggu lalu telah menggunakan tema ‘Pertanian adalah Perniagaan’ untuk menonjolkan pelbagai peluang perniagaan di bidang pertanian.

Usaha dan galakan untuk memajukan usahawan dan perniagaan seharusnya memberi gambaran lebih jelas mengenai peluang perniagaan kepada yang berminat dan ingin berniaga. Namun setiap bakal usahawan harus juga ingat bahawa apa juga bantuan dan sokongan kerajaan hanyalah sebahagian daripada ramuan mencapai kejayaan dalam perniagaan.

Usahawan sendiri perlu membina beberapa kemampuan diri untuk mengambil kesempatan daripada peluang perniagaan dan bantuan kerajaan. Antara lain, usahawan sudah tentu perlu bersedia dengan ilmu pengetahuan atau pengalaman bersesuaian dengan bidang perniagaan ingin diceburi.

Keusahawanan itu sendiri boleh kita takrifkan sebagai usaha mencipta nilai melalui peluang perniagaan dengan mengurus semua risiko berkaitan dan menggerak semua sumber dengan menggunakan kemahiran komunikasi dan pengurusan.

Memandangkan keusahawanan itu membabitkan perniagaan, kita perlu pula memahami bahawa perniagaan adalah usaha menjana hasil pendapatan dan keuntungan melalui urus niaga membabitkan jual beli barangan atau perkhidmatan, dengan matlamat meningkatkan nilai pemegang saham.

Ini bermakna usahawan dalam perniagaan perlu berusaha menjana hasil untuk menambah nilai kepada modal dilaburkan. Kadar usaha seseorang akan menentukan kadar hasil seperti ternyata dalam Quran, “Dan bahawa manusia tidaklah akan memperoleh, melainkan sekadar usahanya” (surah 53:39).

Berpandukan takrif keusahawanan di atas, antara lainnya segala usaha seorang usahawan dalam perniagaan memerlukan kemampuan mengurus setiap risiko berkaitan perniagaan diusahakan untuk menempa kejayaan. Keberanian mengambil risiko secara buta-tuli mungkin mengundang kerugian.

Beberapa kajian secara ilmiah menunjukkan kecenderungan dan keberanian mengambil risiko adalah satu daripada ciri dalaman usahawan berjaya. Usahawan tidak akan mampu menempah kejayaan dalam perniagaan jika tiada langsung kecenderungan untuk mengambil risiko.


Setiap usahawan pastinya sedar bahawa apabila mereka membuat keputusan mencebur diri dalam perniagaan, mereka sudah mendedahkan diri kepada beberapa risiko. Sememangnya setiap peluang meraih pulangan akan sentiasa diiringi risiko, seperti dianjurkan dalam ilmu kewangan di mana dinyatakan kadar pulangan berkait rapat dengan tahap risiko diambil.

Risiko terbesar tentunya risiko kehilangan modal dilaburkan jika perniagaan tidak berjaya seperti dirancang. Namun risiko kehilangan modal ini boleh dikurangkan dengan memahami apakah bentuk risiko perlu ditangani dalam mengurus perniagaan.


Usahawan perlu mampu menilai risiko pada setiap peringkat mengurus perniagaan seperti risiko mendapat bekalan bahan pada masa diperlukan, risiko dalam proses pembuatan atau pengeluaran, risiko mengenai tahap penerimaan pasaran kepada keluaran, risiko kegagalan mengutip hasil jualan dan sebagainya.

Setiap risiko perlu dianalisis secara bijaksana. Ini memerlukan kefahaman dan pengetahuan mendalam mengenai perniagaan diusahakan. Dengan mengetahui kebarangkalian sesuatu risiko dan kaedah mengelak atau mengurangkannya, usahawan masih berpeluang mencari pulangan diharapkan.

Tidak dinafikan bahawa untuk berjaya dalam perniagaan, usahawan perlu mengambil risiko. Apa ingin diingatkan ialah perlunya membuat persediaan secara terancang apabila mengambil risiko dalam perniagaan.

No comments:

Post a Comment