Wednesday, February 17, 2010

Selera Terbuka di Rumahku

Utusan Malaysia - Mode, 12 Dec 2008

"Jemput masuk ke Rumahku..." Apa pun ia bukan sebarang rumah, sebaliknya ia adalah sebuah restoran yang membuatkan setiap pengunjung yang datang berasa cukup selesa seolah-olah melangkah masuk ke rumah sendiri - sekurang-kurangnya itulah yang diharapkan oleh pemiliknya, Azura Daud.

"Sebab itu saya memilih nama tersebut, selesa bukan sahaja setakat suasana malah harga dan rasa makanan yang berpatutan serta menyelerakan," katanya ketika ditemui di premisnya yang terletak di Plaza Kelana Jaya, Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Apa yang penting bagi Azura ialah memenuhi selera pelanggan, justeru beliau masih lagi melakukan eksperimen menu sebelum menentukan menu yang benar-benar menjadi pilihan kebanyakan pelanggan.

"Apa sahaja cadangan daripada pelanggan, kami ambil kira. Sekiranya pelanggan mencadangkan menu yang mereka gemari pun kami akan cuba memenuhinya.

"Misalnya, menu nasi goreng daging berkicap ini juga adalah hasil cadangan salah seorang pelanggan wanita yang pernah ke restoran ini waktu awal pembukaan bulan September lalu.

"Kini ia menjadi antara menu yang popular di Rumahku," jelas wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini.

Terletak di lokasi bersebelahan dengan tasik Kelana Jaya, menjadikan Rumahku destinasi selera yang santai lagi selesa terutama untuk keluarga mahupun individu yang bekerja.

"Harga makanan di Rumahku memang berpatutan, daripada pengurus hinggalah ke pekerja kontrak, semuanya boleh menikmati hidangan di sini.

"Saya mahukan pelanggan berasa wang yang dikeluarkan berbaloi dengan makanan yang dinikmati, apatah lagi makanan yang kami sediakan tidaklah terlalu bersifat komersial, sesuai dengan konsep 'rumah' itu sendiri," kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Azura yang mendapat pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berkata, lebih 100 menu ditawarkan, dari sarapan pagi, tengahari hinggalah malam.

"Semua menu yang ditawarkan di sini istimewa belaka. Bagaimanapun, pelanggan kebanyakannya memilih nasi goreng daging berkicap, bihun sup Vietnam dan nasi lemak ayam goreng berempah sebagai menu mesti cuba.

"Kami juga mempunyai pencuci mulut istimewa iaitu tapai pulut aiskrim yang dibuat dengan resipi turun temurun, sesuai untuk penggemar tapai yang inginkan kelainan," katanya.

Memilih warna kuning sebagai melatari konsep dekorasi premisnya, Azura menyifatkan warna tersebut mempunyai satu aura tersendiri bagi membangkitkan selera makan.



No comments:

Post a Comment