Thursday, February 18, 2010

Ramai Keliru Isu Untung dan Tunai

Berita Harian - Nota Niaga, 20 Mar 2006


Kebelakangan ini kita sering mendengar keluhan usahawan dan peniaga bahawa mengurus perniagaan menjadi semakin rumit. Antara masalah besar perniagaan ialah kenaikan kos operasi, lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Dalam bidang tertentu, ada perniagaan terutama berkaitan elektronik atau telekomunikasi menghadapi masalah persaingan apabila pesaing mengeluarkan produk lebih menarik atau lebih murah.

Sesetengah perniagaan pula berdepan dengan masalah mendapatkan tenaga kerja mahir menyebabkan timbul pergantungan kepada tenaga kerja luar negara. Menggunakan tenaga kerja luar biasanya mengundang beberapa permasalahan lain.

Ada perniagaan menghadapi masalah penurunan permintaan ke atas produk atau perkhidmatan mereka seperti keluhan persatuan kontraktor kelas F baru-baru ini kerana tidak banyak lagi kerja pembangunan dikeluarkan kerajaan.

Lebih malang ialah perniagaan berdepan masalah di luar kawalan seperti sedang berlaku kepada perniagaan berkaitan ayam dan unggas lain akibat kes selesema burung. Sebarang penyakit membabitkan sumber makanan sudah pasti menjejaskan perniagaan berkaitan.

Matlamat setiap perniagaan, tentunya untuk mencari keuntungan supaya dapat menambah nilai pemegang saham. Pelbagai masalah seperti disebutkan tadi tentu menjadikan matlamat mencatat keuntungan semakin sukar dan lebih mencabar.

Cabaran meneruskan perniagaan supaya terus berdaya saing dan mampu mencatat keuntungan bukan saja semakin hebat kepada usahawan kecil dan sederhana, tetapi juga menggugat perniagaan besar dan sektor korporat.

Kita sudah maklum dengan masalah dihadapi syarikat penerbangan negara, Penerbangan Malaysia (MAS). Baru-baru ini, pengurusan baru MAS mengumumkan rancangan pemulihan untuk meletakkan semula MAS sebagai perniagaan menguntungkan. Kita harap mereka akan berjaya dalam usaha mencabar itu.

Sejak setahun lalu, kita juga berkali-kali mendengar usaha dan cadangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapatkan kelulusan kerajaan menaikkan tarif elektrik supaya dapat meningkatkan keuntungan dan memperbaiki aliran tunai dalam menghadapi kenaikan kos operasi dan keperluan perbelanjaan modal.

Sebenarnya, cabaran dalam mengurus perniagaan adalah sama, tidak kira sama ada perniagaan kecil atau besar. Prinsip tertentu dalam mengurus perniagaan, terutamanya dalam pengurusan kewangan tetap sama. Saiz perniagaan cuma membezakan jumlah nilai terbabit.

Perniagaan kecil atau besar masih memerlukan sumber asas yang sama seperti modal, tenaga kerja, bahan-bahan, peralatan, teknologi dan sebagainya. Semua sumber ini perlu digunakan dengan cekap dan berkesan supaya dapat menghasilkan keuntungan dan penambahan nilai seperti disasarkan.

Matlamat mencari keuntungan menjadi semakin sukar akibat beberapa tekanan ke atas persekitaran ekonomi. Paling mudah difahami mengenai kesukaran mencatat keuntungan ialah hujah kenaikan kos mengurus serta operasi keseluruhan.

Persoalan besar bagi setiap perniagaan ialah menentukan apakah kadar keuntungan yang ingin dicapai. Adakah keuntungan 10 peratus mencukupi atau 20 peratus baru dianggap berbaloi?

Banyak perkara perlu diambil kira dalam menentukan kadar keuntungan. Secara umumnya sebahagian besar perniagaan akan membuat perbandingan dengan kadar pencapaian industri diceburi sebagai penanda aras.

Bagaimanapun, dalam suasana ekonomi suram dan kuasa membeli pengguna berkurangan, mencatat keuntungan pada kadar disasarkan bukanlah mudah. Apabila kos pengeluaran dan operasi meningkat, keuntungan akan menurun. Jika keuntungan ingin dikekalkan, harga jualan perlu dinaikkan dan ini pula mungkin menjejaskan jualan.

Dalam mengurus kewangan perniagaan, mencatat keuntungan hanya sebahagian daripada perkara utama. Tidak kurang penting ialah mengurus aliran wang tunai perniagaan. Jika aliran tunai gagal diurus dengan baik, perniagaan boleh menghadapi masalah serius walaupun dalam keadaan untung.

Sebenarnya, ada perbezaan antara untung dan wang tunai. Ramai usahawan, terutama usahawan baru berniaga atau tidak mempunyai pendedahan kepada isu kewangan dan perakaunan, agak keliru dengan isu untung dan wang tunai.

Setiap perniagaan perlu memberi perhatian kepada kedua-dua perkara iaitu untung dan aliran tunai. Dalam menangani kedua-dua perkara ini, ada dua keadaan kewangan perlu difahami oleh usahawan atau pengurus perniagaan.

Keadaan pertama ialah yang mana perniagaan boleh untung, tetapi menghadapi masalah kekurangan tunai. Keadaan ini berlaku apabila perniagaan itu berjaya membuat jualan tinggi tetapi gagal mengutip semua jualan. Maka perniagaan akan berdepan masalah paras penghutang tinggi dan ini menjejas aliran tunai.

Dalam suasana ini, kadar keuntungan bukannya masalah. Masalah aliran tunai tidak dapat diselesaikan hanya dengan menaikkan harga jualan jika paras penghutang tetap tinggi. Langkah penting ialah mengutip semua hutang oleh pelanggan. Dengan itu masalah kekurangan tunai diredakan.

Keadaan kedua ialah yang mana perniagaan tidak mempunyai masalah aliran wang tunai, tetapi masih mencatat kerugian. Ini boleh berlaku apabila semua jualan berjaya dikutip tetapi paras jualan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bukan tunai seperti susut nilai aset.

Malangnya, kita dapati sebahagian besar perniagaan Bumiputera berada dalam kedua-dua keadaan. Mereka mungkin untung, tetapi tertekan dengan masalah aliran tunai atau rugi kerana tidak dapat mencapai jualan paras titik pulang modal.

Lebih malang lagi apabila didapati masih ramai usahawan dan peniaga kecil Bumiputera sebenarnya tidak memahami perbezaan antara mencari untung dan menjamin kelancaran aliran tunai.

Untuk mencatat keuntungan dan pada masa sama memastikan perniagaan tidak berdepan masalah aliran tunai, setiap usahawan harus tahu mengira paras titik pulang modal apabila menyediakan rancangan perniagaan. Kesilapan mengira paras titik pulang modal akan menyebabkan sasaran jualan tidak betul dan menjejaskan keuntungan.

Pada masa sama, pastikan semua jualan mampu dikutip. Keadaan terbaik tentunya jika dapat menjual secara tunai. Namun, jika jualan secara hutang atau kredit terpaksa dilakukan, pastikan pelanggan mampu membayar hutang.

Setiap perniagaan perlu berusaha supaya mampu mencapai paras jualan cukup untuk mencapai keuntungan dan mampu menukar keuntungan itu kepada wang tunai dengan cekap untuk bertahan sebagai perniagaan berdaya maju.


No comments:

Post a Comment