Thursday, February 18, 2010

Usahawan Jaya Bijak Perkasa Mental

Berita Harian - Nota Niaga, 10 Jul 2006


Pembangunan usahawan mendapat perhatian besar pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Satu daripada matlamat kerajaan ialah membangunkan 150,000 usahawan pelbagai peringkat dalam tempoh RMK-9.

Berdasarkan perancangan ini, negara ingin menyaksikan kelahiran 30,000 usahawan setiap tahun bagi tempoh lima tahun akan datang. Untuk mencapai sasaran ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengatur beberapa strategi meliputi bantuan pembiayaan, latihan keusahawanan serta galakan pemasaran dalam dan luar negara.

Sama ada matlamat menjana bilangan usahawan ini tercapai bukan bergantung kepada kesungguhan kerajaan semata-mata. Anggota masyarakat sendiri perlu tampil merebut semua peluang, galakan dan bantuan disediakan agar sasaran RMK-9 dapat dipenuhi.

Namun, lebih penting daripada menepati sasaran bilangan usahawan ialah kualiti usahawan diwujudkan nanti. Untuk menggerakkan ekonomi, negara memerlukan masyarakat usahawan berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan.

Cabaran dunia perniagaan memang hebat, tetapi ia tidak menghalang ramai orang mencuba nasib sebagai usahawan kerana sedar perniagaan mampu menjadi sumber rezeki lumayan jika berjaya diurus dengan baik.

Bagaimanapun, kita tahu semua usahawan perlu melalui zaman sukar dan mencabar sebelum dapat meraih kejayaan seperti dihajatkan. Tidak ada usahawan berjaya serta-merta. Jika ditanya kepada usahawan berjaya, mereka akan menceritakan bagaimana mereka pernah gagal atau hampir gagal sebelum berjaya.

Kecuali perniagaan peringkat mikro, secara umumnya perniagaan mengambil masa sebelum meningkat maju dan mencatat keuntungan. Setiap perniagaan biasanya memerlukan dua hingga tiga tahun sebelum dapat meraih keuntungan dan berkembang.

Tempoh dua atau tiga tahun pertama dalam perniagaan adalah tempoh kritikal. Perancangan untuk tempoh ini harus dibuat dengan teliti berdasarkan andaian realistik. Untuk itu, usahawan atau peniaga harus berusaha memahami sepenuhnya perniagaan dicadangkan.

Memandangkan perniagaan terpaksa melalui tempoh tanpa untung pada peringkat awal, setiap usahawan perlu merancang bagaimana membina daya tahan sepanjang tempoh itu. Usahawan baru khususnya harus menyemak semula cadangan perniagaan jika mendapati perniagaan dicadangkan boleh mencatat untung pada tahun pertama.

Adalah penting bagi semua usahawan memahami perniagaan mengambil masa untuk maju dan berjaya. Kemungkinan besar ramai usahawan Melayu tidak memahami hakikat ini menyebabkan mereka tidak dapat bertahan dalam perniagaan.

Kesilapan pertama bagi seseorang bakal usahawan ialah jika menganggap perniagaan adalah jalan singkat kepada kekayaan. Memang benar perniagaan boleh memberi kekayaan, tetapi ia memerlukan masa dan usaha gigih secara berterusan.

Semua bakal usahawan memang mengetahui selain modal kewangan, mereka perlu membuat persediaan diri secara rapi. Antara lain mereka harus mendalami bidang perniagaan ingin diceburi serta membina kemampuan dalam kemahiran pengurusan.

Persediaan mencukupi dari segi modal kewangan dilengkapi pengetahuan dan kemahiran pengurusan serta persediaan lain untuk melalui peringkat awal yang sukar seharusnya memberi peluang kepada usahawan untuk berjaya.

Dengan pelbagai pendedahan dan latihan berkaitan keusahawanan pada masa ini, semakin ramai usahawan baru didapati lebih bersedia mengharungi dunia perniagaan. Namun begitu, ada satu aspek persediaan diri sering diabaikan usahawan baru.

Persediaan dimaksudkan ialah dari segi ketahanan mental dan fizikal usahawan, khususnya ramai usahawan gagal membuat jangkaan mengenai tahap ketahanan fizikal diperlukan apabila memulakan perniagaan.

Kebanyakan usahawan tahu mereka perlu bekerja untuk tempoh agak lama setiap hari. Tetapi ramai tidak bersedia secara fizikal untuk bekerja sekian lama setiap hari. Bergantung kepada jenis perniagaan, usahawan mungkin perlu bekerja antara 10 hingga 16 jam sehari.

Juga bergantung kepada bidang perniagaan, tanggungjawab usahawan mungkin memerlukan banyak penggunaan tenaga fizikal. Beberapa jenis perniagaan bidang peruncitan umpamanya memerlukan penggunaan tenaga fizikal usahawan sendiri untuk beroperasi dengan berkesan.

Jika usahawan tidak bersedia secukupnya dari segi mental dan fizikal, mereka mungkin menghadapi kejutan budaya apabila memulakan perniagaan, lebih-lebih lagi jika mereka tiada pengalaman dalam bidang perniagaan yang dimulakan. Dalam banyak keadaan, didapati ramai usahawan tidak menyangka ketahanan fizikal diperlukan adalah begitu tinggi.

Untuk memastikan mereka dapat bertahan secara mental dan fizikal, usahawan perlu bijak merancang cara mereka akan melaksanakan bekerja. Keperluan menggunakan pekerja tambahan harus dirancang dari awal supaya pengagihan kerja dapat dibuat dengan baik.

Satu daripada masalah sebahagian besar usahawan ialah perasaan kurang yakin kepada kemampuan orang lain. Oleh itu, mereka ingin selesaikan sendiri semua kerja walaupun sebenarnya lebih wajar disempurnakan orang lain. Sikap ini pasti membebankan mereka secara mental dan fizikal.

Walaupun mengurangkan pekerja menjimat kos, usahawan perlu tahu mencari perseimbangan supaya tenaga kerja minimum dapat digunakan dengan memberi tahap kecekapan maksimum. Semua ini harus dirancang dengan mengambil kira kemampuan usahawan sendiri dari segi masa dan fizikalnya.

Cara untuk usahawan mengurangkan beban pembabitan secara terperinci dalam kebanyakan urusan ialah dengan membina kemampuan menjadi pengurus yang cekap. Kebijaksanaan mengurus akan memastikan usahawan tidak hilang kawalan ke atas perniagaannya walaupun tidak melakukan semua perkara dengan sendiri.

Usahawan perlu tahu bagaimana mengawal tahap pembabitan peribadi dalam pelbagai aspek operasi perniagaannya. Jika usahawan tidak pandai melakukan ini, dia akan mendapati dirinya cuba melakukan terlalu banyak perkara dan ia boleh menjejas kesihatan dirinya.

Sebagai peneraju utama perniagaannya, usahawan tidak boleh memandang ringan masalah kesihatan diri. Usahawan dirundung masalah kesihatan boleh memberi kesan negatif kepada operasi perniagaan. Usahawan sihat sudah pasti lebih berguna kepada perniagaannya.

No comments:

Post a Comment