Thursday, February 18, 2010

Integriti Usahawan Pengaruhi Daya Tahan Perniagaan

Berita Harian - Nota Niaga, 18 Dec 2006


Jika anda seorang usahawan, anda tentu sudah sering mendengar nasihat dan seruan supaya mengusahakan perniagaan berdaya maju, terus membina daya saing dan berusaha mencari jalan meningkatkan daya tahan.

Usahawan sentiasa diberi nasihat mengenai pentingnya daya maju, daya saing dan daya tahan perniagaan daripada pelbagai pihak termasuk menteri, pegawai kerajaan, perunding perniagaan, pemberi pinjaman, pemegang saham atau lembaga pengarah.

Ramai usahawan mungkin bosan mendengar nasihat berterusan supaya memberi perhatian kepada tahap daya maju, daya saing atau daya tahan perniagaan mereka. Sebahagian besar berasakan mereka sudah tahu apa perlu dilakukan dan yakin setiap tindakan diambil akan menjadikan perniagaan mereka berdaya maju, mampu bersaing serta berdaya tahan.

Malangnya, ramai usahawan tidak berusaha mengenal pasti apa perlu dilakukan untuk meningkatkan daya maju, daya saing atau daya tahan perniagaan mereka. Keghairahan mencari peluang dan kecenderungan mengambil risiko sering melalaikan usahawan daripada meneliti kesan sesuatu keputusan atau tindakan mereka.

Apabila seorang usahawan memutuskan untuk mengusahakan sesuatu perniagaan, sewajarnya beliau merancang satu perniagaan berdaya maju. Ini bermakna merancang perniagaan berdaya untung dan mampu meningkatkan nilai pemegang saham.

Selain memastikan perniagaan diusahakan itu mampu berdaya maju dan berdaya saing, usahawan juga harus mempunyai matlamat untuk memastikan perniagaannya dapat bertahan lama. Secara umumnya, semua perniagaan sangat rapuh pada peringkat awal, khususnya untuk satu atau dua tahun pertama.

Untuk mencapai tahap daya maju seperti disasarkan, ada baiknya jika usahawan memahami terlebih dulu ciri yang diperlukan untuk membina daya tahan supaya perniagaan dapat melepasi tempoh genting peringkat permulaan dengan jayanya.

Membina daya tahan perniagaan bererti mencari jalan memastikan perniagaan diusahakan adalah satu usaha jangka panjang. Usahawan boleh merancang perniagaan berdaya maju tetapi pada masa sama mesti menerapkan ciri tertentu untuk membina daya tahan perniagaan.

Perkara utama perlu diberi perhatian oleh usahawan jika ingin perniagaan bertahan lama di pasaran ialah menjaga integriti diri dan perniagaan. Usahawan perlu membuktikan kepada semua pemegang kepentingan bahawa perniagaannya diurus secara jujur, beramanah dan bertanggungjawab.

Setiap perniagaan terpaksa berdepan dengan pelbagai pemegang kepentingan dalam urusan perniagaan. Ini termasuk pelanggan, pembekal, pemberi pinjaman, pemegang saham, rakan kongsi, pihak berkuasa dan ramai lagi. Keyakinan setiap pemegang kepentingan mengenai integriti usahawan sangat kritikal dalam menentukan daya tahan perniagaan diusahakan.

Kajian rambang menunjukkan banyak perniagaan gagal bertahan kerana isu integriti usahawan atau pihak pengurusan. Memang sukar bagi perniagaan bertahan jika pelanggan atau pembekal ditipu atau pemegang saham diperdaya. Lambat-laun sikap tidak jujur atau tidak bertanggungjawab apabila mengurus perniagaan akan terbongkar juga.

Satu ciri utama dalam menjaga integriti ialah menunaikan apa yang dijanjikan. Semua pemegang kepentingan harus diberi apa yang dijanjikan. Institusi pemberi pinjam seperti bank umpamanya akan hilang kepercayaan jika usahawan tidak menepati syarat pinjaman. Pembekal contohnya perlu dibayar seperti dijanjikan, jika usahawan ingin terus berurusan dengan mereka.

Selain menjaga integriti, usahawan hendaklah membina keupayaan diri dan perniagaan secara berterusan jika ingin mengukuhkan daya tahan perniagaan. Keupayaan diri boleh ditingkatkan dengan berusaha menambah ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran.

Ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran hendaklah meliputi semua bidang diperlukan termasuk berkaitan produk jualan, pengurusan dan teknologi. Dalam suasana kemajuan dunia hari ini, teknologi khususnya perlu diberi perhatian.

Peningkatan keupayaan diri hendaklah merangkumi semua tenaga kerja dalam perniagaan dan bukan sekadar pada diri usahawan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman bersesuaian di kalangan modal insan, perniagaan akan hilang daya tahan dan seterusnya daya maju.

Kesedaran mengenai keadaan persekitaran juga amat penting jika perniagaan ingin terus bertahan di pasaran. Lebih penting lagi ialah kesedaran di kalangan pengusaha dan pengurus perniagaan bahawa keadaan persekitaran sentiasa berubah.

Perubahan yang berterusan dalam persekitaran perlu ditangani. Untuk itu usahawan perlu membina kemampuan menyesuaikan diri dengan keadaan berbeza. Kegagalan mengesan perubahan persekitaran boleh menyebabkan perniagaan ketinggalan zaman dan terasing daripada keadaan sebenar.

Perubahan boleh berlaku dalam pelbagai perkara. Semua pengurus perniagaan perlu mampu mengesan perubahan seperti cita rasa pelanggan, penggunaan bahan mentah, keperluan keselamatan dan kesihatan, keperluan perundangan dan bermacam lagi.

Sudah banyak perniagaan lenyap daripada pasaran kerana tidak sedar dengan perubahan sekeliling atau degil menyesuaikan diri dengan perubahan. Menyedari keperluan sesuatu perubahan dan mengambil tindakan saja tidak mencukupi. Apa lebih penting ialah menangani perubahan itu dengan segera supaya tidak terlambat.

Satu lagi perkara penting perlu diberi perhatian oleh usahawan dan pengurus perniagaan untuk kekal berdaya tahan ialah memastikan tahap kecekapan tinggi dalam operasi perniagaan. Membina keupayaan saja tidak memadai jika keupayaan ini tidak berada pada tahap kecekapan tinggi.

Meningkatkan tahap kecekapan bererti perlunya sistem latihan dan peningkatan kemahiran secara terancang. Satu masalah dengan usahawan dan perniagaan tempatan ialah kegagalan melihat perbelanjaan berkaitan latihan sebagai pelaburan. Mereka lebih cenderung melihat perbelanjaan ini sebagai satu beban kos kepada perniagaan.

Apabila kecekapan berada pada tahap tinggi, keberkesanan dalam pelaksanaan tugas pasti meningkat. Semua ini akan diterjemah kepada produktiviti lebih tinggi yang dengan sendirinya mengawal dan mengurangkan kos.

Daya tahan perniagaan amat penting untuk menyokong daya maju dan daya saing perniagaan. Untuk membina daya tahan, usahawan jangan sesekali mengabaikan integriti, hendaklah terus membina keupayaan, bijak menyesuaikan diri dengan perubahan dan berusaha meningkatkan kecekapan.

Seruan supaya usahawan memastikan perniagaan mereka berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan akan terus dilaungkan. Ketiga daya ini memang penting dan harus difahami sepenuhnya oleh usahawan jika ingin melihat perniagaan mereka berjaya dan cemerlang.

No comments:

Post a Comment