Thursday, February 18, 2010

Laut Biru bina usahawan Melayu

ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 17/11/2006

‘STRATEGI Laut Biru’ wajar menjadi aspirasi baru dalam usaha membina lebih ramai usahawan yang mampu mengekalkan daya kompetitif negara pada masa hadapan.

Kita berhadapan dengan cabaran global yang semakin sengit untuk membangunkan negara.

Pada masa yang sama, tempoh 14 tahun yang tinggal sebelum fajar 2020 menyingsing memaksa kita untuk bergerak dengan lebih pantas. Kita juga perlu mengubah paradigma dalam menongkah arus abad ke-21.

Pelbagai agenda dan strategi telah diatur bagi mencapai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020. Dalam mengorak langkah ke arah matlamat tersebut, negara pada hakikatnya memerlukan lebih ramai usahawan berjiwa besar bagi mencapai wawasan yang telah digariskan.

Usahawan merupakan seseorang yang berani mengambil risiko untuk membawa idea-idea baru yang kreatif atau inovatif untuk dikomersialkan. Syarikat-syarikat gergasi yang wujud sekarang seperti Ford, Toyota, Microsoft, Google dan banyak lagi, semuanya wujud hasil daripada penat lelah pengasasnya yang bermula sebagai seorang usahawan berjiwa besar.

Hakikatnya, landskap perniagaan dan pasaran masa kini begitu kompetitif dan pantas berubah. Ini memerlukan paradigma, pemahaman serta strategi baru yang ampuh bagi menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. Buku karya W. Chan Kim dan Renee Mauborgue yang berjudul Blue Ocean Strategy: How to Create Uncontested Market Space and Make Competition Irrelevant menerangkan akan peri pentingnya para usahawan memahami semua perubahan dan cabaran ini dalam menghadapi persaingan perniagaan abad ke-21. Mereka lantas mengesyorkan Strategi Laut Biru sebagai suatu kaedah bagi menghadapi cabaran-cabaran ini.

Negara memerlukan ramai usahawan untuk muncul sebagai sebuah negara yang maju. Kita mempunyai bilangan graduan yang ramai dewasa ini dan galakan untuk menjadi usahawan yang berjaya perlu terus disemai.

Graduan Melayu amnya tidak ramai yang bercita-cita untuk menjadi usahawan muda. Para graduan kebanyakannya ingin makan gaji pada awal usia muda dan hanya menanam cita-cita untuk menjadi usahawan di pertengahan usia ataupun setelah sampai umur bersara. Dianggarkan terdapat seramai 60,000 siswazah menganggur pada masa ini dan kebanyakannya adalah graduan bumiputera.

Sekiranya mereka berusaha dari sekarang untuk menjadi seorang usahawan, kita mempunyai harapan yang besar untuk merealisasikan Wawasan 2020 dan melihat anak Melayu meneraju kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju.

Tempoh 14 tahun mencukupi dan munasabah bagi seseorang usahawan untuk mencipta kekayaan bagi dirinya (sekurang-kurangnya menjadi jutawan) dan juga kepada masyarakat. Google misalnya, hanya baru berusia lapan tahun, dan pengasasnya sudah berjaya membuka lembaran baru kepada ekonomi Amerika dan juga dunia.

Lantaran itu, para graduan perlu berani menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Kejayaan sedia menanti bagi mereka yang mempunyai niat yang baik, berusaha dengan gigih, berdoa, bertawakal dan apabila berjaya, tidak lokek dengan ilmu, pengalaman dan kekayaan yang telah diperoleh.

Pada masa yang sama, agensi-agensi kewangan perlu lebih terbuka dalam membantu usahawan muda yang mempunyai idea yang kreatif dan inovatif untuk mengkomersialkan idea tersebut. Cabaran besar dalam melaksanakan perniagaan dengan Strategi Laut Biru ialah keengganan institusi-institusi kewangan yang skeptikal dengan idea baru dan lebih senang dengan kaedah perniagaan konservatif yang menjurus kepada Strategi Laut Merah.

No comments:

Post a Comment